Wednesday, July 15, 2009

SEORANG LAGI RAKYAT IRAN DITANGKAP KERANA BAWA SYABU BERNILAI RM5.75 JUTA

*Gambar :Md. Hassim Pardi (tengah) bersama Timbalan Pengarah Kastam cawangan Narkotik, Mohd. Subri Awang (kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di Nilai baru-baru ini.

SEREMBAN - Percubaan seorang lelaki warga asing untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai transit penyeludupan dadah, gagal lagi.
Ini berikutan kejayaan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menahan seorang lelaki warganegara Iran dan merampas dadah jenis syabu di lapangan terbang itu baru-baru ini. Lelaki warga Iran itu ditahan ketika cuba membawa masuk dadah jenis syabu di lapangan terbang berkenaan.
Penolong Ketua Pengarah KDRM (Penguatkuasaan), Datuk Md. Hassim Pardi berkata, lelaki Iran yang baru tiba dari Dubai itu ditahan pada pukul 3.40 petang oleh anggota KDRM.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan terhadap dua bagasi yang dibawa, pihaknya menemui 23 kilogram dadah jenis cecair dipercayai syabu yang dimuatkan dalam lima tin jeruk timun.
"Dadah syabu itu dianggarkan bernilai RM5.75 juta mengikut harga pasaran ketika ini," katanya pada sidang akhbar di pejabat KDRM Cawangan Narkotik di Kampung Jijan, Nilai dekat sini.
Difahamkan, ini merupakan rampasan dadah jenis syabu terbesar yang diperoleh KDRM tahun ini.
Pada 6 Jun lalu, 2 lelaki warga Iran ditahan di KLIA ketika cuba menyeludup masuk 20.4 kilogram dadah yang sama bernilai RM5.1 juta.
Menurut Md. Hassim, penyeludupan syabu dalam bentuk cecair ini merupakan kali pertama dikesan oleh pihaknya.
Beliau berkata, cecair jenis ini apabila terdedah kepada udara akan bertukar menjadi hablur kristal. Saringan awal pihaknya mengesahkan ia adalah dadah jenis methamphetamine atau syabu.
Berdasarkan siasatan awal, kata Md. Hassim, dokumen perjalanan lelaki Iran itu menunjukkan ia pernah memasuki negara ini sebanyak tiga kali.
Katanya, lelaki Iran itu kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

1 comment:

Mohd Samsuddin bin Harun said...

hi anak2 majusi melayu, pergi mampus dengan IRAN ko tuh, dtg cni niaga dadah disamping kembangkan Agama Syiah Majusi.... malang sungguh