Friday, November 13, 2009

JAIS TOLAK 7 PENCERAMAH WAHABI?

Tujuh ilmuan Islam yang tidak diberikan tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) beberapa bulan lalu dipercayai kerana mereka disyaki membawa aliran Wahabi dan dekat dengan Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Penolakan terhadap permohonan ketujuh-tujuh mereka, selepas diwawancara sebelum bulan Ramadhan lalu, bagaimanapun tidak menyatakan sebarang alasan. Soalan-soalan tiga pegawai JAIS yang menemuduga mereka menjurus kepada usaha menyelidik sikap mereka terhadap beberapa isu fekah dan akidah yang boleh dikaitkan dengan aliran Wahabi.
Soalan-soalan itu, antaranya, isu lafaz niat solat, marhaban dibolehkan atau tidak, aliran teologi asy-Asy'ari dan perdebatan isu 13 sifat-sifat Allah yang menjadi pengetahuan umum bagi para penganut Ahlus Sunnah Wal Jama'ah. Ketujuh-tujuh diwawancara pada hari yang sama setelah permohonan mereka untuk mendapatkan tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) disokong oleh ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib. Menurutnya, pada 19 Ogos lalu, JAIS mengeluarkan surat menolak permohonan tauliah mengajar atau berceramah kepada tujuh pemohon ini.
Dalam persidangan DUN Selangor baru-baru ini, wakil rakyat PAS itu mendedahkan nama tujuh penceramah agama tersebut, yang dipercayai daripada aliran pemikiran agama yang sama iaitu Fathul Bari Mat Jahya - kelulusan BA Hadis (Universiti Madinah), MA (Universiti Yarmouk, Jordan), sedang menamatkan PhD di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Mohd Khairi Anwar Abdul Latif - BA al-Quran dan Sunnah (UIA), MA Hadis (UIA), bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Abdul Razak Mutalib - BA Usul Fiqh (UIA), MA Hadis, bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Muzairi Mustafa - BA Tafsir, Usul dan Dakwah (Al-Azhar, Kaherah), sedang menuntut di peringkat Sarjana, Fathlan Mohd Osman - BA Dakwah, MA Tafsir (UKM), sedang menyiapkan PhD Hadis di UIA, Dr Azwira Abd Aziz - BA (Univeristi Madianah) MA (Universiti Madinah), PhD (Universiti Jordan), Ketua Jabatan al-Quran dan Sunnah di UKM, Mohd Roesfan Sazzerin Mohamad Sufi - BA Hadis, Diploma Dakwah (Universiti Madinah), MA Hadis (UIA).
Saari, mantan Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), mencadangkan anggota majlis fatwa dan ahli akademik ini dikecualikan daripada tauliah seperti diperuntukkan dalam bahagian kesembilan Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008. Dalam ucapan sama, beliau mendedahkan Fathul Bari pernah ditahan kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah tiga tahun lalu.
Fathul Bari, anak bekas Mufti Perlis, Datuk Mat Jahya Hussin dan Dr Azwira, ahli Majlis Fatwa Perlis yang pernah dicalonkan untuk memegang jawatan Mufti di negeri itu, dikenali rapat dengan Dr Mohd Asri. Bekas Mufti Perlis yang kontroversi itu sering dikaitkan dengan aliran Wahabi walaupun beliau berkali-kali menafikannya. Penangkapannya awal bulan ini dan pendakwaannya di mahkamah minggu depan, atas kesalahan mengajar tanpa tauliah turut membangkitkan semula isu Wahabi.
Dr Azwira juga terlibat dalam Kelompok Intelektual Muslim Muda (KIMM), kumpulan untuk membela Dr Mohd Asri yang turut disertai bekas Menteri Besar Perlis dan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim. KIMM mengemukakan lapan tuntutan, antaranya:
1-Meminta layanan yang adil kepada semua pendakwah tanpa prasangka seperti menolak permohonan tauliah dan ceramah tanpa sebab.
2-Meminta supaya dibuang senjata tuduhan Wahabi kepada golongan agama atau tokoh agama hanya kerana berbeza pendapat.
3-Mendesak stigma negatif terhadap aliran Wahabi, yang dipelopori oleh Syeikh Muhammad Abdul Wahab dan juga ulama-ulama lain dari Arab Saudi dihentikan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS, Ahmad Zaki Arshad menafikan ketujuh-tujuh ilmuan Islam ditolak tauliah mereka kerana disyaki beraliran Wahabi. Jelasnya, permohonan itu ditolak kerana ia dibuat tanpa mengikut "prosedur mengisi borang" yang tepat, antaranya, ia seharusnya disokong oleh Ketua Jabatan jika kakitangan awam, Penghulu atau Ketua Pegawai Eksekutif jika bekerja swasta. Permohonan melalui ADUN tidak mengikut peraturan, tambahnya.

Friday, October 9, 2009

KEPENTINGAN MENUNTUT ILMU DALAM ISLAM

Oleh : USTAZ HADI HUDA (diedit ke bahasa Malaysia oleh Abu Wajihah)
Ilmu merupakan salah satu nilai luhur yang dibawa oleh ajaran Islam dan yang tegak di atasnya kehidupan manusia, baik secara moral maupun material, duniawi mahupun ukhrawi. Islam menjadikannya sebagai jalan menuju keimanan dan yang memotivasi amal. Nikmat ilmulah yang menyebabkan manusia diberikan amanah oleh Allah sebagai 'khalifah' di atas mukabumi ini. Sesungguhnya Islam adalah agama ilmu dan al-Quran adalah kitab ilmu. Ayat al-Quran yang pertama sekali turun kepada Rasulullah (saw) adalah "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakanmu."(surah al-'Alaq,ayat:1)
Membaca adalah kunci untuk memahami ilmu dan al-Quran merupakan "Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang berilmu."(surah al-Fushshilat,ayat:3)
Al-Quran telah menjadikan ilmu sebagai asas dan kayu ukur kemuliaan di kalangan manusia.
Allah (swt) berfirman: "Apakah sama orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu?."(surah az-Zumar,ayat:9)
Sebagaimana juga al-Quran telah menjadikan 'ahlul ilmi'(ahli ilmu) sebagai syuhada' (orang-orang yang bersaksi) terhadap keesaan Allah bersama para Malaikat. Firman Allah (swt): "Allah telah bersaksi bahawasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,(demikian pula) para Malaikat dan orang-orang yang berilmu, yang menegakkan keadilan. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."(surah Ali 'Imran,ayat:18)
Demikian juga 'ahlul ilmi' adalah orang-orang yang paling takut kepada Allah (swt) dan bertaqwa kepadaNya. FirmanNya: "Sesunggungnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu ('ulama)."(surah Fathir,ayat:28)
Maka tidak ada yang takut kepada Allah kecuali orang-orang yang bermakrifat kepadaNya. Allah (swt) itu boleh dikenal melalui tanda-tanda kekuasaanNya dan rahmatNya kepada para makhlukNya. Oleh kerana itu, secara umumnya masalah ini dimasukkan dalam perbahasan tentang alam semesta, sebagaimana firmanNya:

1-"Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah telah menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka ragam jenisnya. Dan di antara gunung-ganang itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada pula yang hitam pekat. Dan demikian pula di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu ('ulama). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."(surah Fathir,ayat:27-28)
2-"...Dan bertakwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajarmu dan Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu."(surah al-Baqarah,ayat:282)
Rasulullah (saw) bersabda: "Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap lelaki dan perempuan."(al-Majlisi,Bihar al-Anwar, Jilid 1,ms 177)
Menurut Islam, menuntut ilmu itu adalah suatu bentuk ibadah yang agung yang mampu membawa pelakunya ke syurga. Namun, tujuan di sebalik menuntut ilmu itu adalah lebih utama dari menuntut ilmu itu sendiri.
Imam Ali bin Abi Thalib (as) bersabda: "Ilmu itu ada tiga bahagian: pemahaman dalam agama, pengetahuan tentang kesihatan tubuh badan dan kemampuan dalam mengendalikan lidah ketika berbicara."(Kunuz al-Hikmah,ms 365)
Mencari ilmu dengan niat yang ikhlas, demi mencapai keredhaan Allah dan berbakti kepada makhlukNya, bakal membawa seseorang itu menuju ke syurga dan ditemani oleh para Anbiya' dan Auliya'.
Nabi (saw) bersabda: "Dunia ditegakkan dengan 4 perkara: orang berilmu yang mengamalkan ilmunya, orang bodoh yang tekun belajar, orang kaya yang tidak bakhil dengan kebaikan dan orang fakir yang tidak menjual akhiratnya."
Imam Ali ar-Ridha (as) bersabda: "Sahabat setiap orang adalah kearifannya dan musuhnya adalah kejahilannya."(Ushul al-Kafi,Jilid:1,ms:11)
Nabi (saw) bersabda: "Ketahuilah bahawa ilmu itu lebih baik dari amal. Seorang alim ialah yang mengamalkan ilmunya meskipun sedikit."(Madinah al-Balaghah,Jilid:1,ms:106)
Nabi (saw) bersabda: "Manusia yang paling lapar adalah orang yang mencari ilmu, manusia yang paling kenyang adalah orang yang tidak mahu mencarinya."(Kanz al-Ummal,no:28932)
Sebaliknya, menuntut ilmu demi untuk tujuan peribadi, bermegah-megah atau memiliki tujuan-tujuan duniawi hanya menjerumuskan seseorang itu ke lembah kehancuran, kejahilan, kerosakan dan akhirnya akan membawa seseorang itu ke neraka.
Nabi (saw) bersabda: "Sesiapa yang mempelajari ilmu untuk dipamerkan, kebanggaan dan duniawi, Allah akan menghilangkan keberkatannya, menyempitkan hidupnya dan membiarkannya sendirian."(Wahj al-Balaghah)
Nabi (saw) bersabda: "Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, ia akan lebih banyak merosak daripada memperbaiki."(Wahj al-Fashahah)
Imam Ali bin Ali (as): "Orang yang paling celaka ialah orang yang dikenal ilmunya tapi tidak dikenal amalnya."(Ghurar al-Hikam)

Kelebihan Menuntut Ilmu :
Nabi Muhammad (saw) bersabda: "Mereka yang melangkah di jalan pencarian ilmu, Allah akan membawanya terus ke jalan syurga. Sesungguhnya, para Malaikat merasa gembira menebarkan sayap mereka untuk menaungi para pencari ilmu, bahkan seluruh makhluk termasuk ikan di laut memohon keampunan buat para pencari ilmu. Kedudukan orang yang alim ke atas orang yang 'abid(ahli ibadah) adalah seperti kelebihan bulan purnama ke atas bintang-bintang pada malam bulan purnama. Para ulama' adalah pewaris para Anbiya' kerana para Anbiya tidak meninggalkan kekayaan tetapi ilmu pengetahuan. Maka beruntunglah mereka yang menelusuri di jalan ini."(al‑Kulaini,al‑Kafi,Jilid:1,kitab fadl al‑'ilmi,hadith:1)
Ciri-ciri Orang Yang Berilmu :
Ilmu apabila diraih dan diamalkan dengan tulus dan ikhlas kerana Allah, mampu mengubah seseorang itu menjadi 'manusia malaikat' yang mana amalan dan ucapannya adalah manifestasi alam yang tinggi.
Imam Ali bin Abi Thalib (as) bersabda: "Wahai para pencari ilmu! Ilmu itu memiliki banyak keutamaan. Jika anda membayangkan ilmu sebagai manusia, kepalanya adalah kerendahan hati, matanya adalah kebebasan dari dengki, telinganya adalah kefahaman, lidahnya adalah kebenaran, ingatannya adalah pemikiran, hatinya adalah niat yang tulus, kebijaksanaannya adalah ilmu (ma'rifat) akan segala sesuatu, tangannya adalah kasih sayang, kakinya adalah perjalanan kepada ulama', azamnya adalah kejujuran, hikmahnya adalah kewarakan, gerakannya adalah menuju keselamatan, nakhodanya adalah tingkah yang baik, tunggangannya adalah keimanan, senjatanya adalah bicara yang sopan, pedangnya adalah keredhaan, busurnya adalah tolak ansur, tenteranya adalah musyawarah dengan ulama', kekayaannya adalah akhlak yang terpuji, simpanannya adalah menjauhi dosa, perniagaannya adalah sifat-sifat baik, minumannya adalah kelembutan, ikutannya adalah petunjuk Tuhan dan temannya adalah cinta kepada yang terpilih."(al‑Kulaini,al-Kafi,kitab fadl al-‘ilmi,bab al‑nawadir,hadith:3)
Nabi (saw) pernah ditanya: "Apakah ilmu?," baginda (saw) menjawab, "Diam," baginda (saw) ditanya lagi, "Kemudian?," baginda (saw) menjawab, "Mendengar dengan penuh perhatian," baginda (saw) ditanya lagi, "Lalu?," baginda (saw) menjawab, "Mengamalkan apa yang dipelajari," baginda (saw) ditanya lagi, "Setelah itu?," baginda (saw) menjawab, "Menyebarkannya."(al-Majlisi,Bihar al-Anwar,Jilid:2,ms:28)
Imam Ali bin Abi Thalib (as) bersabda: "Tiga tanda orang berilmu: Ilmu, Sabar dan Diam."(Ibid, Jilid:2,ms:59)

Larangan Menuntut Ilmu Untuk Tujuan Duniawi :
Menurut ajaran Ahlul Bait (as), adalah dilarang bagi seseorang itu menuntut ilmu untuk tujuan duniawi mahupun peribadi.
Imam Ali bin Abi Thalib (as) bersabda: "
Janganlah mencari ilmu kerana 4 sebab berikut:
1. Untuk membangga diri di hadapan orang yang alim,
2. Untuk berdebat dengan orang yang jahil,
3. Untuk mempamerkan diri kepada manusia,
4. Untuk menarik perhatian manusia demi menjamin kedudukan
."(al-Majlisi,Bihar al-Anwar,Jilid:2,ms:31)
Seseorang yang berminat mencari ilmu, sebagai langkah permulaan, perlu menjalani proses penyucian jiwa (Tazkiyah an-Nafs), mencambahkan taqwa di dalam jiwanya, membebaskan dirinya dari niat yang tidak baik dan tidak benar, bertujuan duniawi serta sentiasa bermuhasabah diri. Harus diingat bahawa takut kepada Allah adalah ciri khusus para ulama' dan barangsiapa yang tidak memiliki ciri-ciri ini, ia dianggap berada di luar lingkungan mereka yang berilmu tanpa mempedulikan apapun kelebihan ilmu yang ia miliki.
Pada setiap langkah menuntut ilmu, seseorang itu haruslah memperbanyakkan meditasi dan merenung tujuan utama ia mencari ilmu. Bertanyalah kepada diri sendiri, mengapa kita menuntut ilmu? Adakah ianya bertujuan untuk menjamin kedudukan jawatan dan pangkat, bersaing dengan orang lain, meraih ganjaran duniawi atau status sosial? Apakah ilmu yang kita pelajari itu dicari semata mata untuk mengharapkan pujian dari orang lain? Atau adakah ianya demi mencari keredhaan Allah (swt) dengan berbakti kepada makhlukNya?
Ilmu yang diraih seharusnya menjadikan kita lebih berakhlak, ikhlas dalam perbuatan dan membuatkan kita semakin mencintai dan takut kepada Allah. Ilmu yang tidak disertai oleh tindakan dan perbuatan yang baik bukanlah ilmu dalam ertikata yang sebenar. Ilmu yang terbatas semata mata pada kata-kata dan tidak digunakan untuk berkhidmat kepada makhluk Allah adalah serendah-rendah ilmu dan akan hilang bersama berlalunya masa.
Perhatikanlah tingkah laku kita sepanjang menuntut ilmu. Adakah ianya membuatkan kita semakin rendah hati dan sabar terhadap orang lain? Atau adakah ianya menjadikan kita semakin angkuh, bangga diri dan suka berdebat? Adakah dengan ilmu yang kita cari, menjadikan kita sulit menerima kebenaran dan mengakui kesalahan? Adakah kita memusuhi mereka yang lebih berilmu dari kita?

Imam Ali bin Abi Thalib (as) berkata: "Tiadalah kebanggaan yang sebenar melainkan bagi orang-orang yang berilmu kerana mereka sentiasa berada di atas jalan hidayah, mereka menunjukkan jalan hidayah kepada orang-orang yang memintanya. Memadailah ukuran bagi setiap seseorang itu kebaikan yang dilakukan sedangkan orang yang jahil sentiasa memusuhi orang-orang berilmu. Maka rebutlah kesempatan menuntut ilmu supaya kita dapat hidup selamanya kerana pada hakikatnya, manusia itu semuanya mati sedangkan orang-orang yang berilmu akan terus hidup."

Monday, October 5, 2009

SAYA BUKAN WAHABI - DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau tidak pernah mendokong fahaman Wahabi seperti tanggapan umum terhadapnya selama ini. Oleh itu, beliau menolak tanggapan bahawa beliau terbabit dalam usaha untuk mengembangkan fahaman tersebut ketika menjadi Mufti Perlis. Sebaliknya, kata tokoh agama yang sering mengundang kontroversi itu, Wahabi tidak pernah bertapak di Perlis.
Menurutnya, fahaman Wahabi juga tidak sama dengan 'Sunnah Perlis' yang diamalkan oleh sebahagian penduduk Perlis sekarang. 'Sunnah Perlis' bukanlah Wahabi, sebaliknya satu aliran pembaharuan bagi memajukan umat Islam dalam pelbagai bidang," katanya lagi.
"Perlis tidak pernah menjadi Wahabi. Buku-buku tokoh Wahabi seperti Syeikh Muhammad Abdul Wahab tidak pernah diajarkan di Perlis. Pandangannya tidak pernah timbul dan dirujuk. Beliau bukanlah seorang ahli fekah. Kalau tanya orang Perlis siapa Muhammad Abdul Wahab, mereka pun tidak kenal," katanya.
Tokoh agama muda itu mengulas kekeliruan berhubung penggunaan istilah 'Wahabi' bagi merujuk kepada beberapa pandangan dan pengamalan agama negeri itu yang berbeza dengan pengamalan di negeri-negeri lain. Dr Mohd Asri turut menjelaskan, istilah yang tepat bagi menggambarkan pengamalan agama di Perlis adalah 'Kaum Muda'. Katanya, gerakan pembaharuan 'Kaum Muda' dikembangkan oleh tokoh-tokoh yang mendapat pendidikan agama di Timur Tengah, seperti Syed Syeikh al-Hadi sebelum kemerdekaan negara pada tahun 1957. Gerakan itu, tambahnya, mahu menggerakkan perubahan dalam pelbagai aspek masyarakat seperti pendidikan dan penindasan terhadap kaum wanita.
Beliau berpendapat, pendekatan pembaharuan yang diperkenalkan oleh Syeikh Muhammad Abdul Wahab di Arab Saudi pada tahun 1701 tidak sesuai untuk digunapakai di Malaysia kerana cirinya yang keras, akibat 'situasi padang pasir' ketika itu.
Di Barat, Wahabi ini selalu dikaitkan dengan keganasan,” jelas beliau yang dilantik sebagai ahli Majlis Agama Islam Perlis baru-baru ini. Ditanya kenapa perdebatan agama di Perlis hanya melibatkan isu-isu kecil fekah semata-mata, Dr Mohd Asri berkata, perkara itu mungkin disebabkan tidak banyak tokoh-tokoh besar Kaum Muda di negeri itu.
“Mungkin kita banyak tokoh-tokoh kecil di Perlis. Bukan hendak kata mereka salah. Tetapi tokoh-tokoh kecil ini melihat perkara-perkara yang kecil. “Sebab itu, waktu saya dulu (ketika jadi Mufti), saya cuba menimbulkan isu-isu yang lebih besar dan sejagat,” jelasnya.
Perdebatan agama sentiasa tercetus di Perlis apabila terdapat beberapa fatwa dan pengamalan fekah yang berbeza diamalkan, antaranya seperti melaungkan azan hanya sekali untuk solat Jumaat, tidak membaca talqin untuk jenazah dan tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh.
Pada 7 Oktober 2008, Dr Mohd Asri memutuskan bersara mengejut akibat 'tidak selesa dengan permainan politik' oleh beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya. Tempatnya itu digantikan oleh Timbalan Mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya yang dikatakan mempunyai pandangan agama yang sealiran dengannya.

Friday, October 2, 2009

IMAM MASJID BUKAN WAHABI DITUKAR DI PERLIS?

Arahan pertukaran beberapa orang Imam di Perlis baru-baru ini telah mencetuskan tanggapan mengenai kemungkinan wujudnya usaha untuk memperluaskan fahaman ‘Sunnah Perlis' atau ‘Salafi' yang pada masyarakat umum, dikenali sebagai 'Wahabi'.
Walaupun negeri-negeri di Malaysia mengamalkan Mazhab Syafi'i dalam pengamalan fekah masing-masing, tetapi Perlis merupakan satu-satunya negeri yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab, sebaliknya menggunapakai hujah yang terkuat daripada keempat-empat mazhab utama bagi mengeluarkan sesuatu hukum. Perdebatan agama sentiasa tercetus di negeri itu ekoran terdapat fatwa dan pengamalan fekah yang berbeza diamalkan dalam fahaman ‘Sunnah Perlis'; antaranya seperti melaungkan azan hanya sekali untuk solat Jumaat, tidak membaca talqin untuk jenazah, tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh, manakala bacaan basmalah sebelum bacaan al-Fatihah dalam solat, dibaca secara perlahan, berbanding yang diamalkan dalam Mazhab Shafi'i.
Walaupun Perlis menerima ‘Sunnah Perlis' atau ‘Salafi'(baca: Wahabi) dalam undang-undang tubuh negeri itu, tetapi sejak 40 tahun lalu, ia tidak dikuatkuasakan. Ia juga diterima sebagai tidak bertentangan dengan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah. Bagaimanapun, sehingga ini difahamkan sebahagian besar atau 65% daripada kira-kira 100 masjid di Perlis, tidak mengamalkan ‘Sunnah Perlis' tersebut kerana mereka berpegang sepenuhnya kepada ajaran Mazhab Shafi'i.
Dua orang Imam di sebuah masjid di Kangar iaitu Masjid al-A'la Behor Temak yang tidak mengamalkan fahaman ‘Sunnah Perlis' telah menerima surat arahan pertukaran pada 18 Ogos lalu.
Menurut sumber, fahaman ‘Sunnah Perlis' atau ‘Salafi' itu mula digiatkan kembali apabila Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjadi mufti Perlis. Sumber itu juga mendakwa, mufti sekarang, Dr Juanda Jaya, turut meneruskannya.
Menurut sumber tersebut, dalam surat yang ditandatangani oleh Pengarah JAIPs, Malik Hussin, itu juga tidak menyatakan sebab pertukaran itu dengan jelas, tetapi sebaliknya memberikan alasan ia merupakan penyelarasan dan penyusunan semula Imam di Perlis.
"Sekarang mereka mula dengan Masjid al-A'la Behor Temak dulu, nak tengok respons (masyarakat) dulu," katanya sambil menambah, dua lagi masjid di Kangar, Masjid Behor Empiang dan Masjid Jalan Guar Syed Alwi bakal menjadi sasaran seterusnya. "Mereka sudah pergi dan maklumkan kepada masjid-masjid tersebut," kata sumber itu lagi.
Menurutnya, fahaman tersebut tidak pernah dikuatkuasakan sepanjang Datuk Alim Panglima Mat Jaya Hussin menjadi mufti selama 22 tahun di negeri itu sebelum ini. Manakala Dr Mohd Asri pula hanya mengeluarkan 'fatwa' supaya ajaran itu diikuti, tanpa mengambil tindakan menukarkan Imam masjid. Difahamkan, sebagai tanda bantahan, ketiga-tiga Imam masjid di Behor Temak itu meletakkan jawatan pada 31 Ogos, walaupun hanya dua daripada mereka yang terbabit dalam pertukaran tersebut.
Beberapa penduduk setempat juga membantah arahan pertukaran JAIPs dan telah menghantar surat rayuan bertarikh 14 September lalu dan memorandum bantahan yang ditandatangani kira-kira 200 penduduk. Ia diposkan kepada JAIPs.
Difahamkan juga, beberapa tokoh dalam majlis agama negeri itu dan NGO, Institut Sunnah Perlis telah dikaitkan dengan usaha menggiatkan pengembangan fahaman tersebut.
Di segi sejarahnya, aliran Wahabi diasaskan oleh Syeikh Muhammad Abdul Wahab di Arab Saudi pada 1701 dan popular di Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Somalia, Algeria, Palestin dan Mauritania. Di Malaysia, ia mula dikembangkan oleh tokoh-tokoh yang dikenali sebagai gerakan Kaum Muda yang mendapat pendidikan agama di Timur Tengah sebelum kemerdekaan negara pada 1957. Aliran itu dikembangkan daripada pandangan-pandangan Ibnu Taimiyyah, tokoh kontroversi pada abad kelima selepas kewafatan Nabi Muhammad (saw), yang membawa idea menyucikan agama dengan kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah, menggalakkan ijtihad dan menolak bid'ah dalam Islam.

Monday, September 7, 2009

REMAJA MURTAD CETUS PERBALAHAN DI FLORIDA

*Gambar: Rifqa memasuki mahkamah Florida di Orlando. Gambar kecil menunjukkan ibu Rifqa, 'Aisha, menangis dalam mahkamah melihat anaknya.
ORLANDO: Seorang remaja perempuan Muslimah yang lari dari rumah dan murtad untuk memeluk agama Kristian mencetuskan perebutan hak penjagaan di mahkamah Florida di antara muballigh Kristian dan keluarga Islam remaja itu. Kes membabitkan hak penjagaan remaja berusia 17 tahun yang berasal dari Sri Lanka itu akan diputuskan di mahkamah Florida.
Kumpulan muballigh Kristian terbabit menganggap kes itu membabitkan isu kebebasan beragama, manakala kumpulan Islam berkata ia hanyalah masalah keluarga. "Kami kesal (kes ini diperbesarkan) kerana ia hanyalah satu masalah keluarga,” kata Pengarah Pusat Islam Orlando,” Imam Tariq Rasheed. "Cara ia dipaparkan media lebih mirip kepada usaha memburukkan Islam dengan memberi gambaran negatif mengenai agama ini,” katanya.
Remaja berkenaan, Rifqa Mohamed Bary, meninggalkan keluarganya di Ohio Julai lalu dan pergi ke Orlando untuk memeluk agama Kristian. Rifqa yang kini tinggal di rumah keluarga seorang paderi berkata beliau bimbang tentang keselamatannya jika pulang ke pangkuan keluarganya. Bagaimanapun, bapa remaja itu berkata anak perempuannya itu tidak perlu bimbang kerana beliau bebas untuk mengamalkan agama barunya. Katanya, keluarga itu hanya mahu remaja itu pulang. Aktivis Kristian di Florida sedang melancarkan kempen untuk membenarkan remaja itu tinggal di negeri itu dengan menyatakan ia membabitkan isu kebebasan beragama kerana mereka mendakwa al-Quran memerintahkan hukuman mati terhadap mereka yang murtad.
Kumpulan Islam menafikan hujah berkenaan. "Tidak ada satu ayat pun dalam al-Quran yang menghalang seseorang daripada menggunakan haknya untuk memilih agama yang dianutinya. Juga tidak disentuh mengenai hukuman terhadap orang yang murtad,” kata Imam Rasheed.
Seorang Profesor Madya dalam bidang agama di Universiti Florida, Gwendolyn Zoharah Simmons, berkata isu itu mungkin berpunca daripada kebimbangan yang tidak rasional di kalangan mereka yang tidak memahami Islam. Menurutnya, "Apa yang lebih memalukan dalam isu ini ialah mereka yang sepatutnya lebih berilmu dan mempunyai nilai yang tinggi, sanggup menggunakan tanggapan salah untuk memperdayakan yang jahil dan menggalakkan keganasan.”

PENDUDUK UIGHUR TIDAK DIGALAKKAN BERPUASA

URUMQI: Pihak berkuasa di wilayah Xinjiang didakwa mengeluarkan notis tidak menggalakkan pekerja Uighur berpuasa di bulan Ramadan. Langkah juga didakwa diambil pihak berkuasa di wilayah yang menempatkan penduduk Islam etnik Uighur untuk memaksa mereka tidak mematuhi amalan agama ketika Ramadan. "Makanan tengah hari, teh dan kopi percuma yang disifatkan pihak berkuasa sebagai 'sagu hati daripada kerajaan' atau elaun sara hidup ditawarkan dalam jabatan dan syarikat tempatan. Bagaimanapun, ia sebenarnya satu usaha mengenal pasti siapa yang berpuasa," kata Dilxat Raxit, jurucakap Kongres Dunia Uighur. Dilxat berkata, pekerja Parti Komunis Uighur di seluruh Xinjiang dipaksa menandatangani surat aku janji tidak berpuasa atau melaksanakan aktiviti agama yang lain. Buat pertama kali, operasi berkenaan diperluas kepada ahli Parti Komunis bersara. Pekerja sedia ada dikehendaki melawat mereka untuk menggalakkan mereka tidak berpuasa. Pemilik restoran juga didakwa diarah membuka perniagaan ketika Ramadan atau lesen perniagaan dibatalkan.

IRAN TIDAK TUNDUK TERHADAP TEKANAN BARAT

TEHERAN: Iran memberi amaran tidak akan tunduk kepada 'ancaman dan tekanan' bagi memenuhi tempoh yang ditetapkan oleh kuasa dunia untuk mengadakan perbincangan mengenai program nuklearnya yang kontroversi.
"Negara kami percaya kepada jalan dialog dan interaksi, tapi jika mereka (enam kuasa dunia) mahu menetapkan tempoh tertentu dengan menggunakan ancaman dan tekanan, kami tidak akan menerimanya," kata jurucakap Kementerian Luar, Hassan Ghashghavi.
Reaksi Iran itu dibuat selepas Amerika Syarikat dan lima kuasa dunia lain mendesak Republik Islam berkenaan supaya menerima tawaran untuk bersemuka mengenai program nuklear sebelum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhir bulan ini.
Di Frankfurt, enam negara kuasa dunia berkenaan mengadakan pertemuan di Jerman bagi membincangkan isu nuklear Iran itu. Mesyuarat tertutup itu berlangsung berhampiran Frankfurt dan membabitkan pegawai Kementerian Luar dari Amerika Syarikat, Perancis, Britain, Rusia, China dan Jerman.
"Keenam-enam negara itu menekankan pintu masih terbuka untuk mencari penyelesaian kepada isu yang dirunding," kata seorang diplomat tertinggi Jerman. Beliau menggesa Teheran supaya bersetuju untuk berunding mengenai isu berkenaan sebelum Perhimpunan Agung PBB penghujung bulan ini.
Baru-baru ini, perunding utama Iran, Sa'eed Jalili berkata negaranya akan mengemukakan cadangan baru dan akan mengadakan perbincangan bagi meredakan kebimbangan pada peringkat antarabangsa.

Wednesday, August 26, 2009

LELAKI BERPOLIGAMI MENGAMUK

TEHERAN: Seorang lelaki Iran membunuh enam orang termasuk isteri pertama dan seorang anak perempuannya dalam kejadian amuk selepas satu pertengkaran keluarga. "Isteri pertama suspek, anak perempuan dan empat yang lain berusia antara 10 hingga 24 tahun terbunuh dalam kejadian itu," lapor agensi berita Isna, yang memetik komander polis wilayah, Alireza Akhbar Shahi. Alireza berkata, lelaki bersenjata itu adalah seorang pengamal poligami yang dikenali sebagai Mohammad A.
Lelaki itu turut mencederakan 11 yang lain termasuk isteri keduanya dan seorang anak lelaki mereka. "Dalam kejadian tersebut, kami menerima panggilan mengenai kejadian tembakan di kawasan penduduk Qods, di bandar Shahir," kata Akhbar Sani sambil menambah lelaki berusia 65 tahun itu juga merancang membunuh semua isterinya kerana mempunyai masalah keluarga. Semua mangsa tinggal di bangunan yang sama dengan lelaki bersenjata terbabit, kata komander polis sambil menambah bahawa lelaki itu hilang kawalan dan mula menembak orang di sekeliling beliau. Polis juga merampas beberapa senjata api.

ASKAR YAHUDI CURI ORGAN MAYAT REMAJA PALESTIN

*Gambar : Benjamin Netanyahu.

STOCKHOLM: Kerajaan Israel digegarkan dengan pendedahan mengenai kekejaman terbarunya di bumi Palestin apabila akhbar Sweden, 'Aftonbladet', menuduh tentera Yahudi mengambil organ mayat warga Palestin sebelum menyerahkannya semula kepada keluarganya.
Di Baitulmaqdis, laporan berita Palestin pula mendedahkan Israel cuba menghasut kekacauan pada Ramadan apabila sekumpulan pendeta Yahudi memasuki pekarangan Masjid al-Aqsa serta mengadakan majlis keagamaan pada hari kedua umat Islam berpuasa. Yayasan al-Aqsa menggesa penduduk Palestin segera melindungi tanah suci ketiga Islam itu.
Artikel kedua 'Aftonbladet' yang disiarkan baru-baru ini, melaporkan kejadian di kampung Imatin, utara Tebing Barat, lokasi Bilal Ahmad Ghanem, 19, terbunuh dalam satu pertempuran dengan tentera Israel pada 1992. Mereka menuduh tentera Israel mengambil organ remaja Palestin tersebut dan mengembalikan mayatnya beberapa hari selepas itu. Keluarga mangsa mendakwa, mayat Bilal dipulangkan dengan dibungkus dalam balutan hospital. Akhbar itu menyiarkan gambar mayat terbabit dengan kesan jahitan di leher hingga badan.
Artikel kedua bertajuk, 'Mother never stopped suffering; she never stopped wondering', memetik adik mangsa berkata, Bilal diburu Israel kerana mempertahankan Palestin. Sekumpulan askar Israel (IDF) menyerang dan melepaskan tembakan. Tembakan pertama mengenai dada (Bilal) dan kakinya. Ibunya, Sadija memberitahu 'Aftonbladet', mereka boleh menahan beliau tetapi memutuskan untuk membunuhnya. Keluarga itu mendakwa, IDF menuntut 5,000 shekel untuk menyerahkan mayat Bilal.
Mengulas isu itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang memulakan lawatan ke Eropah baru-baru ini, berkata: "Kami tidak mahu kerajaan Sweden memohon maaf, kami mahu mereka mengutuk laporan akhbar itu."

AHMADINEJAD UMUM SENARAI KABINET IRAN

TEHERAN: Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad, mengumumkan barisan Kabinet baru pimpinannya baru-baru ini. Tiga wanita berada dalam senarai 21 anggota kerajaan, kali pertama dalam sejarah 30 tahun Republik Islam itu. Barisan baru itu dihantar untuk kelulusan Parlimen, dua minggu selepas Ahmadinejad mengangkat sumpah pada 5 Ogos lalu.
Pembuat dasar akan mula meneliti barisan nama terbabit bermula 23 Ogos sebelum melakukan undi percaya 30 Ogos ini. Antara senarai menteri yang dicadangkan Ahmadinejad ialah Manouchehr Mottaki sebagai Menteri Luar, Masoud Mir Kazemi (Menteri Minyak), Ahmad Vahidi (Menteri Pertahanan), Heyder Moslehi (Menteri Perisikan), Morteza Bakhtiari sebagai Menteri Kehakiman dan Mostafa Mohammad Najjar (Menteri Dalam Negeri). Turut dicalonkan ialah Shamseddin Hosseini Menteri Ekonomi), Mehdi Ghazanfari (Menteri Perdagangan), Mohammad Hosseini (Menteri Kebudayaan dan Peraturan Islam) dan Sousan Keshavarz.

WANITA DIPENJARA DAN DISEBAT DI ARAB SAUDI

JEDDAH: Biasanya lelaki yang dipersalahkan kerana menipu untuk berkahwin tetapi dalam satu kes di Arab Saudi, seorang hakim mengenakan hukuman dua tahun penjara dan 300 sebatan terhadap seorang wanita kerana menipu beberapa lelaki dengan mengahwini mereka secara berasingan. Wanita terbabit menyamar sebagai seorang bujang memberi persetujuan untuk berkahwin melalui konsep perkahwinan 'misyar' (baca: mis-yar) dengan beberapa lelaki berkenaan tetapi bertindak melarikan diri selepas menerima bayaran mas kahwin, lapor akhbar Saudi Gazette. 'Misyar' adalah perkahwinan kontrak yang menetapkan pasangan akan hidup berasingan tetapi mereka masih berjumpa.
Konsep perkahwinan itu adalah bagi membolehkan seseorang lelaki mengelak kos perkahwinan yang mahal, bayaran mas kahwin yang tinggi selain tidak perlu menyediakan rumah kepada isteri
. Satu sumber mahkamah berkata, wanita berkenaan sudah berkahwin dengan seorang lelaki Arab Saudi yang lanjut usia. Tertuduh mencari suami 'misyar' dengan bantuan seorang ejen pencari jodoh untuk wanita dan seorang lelaki yang berusia 30 tahun.
Pencari jodoh wanita dan lelaki itu akan merundingkan perkahwinan 'misyar' bagi pihak wanita yang dijatuhi hukuman penjara dan sebat itu. Lelaki yang terbabit bersubahat dengan wanita dalam kes itu turut dijatuhi hukuman penjara setahun dan 150 sebatan kerana menipu. Selepas menerima mas kahwin dan melakukan upacara perkahwinan itu, 'isteri terbabit' akan hilang bersama wang berkenaan. Tertuduh mengaku bersalah terhadap semua dakwaan terhadapnya. Wanita berkenaan ditahan selepas suaminya memfailkan aduan kepada polis bahawa isterinya itu mempunyai hubungan dengan beberapa lelaki lain dan sengaja menipu melalui beberapa perkahwinan 'misyar'.
Sementara itu, mangsa penipuan pesalah berkenaan dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut ganti rugi wang yang dibayar mereka dalam bentuk mas kahwin kepada wanita terbabit.

KADAR BUNUH DIRI MENINGKAT DI AMERIKA SYARIKAT

WASHINGTON: Krisis kewangan turut meningkatkan kadar bunuh diri di tempat kerja yang mana Jabatan Buruh Amerika Syarikat mendapati rekod kenaikan sehingga 28 % bagi kadar bunuh diri yang dilaporkan tahun lalu. Sebanyak 251 kes bunuh diri di tempat kerja dilaporkan pada 2008, disifatkan angka tertinggi sejak agensi Biro Statistik Buruh mula mencatatkan bilangan kes. Agensi itu, baru-baru ini melaporkan pengurangan sebanyak 10 peratus dalam bilangan keseluruhan mereka yang dilaporkan mati di tempat kerja, iaitu daripada 5,657 pada 2007 kepada 5,071 tahun lalu, bilangan terendah sejak ia mula merekodkan angka pada 1992.

Wednesday, August 19, 2009

9 KAKITANGAN KEDUTAAN BRITAIN AKAN DIBICARA DI IRAN

TEHERAN - Seorang ulama yang berpengaruh di Iran mengumumkan beberapa kakitangan Kedutaan Britain akan dibicarakan atas dakwaan mencetuskan ketegangan selepas pilihan raya, langkah yang dijangka bakal menjejaskan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
"Dalam insiden ini, kedutaan mereka ada memainkan peranan, beberapa orang telah ditangkap. Secara amnya mereka akan dibicarakan, mereka telah membuat pengakuan," kata Ketua Majlis Pengawal, Ahmad Jannati pada khutbah Jumaat di Teheran baru-baru ini.
Seramai 9 kakitangan tempatan di Kedutaan Britain telah ditahan, namun London menyatakan tujuh dari mereka telah dibebaskan manakala televisyen negara Iran melaporkan hanya seorang yang masih dalam tahanan.
Iran menuduh kakitangan-kakitangan tersebut sebagai memulakan rusuhan dalam ketegangan yang timbul akibat rasa tidak puas hati terhadap kemenangan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad ke atas para pesaing politiknya yang mana terdapat dakwaan berlaku penipuan undi.

Monday, August 17, 2009

Teater Arahan FAISAL TEHRANI : "Kopitiam Ghadir"


Pementasan Kopitiam Ghadir:
Tarikh : 13-16 hb Ogos.
Waktu : Bermula tepat pukul 9.00 malam.
Tempat : Institut Terjemahan Negara Malaysia, Wisma ITNM, No 2, Jalan 2/27E, Seksyen 10,Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur.
*Pengangkutan awam berhampiran ITNM ialah LRT Putra (turun di stesen Wangsa Maju) dan dapatkan teksi atau bas yang banyak beroperasi.
*Tempoh pementasan hanyalah 1 jam 30 minit, justeru masih banyak masa setelah tamat pementasan untuk mengejar tren atau bas akhir.
*Sila telefon Luqman Hisyam (012-2335263), selaku pengurus produksi untuk sebarang pertanyaan dan tempahan tiket (sms nama anda, tempahan malam pementasan dan jumlah tiket).
*Harga tiket : Hanyalah RM10 sahaja.

Sunday, August 16, 2009

ANAK LUAR NIKAH MENINGKAT

*Gambar : Sekadar hiasan.
Johor Baharu - Johor mencatat jumlah kelahiran anak luar nikah seramai 2,399 orang bermula Januari sehingga Mei tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada 15,610 orang sejak 2005.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, berdasarkan jumlah itu, kaum Cina mencatat jumlah kelahiran anak luar nikah tertinggi iaitu 1,397 orang diikuti Melayu seramai 592 orang dan India (410).
Beliau berkata, jumlah kelahiran anak luar nikah di negeri ini pada tahun lalu adalah seramai 3,380 orang yang menyaksikan peningkatan jumlah bagi setiap tahun sejak 2006.
"Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara, jumlah anak luar nikah di bawah umur 21 tahun sepanjang lima bulan tahun ini adalah seramai 400 orang manakala pada tahun lalu 880 orang. Sementara itu, jumlah permohonan daftar lewat kelahiran pula bermula Januari hingga 25 Jun lalu adalah seramai 732 orang dan jumlah keseluruhan permohonan sejak 2006 adalah seramai 4,302 orang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Md. Othman Yusof (BN- Kukup) mengenai masalah anak luar nikah dan langkah mengatasinya pada persidangan DUN di Kota Iskandar di sini.
Robia berkata, antara langkah yang diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) adalah dengan meningkatkan pelaksanaan program pembangunan remaja berasaskan Modul Permata KASIH.
Beliau berkata, LPPKN juga menyediakan kemudahan setempat pusat remaja iaitu Cafe@TEEN di ibu pejabat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menerusi perkhidmatan kaunseling, ceramah perkembangan remaja dan pembimbing rakan sebaya.
Jelasnya, program kembara kaunseling yang disifatkan sebagai 'titik mula' perkhidmatan kaunseling kepada masyarakat turut dilaksanakan melalui program ujian psikometri berkaitan 'gaya bercinta' dan 'kecenderungan kerjaya' sebagai daya tarikan kepada remaja menyertainya.
"Berhubung masalah daftar lewat kelahiran di kalangan anak luar nikah, kerajaan memandang serius perkara itu berikutan ketiadaan sijil kelahiran akan menyebabkan kesukaran pendaftaran persekolahan pada masa akan datang. Justeru, Jabatan Pendaftaran Negara mengambil inisiatif dengan pergi ke kawasan pedalaman untuk membuka kaunter pendaftaran dengan melaksanakan Ops Mydaftar dalam usaha mengatasi masalah ini," katanya.

ARUS DERAS HALANG HASRAT ZAHRA'

KUALA LUMPUR - Usaha perenang muda negara, Zahra' Ma'soumah Abdul Halim menyeberangi Selat Inggeris sejauh 34 kilometer gagal ekoran arus deras di perairan itu. Cabaran berenang dari Dover, England ke Calais, Perancis terpaksa dihentikan disebabkan oleh pertembungan arus yang merubah laluan renangnya.
Pengerusi Kelab Explorasi 7 Benua (KE7B), Muqharabbin Mokhtarudin berkata, keadaan laut dengan ombak setinggi 1.5 meter tidak mengizinkan gadis itu meneruskan misi walaupun ketika itu Zahra sudah berenang selama 12 jam 28 minit.
Menurutnya lagi, "Zahra dihanyutkan arus deras yang membawa beliau ke arah utara (Belanda dan Belgium) sebaik memasuki perairan Perancis. Beliau tidak mampu melawan arus kuat yang mungkin akan menyebabkannya hanyut semula ke perairan Inggeris."
Muqharabbin memberitahu, misi itu tetap akan diteruskan cuma terpaksa ditunda ke satu tarikh yang masih belum ditetapkan.
Menurut beliau, ketika Zahra diarahkan jurulatihnya, Arof Omar supaya berhenti, pelajar berusia 18 tahun itu masih bersemangat untuk meneruskannya.
"Rekod mungkin dapat dicipta pada hari itu, tetapi ia akan mengambil masa yang terlalu lama, kira-kira 28 jam. Tetapi kita bangga kerana beliau menunjukkan semangat dan keupayaan fizikal yang mengagumkan," katanya yang turut mengiringi Zahra menggunakan bot di perairan itu.
Katanya, sebelum ini, seorang perenang Cuba turut mengalah selepas empat jam dipukul ombak dan berenang di selat berarus sejuk itu.
Sekiranya berjaya, Zahra, pelajar Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu akan menjadi wanita Islam pertama di dunia yang melakukannya.
Misi merentasi Selat Inggeris yang merupakan fasa ketiga Eksplorasi Ekstrem Tujuh Benua Tujuh Negara (EE7B7N) bermula sejak 2004 itu ditunda ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Bagi peringkat kedua fasa tersebut, Muqharabbin juga akan melakukan triathlon dengan berenang dari Dover ke Calais, kembali ke Dover dengan berkayak dan berbasikal ke London sejauh 120km.
Pada 23 Ogos 2007, Zahra bersama adiknya, Salman yang ketika itu berusia 10 tahun hampir memecahkan rekod perenang marathon negara, Datuk Abdul Malik Maidin apabila berjaya berenang dari Langkawi ke Kuala Perlis sejauh 43km dalam masa 14 jam.

Wednesday, August 12, 2009

ZAHRA GAGAL TAKLUK SELAT INGGERIS

DOVER - Usaha perenang muda, Zahra Ma'soumah Abdul Halim untuk menjadi perenang wanita pertama negara merenangi Selat Inggeris gagal apabila dia terpaksa menghentikan renangannya pada pukul 6.20 petang waktu London ekoran air pasang dan tiupan angin kencang.
Sebelum ini, Zahra, 17, penuh semangat dan keazaman yang tinggi untuk meneruskan renangannya walaupun terpaksa berenang mengharungi ombak besar dan arus yang kuat.
Pada pukul 1 pagi waktu tempatan (6 petang waktu London), Zahra masih bersemangat untuk menghabiskan separuh lagi renangannya walaupun telah 12 jam berenang tanpa henti.

Tuesday, August 11, 2009

TENTERA AMERIKA SYARIKAT MULA BERUNDUR DARI IRAQ

*Gambar : Penduduk Iraq di Baghdad meraikan pengunduran peringkat pertama tentera Amerika Syarikat dari bandar-bandar di negara itu sehingga 2011.

BAGHDAD - Tentera Iraq secara rasmi mengambil alih kawalan ke atas Baghdad dan bandar-bandar lain selepas tentera Amerika Syarikat menyerahkan kawalan keselamatan di kawasan bandar, dalam satu langkah ke arah menamatkan peranan tempur mereka di negara tersebut.
Pengunduran tentera Amerika Syarikat itu turut disiarkan melalui stesen televisyen Iraq.
''Pengunduran tentera Amerika Syarikat kini lengkap di semua bandar. Kita sedang meraikan pemulihan kedaulatan negara,'' kata penasihat kanan kepada Perdana Menteri, Nuri al-Maliki, Sadiq al-Rikabi.
Pentagon, bagaimanapun tidak memberi sebarang ulasan sebagai menandakan berakhirnya pengunduran itu.
Percikan bunga api menerangi ibu negara itu, ketika ribuan rakyat Iraq menghadiri satu majlis sambutan di sebuah taman yang turut mengadakan persembahan lagu-lagu patriotik oleh penyanyi-penyanyi tempatan.
Pembesar suara di balai-balai polis dan tempat pemeriksaan keselamatan tentera turut memainkan rakaman lagu yang sama sepanjang hari, ketika kenderaan-kenderaan tentera Iraq yang dihiasi bunga serta bendera Iraq meronda di sekitar kawasan ibu negara.
''Kami semua sangat gembira termasuk masyarakat Syiah, Sunnah dan Kurdis. Amerika Syarikat telah merosakkan dan menghina kami secara keterlaluan,'' kata seorang rakyat Iraq, Waleed al-Bahadili.
Nuri turut mengumumkan cuti umum selain mengisytiharkan tarikh 30 Jun sebagai Hari Kedaulatan Kebangsaan.
Pengunduran tentera Amerika Syarikat seperti yang dipersetujui dalam perjanjian keselamatan Amerika Syarikat-Iraq, menandakan satu langkah pertama ke arah pengunduran semua tentera negara tersebut dari Iraq menjelang 31 Disember 2011.
Pengambilan alih kuasa oleh tentera Iraq membanggakan rakyat negara ini, namun mereka juga khuatir sekiranya tentera kerajaan tidak bersedia, di samping kebimbangan keganasan akan meningkat.

OBAMA AKAN PERTAHAN ZIONIS ISRAEL

BAITULMAQDIS - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah meyakinkan Israel bahawa ia akan terus mempertahankan negara Yahudi itu dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), walaupun berlaku perbalahan mengenai penempatan haram di Tebing Barat, kata Duta Israel ke PBB baru-baru ini.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu enggan tunduk kepada permintaan Obama untuk menghentikan pembinaan penempatan haram di kawasan jajahannya yang dikehendaki penduduk Palestin sebagai negara mereka, mencetuskan spekulasi bahawa Washington akan mengenakan tekanan diplomatik.
Satu senario memperlihatkan Amerika Syarikat yang sebelum ini menggunakan kuasa veto terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengecam Israel, berhenti memberi sokongan di badan dunia itu atau menyekat akses Israel kepada penentuan keputusan Amerika Syarikat.
Ketika ditanya oleh saluran televisyen Channel Ten di Israel sama ada risiko kehilangan veto itu, Shalev berkata, "Kami diberitahu secara jelas (oleh Amerika Syarikat) bahawa tiada rundingan dan tiada perbincangan langsung dalam pentadbiran mereka berhubung hal tersebut."
"Terdapat dialog berterusan antara delegasi dan duta-duta. Terdapat juga dialog yang sangat baik antara saya dengan Duta Amerika Syarikat, Susan Rice yang merupakan kawan rapat kepada Obama," ujarnya.

Monday, August 10, 2009

ISRAEL PINTAS BOT AKTIVIS HAK ASASI MANUSIA

NICOSIA - Tentera laut Israel memintas sebuah bot aktivis hak asasi manusia yang membawa bantuan berlayar menuju ke Gaza, mengepung bot berkenaan dan mengarahkan mereka supaya berpatah balik.
"Bot yang membawa 21 orang itu berada di perairan antarabangsa ketika ia diarahkan supaya berpatah balik," kata ahli kumpulan aktivis, Pergerakan Bebaskan Gaza, yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Cyprus. Tentera Israel enggan mengulas laporan tersebut.
"Terdapat bot peronda tentera di sekeliling bot kami dan kami diberitahu sekiranya kami tidak berpatah balik, mereka akan tembak kami," kata seorang aktivis, Derek Graham, berasal dari Ireland.
"Namun, kami akan meneruskan matlamat kami ke Gaza," katanya.
Graham bercakap menerusi telefon satelit dari sebuah bot feri yang telah meninggalkan Cyprus. Antara aktivis itu adalah seorang rakyat Ireland yang pernah menerima Nobel Keamanan dan seorang bekas anggota Kongres Amerika Syarikat.
Di Cyprus, kumpulan itu juga berkata, bot itu menerima arahan melalui komunikasi dari dalam bot itu yang mengarahkan mereka supaya berpatah balik atau mereka akan ditembak.
Israel telah memperketatkan sekatan di Gaza pada 2007 selepas kumpulan Hamas mengambil alih kuasa di wilayah Palestin tersebut, yang merupakan kawasan yang kecil didiami lebih 1.5 juta penduduk Palestin.
Tentera laut Israel sering melakukan rondaan di perairan pantai Gaza. Ia telah memintas kumpulan aktivis-aktivis hak asasi manusia yang berlayar menuju ke Gaza dalam dua kejadian sebelum ini.

IRAN SIASAT KEMATIAN NEDA AGHA SOLTANI

TEHERAN - Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad meminta siasatan dijalankan ke atas kematian Neda Agha Soltani, wanita yang terbunuh pada 21 Jun lalu, semasa satu tunjuk perasaan membantah kemenangannya dalam pilihan raya Presiden.
''Memandangkan kepada laporan yang direka bersama-sama insiden yang amat menyedihkan dan penyebaran propaganda oleh media asing, ia seolah-olah jelas menunjukkan campur tangan musuh Iran yang mahu memanipulasi situasi secara politik dan mencemarkan imej Republik Islam ini. Sehubungan itu, saya meminta anda mengarahkan pihak berkuasa badan kehakiman untuk menyiasat pembunuhan wanita ini dengan serius dan mengenal pasti serta mendakwa anasir-anasir di sebalik pembunuhan ini,'' katanya menerusi sepucuk surat kepada ketua badan kehakiman, Ayatullah Mahmoud Hashemi Shahroudi.
Neda, 26, muncul sebagai ikon pembangkang yang membantah kemenangan Ahmadinejad, selepas satu rakaman video menunjukkan saat-saat terakhirnya disiarkan di seluruh dunia.
Rakaman video itu menunjukkan beberapa lelaki Iran cuba membantu menyelamatkan Neda, yang mengalami pendarahan dari mulut dan hidungnya. Wanita itu terbunuh akibat terkena peluru sesat ketika mengadakan tunjuk perasaan di Teheran.
Seorang doktor Iran, Dr. Arash Hejazi, memberitahu BBC, dia berusaha untuk menyelamatkan Neda akibat pendarahan teruk setelah terkena tembakan tersebut.

8 KAKITANGAN KEDUTAAN BRITAIN DITAHAN

TEHERAN - Iran telah menahan 8 kakitangan warga tempatan di Kedutaan Britain baru-baru ini, dalam tindakan yang pasti akan menegangkan lagi hubungannya dengan Barat berhubung kekecohan selepas pilihan raya di Republik Islam itu.
Ia adalah tindak balas terbaru terhadap Britain yang dituduh Iran sebagai mencetuskan ketegangan yang melanda selepas pilihan raya Presiden memihak kepada Dr Mahmoud Ahmadinejad untuk kekal memegang jawatan itu.
"8 kakitangan tempatan di Kedutaan Britain yang memainkan peranan dalam rusuhan terbaru telah ditahan," lapor agensi berita Fars.
Menteri Luar, Manouchehr Mottaki memberi amaran bahawa Iran mungkin menurunkan taraf hubungannya dengan Britan selepas kedua-dua kerajaan saling mengusir diplomat. Iran juga telah mengusir koresponden BBC di Teheran dan menangkap seorang wartawan Britain serta sebilangan pemegang pasport Britain yang didakwa terlibat dalam rusuhan.
Mir Hossein Mousavi, seteru kepada Ahmadinejad dalam proses demokrasi 12 Jun lalu, menegaskan pilihan raya baru perlu diadakan sementara seorang lagi calon yang tewas, Mehdi Karroubi mendesak panel bebas diwujudkan untuk menyiasat perkara yang tidak kena dalam pengundian.
Penentangan mereka seolah-olah mencabar permintaan badan timbang tara politik tertinggi Iran, Majlis Kewajaran yang menyeru semua calon memberi kerjasama dengan panel yang ditubuhkan oleh pemantau pilihan raya, Majlis Pengawal.
Berdepan dengan ancaman terburuk sejak 30 tahun lalu, Iran cuba menangani rasa tidak puas hati yang timbul mengenai keputusan pilihan raya dengan mengumumkan kiraan semula sebahagian undi.

TERIMA HUKUMAN KERAS - SAYYID ALI KHAMENEI

TEHERAN - Pemimpin tertinggi Iran (Rahbar), Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei menggesa supaya pemimpin yang menganjurkan protes di negara tersebut dihukum secara tegas, malahan dijatuhi hukuman mati sekiranya mereka didapati menentang sistem pemerintahan Islam.
Kenyataan Rahbar itu menggambarkan tindakan terbaru dan keras Iran bagi mematahkan tunjuk perasaan, dua minggu selepas berlangsungnya pilihan raya Presiden yang dipertikaikan.
Golongan yang kuat menyokong kerajaan sebelum ini telah mendesak supaya mereka yang terlibat dijatuhi hukuman penjara yang lama serta digantung dan sesetengah pihak (baca: musuh Islam) khuatir dengan kenyataan keras Khamenei itu akan mempengaruhi pihak mahkamah untuk menjatuhi hukuman yang keras ke atas mereka yang sedang menunggu perbicaraan.
''Sesiapa yang mengangkat senjata untuk menentang rakyat, patut dihukum bunuh,'' kata Rahbar ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Universiti Teheran baru-baru ini, yang disiarkan secara langsung di seluruh negara.
Menurut Rahbar lagi, sesiapa yang mengganggu ketenteraman awam dan merosakkan harta benda awam disifatkan sebagai 'mengisytiharkan perang terhadap Tuhan' dan wajar 'diadili tanpa belas kasihan'.
Rahbar turut mengecam wartawan asing sambil menuduh mereka telah menyiarkan laporan palsu. Beliau turut mengkritik Britain yang sebelum ini telah diambil tindakan oleh kerajaan Iran melalui penyingkiran dua diplomat British, diikuti tindakan balas oleh Britain menyingkirkan dua diplomat Iran.

AMERIKA SYARIKAT DAN JERMAN KUTUK IRAN

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Canselor Jerman, Angela Merkel, mengalu-alukan tindakan penyokong pembangkang mengadakan tunjuk perasaan di Iran baru-baru ini dan mengutuk keganasan yang dilakukan oleh kerajaan Republik Islam itu terhadap mereka.
''Keberanian mereka (penunjuk perasaan) berdepan dengan kekejaman merupakan satu bukti bagi mendapatkan keadilan. Keganasan yang dilakukan terhadap mereka juga sangat mengejutkan. Di sebalik usaha kerajaan Iran untuk menghalang dunia menyaksikan keganasan itu, kami melihat dan mengutuknya,'' kata Obama pada satu sidang akhbar bersama dengan Merkel, selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan tertutup di White House baru-baru ini.
Antara yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin itu adalah proses mempercepatkan perdamaian di Asia Barat, memerangi isu militan di Afghanistan dan mewujudkan hubungan substantif dengan Rusia.
Ini merupakan pertemuan kali ketiga antara mereka selepas Obama dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Merkel pada sidang akhbar itu menyokong pendirian Obama dengan berkata, Iran perlu dihalang daripada mendapatkan senjata nuklear. Beliau turut meminta supaya mangsa-mangsa keganasan di Iran dikenal pasti serta nasib yang menimpa mereka dibela.
''Iran tidak boleh mengharapkan dunia akan menutup mata terhadap apa yang telah dilakukan terhadap penunjuk perasaan. Kami tidak akan lupakannya,'' ujar beliau.

MENILAI KONFLIK POLITIK DI IRAN

Oleh : Mazlan Nordin.

Para pelajar yang mengikuti mata pelajaran sejarah di sekolah dalam masa penjajahan dulu kadang-kala diajar hal-hal yang diputarbelitkan atau pendapat berat sebelah. Lalu kami diberitahu, 'orang Greece adalah pahlawan dan bangsa Parsi adalah orang jahat'.
Cerita sepenuhnya tidak disampaikan, termasuk kisah Alexander the Great selepas kemenangannya di medan perang, seperti dicatat oleh sejarawan kemudiannya, "Setelah menduduki takhta Darius, maka beliau menoleh ke arah Greece lalu melihat keadaan-keadaan yang baginya tidak wajar, iaitu setelah melihat negeri lain bagi kali pertama. Banyak hal di Parsi terpaksa dikaguminya dan beberapa perkara negara sendiri dikritik. Interaksi kebudayaan Parsi dan Greece mendorong lebih 10,000 askar dan pegawai mereka berkahwin dengan wanita-wanita Parsi."
Kisah-kisah seperti ini kembali dalam ingatan ketika mengikuti laporan-laporan pihak media Barat mengenai keadaan di Iran kini, iaitu berita-berita demonstrasi demi demonstrasi dan pertembungan dengan pihak polis. Segalanya berlaku selepas pilihan raya 12 Jun lalu yang dimenangi oleh Presiden Ahmadinejad sekali lagi.
Antara tajuk-tajuk laporan akhbar dan televisyen pihak Barat, 'Sikap anti-kerajaan paling meluas sejak Revolusi Islam 1979', 'Penunjuk perasaan mengejek dari bumbung-bumbung bangunan', 'Iran tuduh Amerika dan Britain campur tangan hal dalam negeri Iran', 'Wartawan BBC London diusir', 'Iran tutup biro televisyen al-Arabiya', 'Tunjuk perasaan sokongan di New York, Washington, Los Angeles', 'Perpecahan pendapat di kalangan pemimpin Iran', 'Amerika punyai pelarian bangsa Iran paling ramai', 'Siaran BBC London dalam bahasa Parsi disekat', 'Demonstrasi bawa akibat buruk kepada ekonomi Iran'.
Juga dilaporkan ialah adanya 20,000 orang Yahudi masih bermastautin di Iran. Kenyataan rasmi Iran mengenai 11 juta rakyatnya mengundi juga disiarkan.
Sebelum itu dilaporkan kritikan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, Canselor Jerman, Angela Merkel dan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.
Setelah kerajaan Iran mengusir sebilangan ramai wartawan asing, salah satu stesen televisyen menyiarkan kenyataan, "Kirimlah gambar-gambar Iran kepada kami." Juga diminta ialah berita-berita dari 'citizen journalists', iaitu bukan wartawan.
Berulang disiarkan ialah kenyataan Mir Hussein Mousavi yang tewas dalam pilihan raya bahawa ia 'sedia mati syahid'. Beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1980-1988 semasa berlaku peperangan di antara Iran dan Iraq yang waktu itu dipimpin oleh Presiden Saddam Hussein.
Sementara itu, Presiden Barack Obama dikritik di Amerika oleh Republikan kerana tidak berkeras mengkritik Iran. Serangan ke atasnya terutama dari golongan neo-konservatif yang bertanggungjawab menyerang Iraq pada tahun 2003.
Dalam melaporkan demonstrasi yang berlaku, ada wartawan-wartawan Barat menulis kononnya muncul sekularisme di Iran menentang Revolusi Islam. Tetapi sebenarnya tidak ada pemimpin sekular di Iran.
Dalam ingatan saya ialah kenyataan bekas Presiden Iran, Muhammad Khatami, "Pengaruh Revolusi Islam telah merebak ke seluruh dunia Islam. Ia membawa harapan baru kepada orang Islam dan mereka yang ditindas mencari kebebasan serta keadilan lalu dengan itu mewarnai iklim intelektual dan politik dunia."
Juga diungkit kembali ialah saranan supaya Israel mengebom pangkalan-pangkalan bersenjata Iran seperti telah dilakukan dulu ke atas Iraq. Tetapi pihak lain mengingatkan bahawa serangan seperti itu hanya akan melipatganda keazaman Iran yang tentunya mendapat sokongan lebih meluas dari rakyat.
Bagi tukang catat ini ialah kenangan lawatan ke Iran pada awal 1990-an dan persinggahan di makam Imam Khomeini di Beheshti Zahra serta kunjungan ke bandar Esfahan yang didirikan pada abad ke-4. Ia kemudian menjadi 'twin city' Kuala Lumpur.
Diziarahi semasa di Esfahan ialah Makam Bunga Pahlawan Mati Syahid selepas maghrib. Ia adalah perkuburan bagi beribu perajurit yang mati syahid semasa perjuangan Revolusi Islam dan perang selama 8 tahun dengan Iraq. Kelihatan ramai saudara mara menyiram air. Pada tiap kubur terdapat gambar perajurit yang bersemadi di situ.
*Gambar : Makam Omar Khayyam di Neisyabur, Iran.
*Gambar : Replika Omar Khayyam.
*Gambar : Makam Ferdausi di Thus, Iran
Iran, dulunya Persia diminati oleh sesetengah yang telah membawa puisi romantis Omar Khayyam dan Ferdausi yang menulis puisi 'Shah Nameh' 8 abad lalu - 60,000 rangkap ditulis selama 30 tahun. Antara sajaknya:
Andainya bumi membuka rahsianya,
dari awal hingga akhir,
tentunya terdedah tubuh raja-raja bermahkota,
dan darah pahlawan-pahlawan di sebelahnya,
ini dunia yang sementara,
tanamlah budi yang baik.
Seperti kata seorang jurucakap rasmi Iran baru-baru ini, "Kami tidak akan membenarkan permata menjadi batu."

Thursday, August 6, 2009

IRAN BERGEMBIRA SAMBUT KELAHIRAN IMAM MAHDI (aj)

Hari ini, 7 Ogos 2009 bersamaan 15 Sya'ban 1430, para pencinta Imamah dan Wilayah di seluruh Iran telah bersiap sedia untuk menyelenggarakan majlis memperingati kelahiran Imam Mahdi (af), Imam ke-12 bagi para pengikut mazhab Ahlul Bait di seluruh dunia.
Sempena dengan hari Nisfu Sya'ban, para pencinta Ahlul Bait di seluruh dunia bakal menziarahi bandar-bandar suci di Iran seperti Masyhad dan Qom bagi menghadiri pelbagai majlis yang penuh berkah. Ya Aba Salih! Adrikna!

Wednesday, August 5, 2009

AHMADINEJAD ANGKAT SUMPAH SEBAGAI PRESIDEN IRAN

TEHERAN - Dr Mahmoud Ahmadinejad yang mengangkat sumpah sebagai Presiden Iran bagi penggal kedua, mengutuk campur tangan asing dalam ucapannya di Parlimen serta menyeru rakyat supaya bersatu padu.
Ahmadinejad berikrar untuk melindungi perlembagaan Republik Islam itu tetapi ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah disampaikan dengan nada yang lembut. Ia luar biasa bagi pemimpin Iran itu yang lazimnya gemar menyampaikan ucapan berapi-api.
Beliau memberi fokus kepada dasar luar dengan berjanji untuk menjadikannya 'lebih kuat dan lebih berkesan menerusi rancangan-rancangan baru'.
"Saya dengan ini bersumpah dengan nama Allah untuk melindungi sistem Revolusi Islam dan perlembagaan dan saya akan berusaha sedaya upaya untuk melindungi sempadan Iran," katanya.
Beliau menggesa rakyat supaya bersatu padu dengan berkata: "Kita perlu berganding bahu sambil melangkah ke hadapan untuk mencapai matlamat kita."
Presiden itu tidak menyentuh tentang protes jalanan yang membantah kemenangannya dalam pilihan raya baru-baru ini tetapi berkata, kerajaan beliau akan 'menentang sebarang pencabulan undang-undang dan campur tangan'.
"Kita tidak akan berdiam diri, kita tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan biadab, campur tangan dan penghinaan," katanya.
Beliau turut menyindir negara-negara Barat dan Amerika Syarikat yang dituduhnya menyokong protes jalanan.
"Sesetengah negara tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya atau menyampaikan ucapan tahniah. Mereka tidak menghormati hak negara lain tetapi mereka mendakwa diri mereka sebagai kayu ukur demokrasi," kata Ahmadinejad dengan disambut tepuk sorak oleh ahli Parlimen.
Majlis angkat sumpah itu dihadiri oleh para pegawai tinggi kerajaan dan ulama tetapi diboikot oleh pemimpin pembangkang dan ahli Parlimen berfahaman sederhana.
Ratusan anggota polis ditempatkan di sekeliling Parlimen, manakala sebuah stesen kereta api bawah tanah yang berhampiran ditutup kepada orang ramai.
Kem pembangkang menerusi laman web dan blog mereka menyeru orang ramai supaya kembali menyertai protes jalanan serentak dengan majlis angkat sumpah itu.
Bagaimanapun tiada kekacauan berlaku di jalan dan bulatan utama di ibu negara Iran itu semasa majlis tersebut, tetapi saksi mendakwa sekurang-kurangnya 10 orang ditahan oleh polis.

Wednesday, July 22, 2009

DAULAH ISLAMIYYAH - DULU DAN SEKARANG

Oleh : DR MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN (Bekas Mufti Perlis).

Kebangkitan rakyat Iran membantah keputusan pilihan raya mereka baru- baru ini menjadi berita hangat di seluruh dunia. Anggapan bahawa pilihan raya mereka tidak telus dan adanya unsur penipuan dikongsi jutaan rakyat negara tersebut. Ini merupakan kebangkitan yang terbesar sejak revolusi negara 'clergy' tersebut. Sudah pasti ada asas tertentu kepercayaan rakyat terhakis terhadap keputusan pilihan raya mereka atau ada isu lain yang mendesak mereka bangkit, sama ada isu ekonomi, kezaliman, penindasan dan seumpamanya.
Saya bukan ingin mengulas tentang pergolakan politik negara Syiah Imamiyyah tersebut. Namun adalah penting untuk kita tahu bahawa kebangkitan Revolusi Iran 1979 mempunyai peranan yang penting mempengaruhi perjuangan gerakan Islam di seluruh dunia dalam memperjuangkan apa yang diistilahkan sebagai 'Daulah Islamiyyah' (Islamic State).
Kejayaan Iran membentuk negara yang dikuasai kelompok mullah atau ulama membakar semangat Islam ramai pejuang Daulah Islamiyyah. Banyak pihak kagum dan menyanjung tinggi Ayatullah Khomeini dan pemikiran revolusinya. Sehinggalah isu-isu berkaitan Syiah timbul dengan jelas dan para penyanjung Khomeini seperti tokoh al-Ikhwan al-Muslimin Sa'id Hawwa mula menarik diri disebabkan perbezaan kefahaman aliran Sunnah dan Syi'ah. Beliau menulis buku 'al-Khumainiyyah : Syuzuz fi al-'Aqaid wa Syuzuz fi al-Mawaqif' (Khomeinisme : Pelik Dalam Akidah dan Pendirian). Ini kerana atas semangat revolusi tersebut, buku-buku Khomeini seperti Hukumah Islamiyyah, Kasyf al-Asrar dan lain-lain mula dibaca oleh para pencinta Islamic State dan mereka mula mendapati perkara-perkara yang amat sukar untuk diterima seperti menyandarkan zindiq dan kekufuran kepada Saiyyidina 'Umar bin al-Khattab (ra). Apapun Iran telah melakukan usaha yang hebat dalam menempatkan pemikiran politik agama dalam dunia ini.
Apa pun, Iran dengan aliran Syiah Imamiyyah ada keistimewaan yang tersendiri. Mazhab Syiah adalah mazhab politik. Ia tercetus hasil dari pertelingkahan politik lalu dibentuk menjadi mazhab akidah dengan dimasukkan dogma dan elemen akidah. Ayat-ayat al-Quran dan nas-nas Nabi (saw) ditafsirkan menurut asas kepercayaan politik tertentu. Tokok-tambah nas-nas Nabi (saw) begitu lama dan banyak sehingga menyebabkan mazhab itu stabil sebagai sebuah aliran politik agama. Hal ini tidak jauh dari apa yang berlaku kepada sesetengah gerakan atau parti politik agama dalam dunia ini. Pertelingkahan yang bermula dengan isu-isu politik dibentuk menjadi isu-isu akidah sehingga ke peringkat mengkafir dan menyesatkan antara satu sama lain. Namun Syiah Imamiyyah jauh lebih stabil disebabkan usia dan pengalamannya yang panjang. Begitu banyak hadis-hadis yang telah diwujudkan sepanjang tempoh kempen politik mereka yang berlarutan sejak hampir empat belas kurun lamanya. Hadis-hadis 'keluaran baru' politik memenuhi mazhab mereka. Ini seperti kononnya Nabi saw bersabda : "Sesiapa yang suka hidup seperti hidupku, mati seperti matiku, tinggal di syurga 'Adn yang ditanam oleh Tuhanku, maka hendaklah dia mengangkat 'Ali selepasku. Juga mengangkat penggantinya. Hendaklah dia mengikut para imam selepasku, kerana sesungguhnya mereka adalah kaum keluargaku, diciptakan daripada asal-usulku, direzekikan kefahaman dan ilmuku. Celakalah golongan umatku yang membantah kelebihan mereka dan memutuskan hubungan denganku. Semoga Allah tidak memberikan mereka syafaatku". Pada nilaian ulama hadis aliran Ahli Sunnah hadis ini palsu, sanadnya (rangkaian rawinya) gelap, kesemua para perawinya tidak dikenali dengan pasti kecuali seorang iaitu Ibn Abi Rawwad. Nama-nama para perawi lain tidak pernah disebut oleh para ulama al-Jarh wa at-Ta'dil. Apapun hadis ini disanjung oleh Syiah kerana ia penting dalam kempen politik yang dibawa oleh aliran tersebut.
Berbalik kepada isu pembentukan negara agama, Syiah nampaknya jauh lebih berpengalaman disebabkan itulah perjuangannya sejak awal kewujudannya. Perjuangan merebut kerajaan dari tangan pemerintah-pemerintah Muslim yang pernah ada sepanjang sejarah untuk membentuk negara yang tersendiri pada aliran dan pegangannya.
Adapun aliran muktabar Ahli Sunnah, mereka lebih cenderung menyerahkan urusan politik kepada sesiapa sahaja di kalangan umat Islam, dengan mereka mensyaratkan agar tidak menyanggahi al-Quran dan as-Sunnah, berlaku keadilan dan memerintah atas asas kemaslahatan rakyat. Sesiapa sahaja yang sanggup melakukan demikian dipuji dan disokong oleh para ulama Ahli Sunnah yang ikhlas, jika tidak amar makruf nahi munkar akan dijalankan. Bukan kecenderungan mereka mempolitikkan agama atau terlibat dengan politik agama. Inilah yang kita lihat dihayati oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam asy-Syafi'i, al-Imam Ahmad, al-Imam Ibnu Taimiyyah dan lain-lain. Ya, mereka merupakan pengkritik yang tegas dan berani, namun mereka tidak pernah menyeru untuk diberikan 'kerusi' kepada mereka. Berdasarkan kepada tulisan dan kenyataan mereka, ternyata mereka ingin mengelakkan penumpahan darah sesama kaum muslimin. Ya, politik itu penting namun bukanlah segala-galanya dalam kehidupan muslim. Juga politik bukan seperti ibadah khusus yang tetap dan tidak boleh diubah. Politik itu begitu anjal (fleksibel), terdedah kepada keadaan dan perubahan atas asas maslahah rakyat.
Apabila jatuh Khalifah di Turki dan kuasa-kuasa Barat menjajah dunia Islam, kesedaran umat Islam tentang tanggungjawab jihad membebaskan tanah air Islam berkembang. Selepas penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini tiada lagi negara khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku Fekah lama. Apa yang wujud adalah Nation State atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan tersendiri. Dalam proses menstabilkan negara masing-masing inilah munculnya istilah 'Daulah Islamiyyah' (Islamic State atau Negara Islam). Ini adalah reaksi kepada penjajahan dan selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak dikenali sebelum ini. Dahulu yang ada dalam Fekah sarjana silam (sebelum penjajahan) hanyalah istilah 'Darul Islam' iaitu 'Wilayah Islam'. Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam dan zahir syiar Islam. Sementara 'Darul Harb' atau disebut juga 'Darul Kufr' merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh bukan muslim dan bermusuhan dengan Darul Islam. Dalam erti kata lain, nilaian terhadap sesebuah wilayah atau negara itu berdasarkan penguasaan umat Islam ke atas wilayah tersebut dan wujudnya syiar Islam. Adapun soal sejauh manakah komitmen seseorang pemerintah itu, ia diuruskan oleh umat Islam di bawah tanggung jawab menasihati pemerintah juga Amar Makruf dan Nahi Munkar. Namun apabila istilah Daulah Islamiyyah muncul, maka lahir segelintir kelompok umat Islam yang mengkafirkan negara sendiri, bahkan mengkafirkan sesama muslim. Mereka seakan menjadikan Darul Islam yang diistilah oleh sarjana Fekah silam sebagai Darul Kufr atau Darul Harb yang wajib diperangi hanya disebabkan beberapa isu. Adaptasi ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh Khawarij dalam sejarah awal krisis antara umat Islam. (sila lihat : Fazlur Rahman, Revival And Reform in Islam, 33-43, England : Oneworld Publications).
Bagi kelompok ekstremis ini, untuk mencari definasi yang tersendiri bagi Daulah Islamiyyah agak sukar. Jika mereka memakai penafsiran silam yang memberi maksud wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, mereka terpaksa mengiktiraf negara-negara umat Islam sekarang adalah Daulah Islamiyyah. Sudah pasti mereka enggan. Jika mereka memakai takrif lain yang dibuat oleh sesetengah sarjana silam iaitu negara yang zahir padanya syiar Islam seperti azan dan solat dan amalan-amalan Islam yang lain, sudah pasti mereka juga terpaksa mengiktiraf kebanyakan negara umat Islam hari ini sebagai Daulah Islamiyyah. Jika mereka menyatakan negara yang sempurna perlaksanaan Islamnya, sudah pasti tidak ditemui dalam sejarah umat Islam melainkan beberapa khalifah sahaja. Akhirnya, mereka menetapkan negara Islam adalah negara yang melaksanakan hudud.
Dengan kemunculan Iran, mereka menetapkan satu hal yang lain, negara yang dikuasai oleh golongan 'mullah' (ulama). Hari ini, disebabkan perkembangan globalisasi dan politik setempat, sebahagian gerakan politik Islam sudah enggan lagi berbicara tentang hudud dan hasrat untuk menegakkan hudud. Bahkan, pandangan bahawa golongan mullah mestilah menjadi pemerintah mulai lemah. Iran sendiri sudah goyah akibat rakyat yang tidak lagi hanya mahu melihat pakaian dan slogan agama semata, tetapi mereka inginkan kemaslahatan dan hak mereka dipelihara. Hari ini sebahagian gerakan politik mungkin terpaksa memberikan takrif baru untuk 'Daulat Islamiyyah' atau Negara Islam!

Wednesday, July 15, 2009

SEORANG LAGI RAKYAT IRAN DITANGKAP KERANA BAWA SYABU BERNILAI RM5.75 JUTA

*Gambar :Md. Hassim Pardi (tengah) bersama Timbalan Pengarah Kastam cawangan Narkotik, Mohd. Subri Awang (kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di Nilai baru-baru ini.

SEREMBAN - Percubaan seorang lelaki warga asing untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai transit penyeludupan dadah, gagal lagi.
Ini berikutan kejayaan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menahan seorang lelaki warganegara Iran dan merampas dadah jenis syabu di lapangan terbang itu baru-baru ini. Lelaki warga Iran itu ditahan ketika cuba membawa masuk dadah jenis syabu di lapangan terbang berkenaan.
Penolong Ketua Pengarah KDRM (Penguatkuasaan), Datuk Md. Hassim Pardi berkata, lelaki Iran yang baru tiba dari Dubai itu ditahan pada pukul 3.40 petang oleh anggota KDRM.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan terhadap dua bagasi yang dibawa, pihaknya menemui 23 kilogram dadah jenis cecair dipercayai syabu yang dimuatkan dalam lima tin jeruk timun.
"Dadah syabu itu dianggarkan bernilai RM5.75 juta mengikut harga pasaran ketika ini," katanya pada sidang akhbar di pejabat KDRM Cawangan Narkotik di Kampung Jijan, Nilai dekat sini.
Difahamkan, ini merupakan rampasan dadah jenis syabu terbesar yang diperoleh KDRM tahun ini.
Pada 6 Jun lalu, 2 lelaki warga Iran ditahan di KLIA ketika cuba menyeludup masuk 20.4 kilogram dadah yang sama bernilai RM5.1 juta.
Menurut Md. Hassim, penyeludupan syabu dalam bentuk cecair ini merupakan kali pertama dikesan oleh pihaknya.
Beliau berkata, cecair jenis ini apabila terdedah kepada udara akan bertukar menjadi hablur kristal. Saringan awal pihaknya mengesahkan ia adalah dadah jenis methamphetamine atau syabu.
Berdasarkan siasatan awal, kata Md. Hassim, dokumen perjalanan lelaki Iran itu menunjukkan ia pernah memasuki negara ini sebanyak tiga kali.
Katanya, lelaki Iran itu kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.