Wednesday, March 18, 2009

SAH! IRAN BELI SISTEM PERTAHANAN UDARA RUSIA

*Gambar : Iran melancarkan ujian peluru berpandu di satu lokasi rahsia tahun lalu.

MOSCOW - Agensi-agensi berita Rusia memetik seorang pegawai kanan pertahanan mengesahkan bahawa satu kontrak menjual sistem peluru berpandu pertahanan udara kepada Iran telah dimeterai dua tahun lalu. Bagaimanapun, pegawai berkenaan memberitahu bahawa sehingga kini, senjata itu masih belum dihantar kepada Iran.
Pegawai-pegawai Rusia sebelum ini berulang kali menafikan negara itu membekalkan sejumlah peluru berpandu jenis S-300 kepada Iran. Pada masa yang sama, mereka enggan mengesahkan bahawa kontrak bagi tujuan itu wujud.
Agensi berita ITAR-Tass, RIA-Novosti serta Interfax memetik pegawai Perkhidmatan Kerjasama Teknikal Tentera itu sebagai berkata, kontrak tersebut ditandatangani dua tahun lalu.
Pembekalan peluru berpandu S-300 kepada Iran boleh menggugat imbangan ketenteraan di Asia Barat dan isu tersebut menjadi perdebatan hangat di kalangan diplomat selama beberapa bulan.
Israel dan Amerika Syarikat bimbang Iran akan menggunakan sistem peluru berpandu itu untuk melindungi kemudahan nuklearnya termasuk loji pengayaan uranium di Natanz sekali gus menjadikannya sukar untuk dimusnahkan.
Punca penangguhan penghantaran peluru berpandu itu masih belum diketahui tetapi sumber menyatakan pelaksanaan kontrak itu adalah berdasarkan keadaan semasa global serta keputusan eksekutif negara.
Seorang penganalisis politik, Ruslan Pukhov berkata, kontrak penjualan peluru berpandu itu lebih bermotifkan politik daripada komersial.

PRESIDEN PAS DIBERI PENGHORMATAN DI PERSIDANGAN ANTARABANGSA DI TEHRAN

KUALA LUMPUR - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah diberi penghormatan mempengerusikan Majlis Pembentangan 'International Islamic Unity' kali ke-22 di Iran pada 14 Mac 2009 yang lalu.
Menurut Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Ustaz Hadi telah diberi penghormatan menjadi pengerusi pembentangan di hari kedua setelah Mufti Oman menjadi pengerusi pada hari pertama persidangan tersebut.
Katanya, peserta persidangan tersebut adalah terdiri dari pimpinan gerakan Islam antarabangsa, ulama sunni dan syiah dari serata dunia.
"Pertemuan tahunan ulama sunni dan syiah terkemuka ini adalah untuk memperkukuhkan ikatan dalam menghadapi cabaran dunia barat terutamanya. Cabaran yg melanda ummat Islam di Gaza, Palestin, Benua Afrika dan di serata dunia juga turut dibincangkan dan dirangka strategi dalam menghadapinya," kata Ahmad.
*Gambar : Burhanuddin Rabbani.
Antara yang hadir katanya ialah Burhanuddin Rabbani daripada Afghanistan, Mufti Rusia termasuk para ulama dari Syria, Jordan, Amerika Syarikat, Oman, Mesir, Indonesia, Lebanon, Gambia dan lain-lain.

RUNDINGAN GAGAL...ISRAEL SALAHKAN HAMAS

BAITULMAQDIS : Rundingan antara Israel dan pejuang Hamas mengenai pertukaran tahanan Palestin dengan seorang askar Yahudi, berakhir tanpa sebarang perjanjian. Tel Aviv mendakwa, rundingan menemui kegagalan kerana Hamas mengambil pendirian lebih keras dan menarik balik persetujuan awal.
Kebuntuan rundingan di Kaherah dijangka memberi kesan lebih besar di Gaza. Israel sebelum ini berkata, ia tidak akan melonggarkan sekatan di wilayah itu sehingga askarnya yang ditangkap pejuang hampir tiga tahun lalu dibebaskan.
Sekatan itu menjejaskan usaha pembinaan semula Gaza berikutan serangan Israel Januari lalu. Perdana Menteri, Ehud Olmert pernah berkata, rundingan itu adalah peluang terakhir mencapai satu perjanjian sebelum beliau melepaskan jawatannya. Beliau akan digantikan oleh Benjamin Netanyahu yang dianggap berpendirian keras dan kurang bertolak ansur dengan Hamas. Netanyahu dijangka mengambil alih jawatan beberapa hari lagi.
Kenyataan Kerajaan Israel yang mengumumkan tiada hasil dicapai dalam perbincangan dengan Hamas berkata, ia akan mengadakan mesyuarat khas Kabinet bagi mengemukakan 'laporan perincian keputusan', sekali gus memberi isyarat jelas bahawa rundingan sudah berakhir.
Sesi khas Kabinet itu pada mulanya diadakan untuk mengundi persetujuan pertukaran tahanan, tetapi pegawai berkata, tiada pengundian akan dilakukan kerana tiada sebarang perjanjian untuk dipertimbangkan.
Kenyataan dikeluarkan selepas dua perunding peringkat tinggi Israel kembali daripada rundingan intensif dua hari di Kaherah. Perunding Israel adalah Ketua Keselamatan Shin Bet, Yuval Diskin dan pegawai Kementerian Pertahanan, Ofer Dekel. Mereka mengemukakan laporan kepada Olmert selepas kembali daripada rundingan dengan Mesir sebagai orang tengah.

357 PASANGAN KAHWIN KONTRAK SETIAP HARI DI ARAB SAUDI

JEDDAH : Sejumlah 357 perkahwinan kontrak ditandatangani setiap hari di Arab Saudi sepanjang tahun 2007 tetapi dalam tempoh yang sama juga dilaporkan sejumlah 78 kes perceraian dicatatkan setiap hari. Statistik berkenaan dikeluarkan oleh Kementerian Kehakiman dalam laporan tahunannya bagi tahun 1428H (2007).
Laporan itu berkata, dalam tahun yang sama sejumlah 130,451 perkahwinan dijalankan di negara itu berbanding 28,561 perceraian di mana 25,697 adalah membabitkan perceraian pasangan Arab Saudi manakala 2,864 membabitkan perceraian salah satu daripada pasangan berkenaan adalah rakyat negara itu.
Daripada laporan berkenaan juga dinyatakan, 15,853 perkahwinan kontrak adalah membabitkan rakyat Arab Saudi manakala 2,769 adalah membabitkan kontrak antara lelaki Arab Saudi dan wanita bukan warga negara terbabit. Ia menambah, sebanyak 1,635 rakyat asing mengahwini wanita Arab Saudi. Kementerian itu berkata, sebanyak 17,830 kontrak perkahwinan dijalankan di mahkamah dan 112,621 kontrak membabitkan pegawai perkahwinan manakala perkahwinan kontrak antara penduduk asing berjumlah 10,850.
Turut dilaporkan ialah 1,415 kes khula (hak wanita menceraikan suami) dan 3,025 kes melanggar kontrak. Mekah mengungguli bandaraya lain dengan mencatatkan 34,702 perkahwinan dan 8,318 perceraian manakala Riyadh di tempat kedua dengan 28,269 perkahwinan dan 9,293 perceraian.

Monday, March 16, 2009

PENGARUH DAN PEMIKIRAN SAIDINA ALI DI ALAM MELAYU

Oleh : ALLAHYARHAM HJ. WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH.

DALAM surat sebaran Borang Pendaftaran Seminar Khazanah Pemikiran Islam yang dianjurkan oleh InfoTaiment Enterprise, pada 21 Julai 1996, jelas disebutkan, “Di dalam Perspektif Sejarah Islam di Alam Melayu, Saidina Ali lebih ditonjolkan sebagai manusia yang perkasa...”. Mengenai yang tersebut adalah merupakan pengaruh sebuah hikayat yang tidak diketahui nama pengarangnya, hikayat tersebut dikenali dengan judul Hikayat Ali Hanafiyah. Hikayat tersebut terdapat beberapa versi, ditulis dalam tulisan Melayu/Jawi dan sejak dulu telah diusahakan penglatinan/pengrumiannya.
Dalam ruangan ini, penulis tidak akan membicarakan perkara yang sudah cukup banyak dikenal oleh masyarakat, terutama oleh para pengkaji sastera, tetapi cuba untuk memperkenalkan tulisan-tulisan klasik yang bersumberkan dari beberapa tulisan para ulama alam Melayu sendiri. Ini bererti adalah merupakan sumber yang kukuh jika dibandingkan dengan Hikayat Ali Hanafiyah yang tidak jelas nama pengarang yang disebutkan di atas. Sungguhpun demikian yang ditulis oleh para ulama bukanlah merupakan kitab yang khusus membicarakan seluruh aspek yang bersangkutpaut dengan Saidina Ali, tetapi adalah merupakan tulisan-tulisan yang dimasukkan dalam karya-karya dalam berbagai-bagai disiplin ilmu, terutama : tarikh, akidah dan tasawwuf. Selain itu juga dalam karya-karya berupa fiqh, hadis dan lain-lain.
Pengaruh Saidina Ali di Alam Melayu boleh dikatakan sangat besar, meliputi dalam berbagai-bagai jurusan. Bermula dari pengaruh beliau sendiri hinggalah keturunan-keturunannya sebagai penyebar Islam di alam Melayu dan juga mereka telah berhasil menjadi sultan (ketua pemerintahan) dalam banyak kerajaan di alam Melayu ini.
Untuk menulis tentang pengaruh beliau di alam Melayu tidaklah begitu sukar, tetapi untuk mengemukakan pemikiran beliau memang merupakan persoalan yang sukar jika kita tidak tekun dalam dunia pengkajian.
Adapun mengenai pemikiran keturunan beliau juga bukanlah persoalan yang sukar sangat untuk membuktikannya, tidak dapat kita nafikan bahawa sangat ramai keturunan Saidina Ali di alam Melayu menjadi ulama yang mengarang kitab.
Sebagai contoh termasuk Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdus Samad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Abdul Hamid Kudus dan ramai lagi, adalah ulama-ulama besar alam Melayu yang nasabnya bersambung kepada Saidina Ali bin Abi Talib.
DUA NAMA YANG TIDAK TERDAPAT PADA SAHABAT-SAHABAT SELAIN BELIAU:
Terdapat dua sebutan atau gelaran yang ada pada Saidina Ali yang tidak terdapat pada para sahabat Nabi Muhammad (saw), yang dimaksudkan barangkali bukan hanya dunia Melayu saja, tetapi juga di seluruh dunia Islam.
Dua nama itu ialah: “Karramallahu wajhah”, dan “Imam Masyariq wal Magharib”. Mengenai gelaran pertama di hujung nama Saidina Ali dengan “Karramallahu wajhah”, memang tidak pernah digunakan untuk sekian ramai sahabat Nabi Muhammad (saw), gelaran tersebut khusus untuk beliau seorang saja.
Untuk sahabat-sahabat Nabi Muhammad (saw) selain Saidina Ali, sama saja baik memangku pangkat tertinggi sebagai khalifah mahupun sebagai sahabat biasa, hanya menggunakan nama “Radhiyallahu ‘anhu”.
Kebanyakan karya ulama tradisional Melayu, dalam apa saja disiplin ilmu yang mereka tulis, apabila terdapat nama Saidina Ali adalah memakai nama “Karramallahu wajhah” itu. Bahkan demikian juga jika kita buka semua kitab-kitab golongan Sunni selain yang ditulis oleh ulama alam Melayu.
Sama ada disedari mahu pun tidak, diakui ataupun tidak, ini adalah satu bukti bahawa Saidina Ali bin Abi Talib, memang ada ciri khas daripada sahabat-sahabat yang lain. Bahawa beliau mendapat tempat tersendiri di dalam perasaan dan lubuk hati ummat Islam dunia Melayu khasnya dan ummat Islam antarabangsa amnya.
Bahkan kadang-kadang sewaktu tuan guru-tuan guru Melayu mengajar dijelaskan juga sebab-sebab dinamakan dengan “Karramallahu wajhah” itu, iaitu dua sebab :
Pertama : Kerana beliau seorang sahabat Nabi Muhammad (saw) yang tidak pernah menyembah berhala semenjak kecil dan beliau masuk Islam secara fitrah sejak kecil lagi.
Kedua : Kerana Saidina Ali bin Abi Talib tidak pernah melihat kemaluannya sendiri.
Gelaran yang sangat menonjol untuk Saidina Ali yang kedua ialah : “Imam Masyariq wal Magharib”, yang membawa maksud; Imam seluruh kawasan timur dan barat. Gelaran ini pun tidak pernah wujud untuk sahabat-sahabat yang lain selain beliau. Sebelum munculnya era pembaharuan Islam di alam Melayu, sebutan itu sentiasa dibaca dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat.
Sehingga sekarang pun sebutan itu di beberapa tempat di alam Melayu yang masih belum begitu terserap pengaruh pembaharuan tajdid masih digunakan dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat. Mengenai ini juga dapat diambil kira bahawa pengaruh Saidina Ali yang begitu besar bagi masyarakat Islam dunia Melayu sehingga tetap mengakui sebagai “Imam Timur dan Barat”.
KEAGUNGAN NAMA DALAM KARYA SEJARAH :
Sejarah kelahiran Nabi Muhammad (saw) sangat banyak dihasilkan oleh ulama alam Melayu, tetapi sejarah yang bercorak lengkap mulai lahir hingga wafat boleh dikatakan sangat langka. Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani boleh dikatakan termasuk dalam kategori ulama alam Melayu peringkat awal yang menulis sejarah Nabi Muhammad (saw) mulai lahir hingga wafat.
Terkumpul dalam kitab berjudul, Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib, diselesaikan pada 9 Rabiul Akhir 1307 H di Mekah, bahawa Fasal Yang Kedua membicarakan : “Manaqib Saidatina Fatimah Radhiyallahu ‘anha”. Diikuti dengan Fasal Yang Ketiga mengenai: “Manaqib Dua Penghulu Sekelian Orang Muda-muda Ahli Syurga, Saidina Hasan dan Saidina Husain Radhiyallahu ‘anhuma” dan yang terakhir sekali, iaitu Fasal Yang Ketujuh mengenai: “Manaqib Panglima Yang Amat Berani Saidina Ali Karramahullahu Wajhah”.
Kitab yang memperkenalkan kehebatan Saidina Ali pula ialah karya berjudul, Nurul Anwar, diselesaikan pada 16 Rejab 1320 di Thaif, oleh Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani.
Dalam karya ini separuh daripada kandungannya menceritakan kisah Saidina Ali. Judul-judul perbicaraan ialah “Fasal Saidina Ali Islam Dalam Usia 13 Tahun”, “Fasal Saidina Ali Mempunyai Perkataan Jadi Pengajaran”, “Fasal Setengah Daripada Berani Perang Saidina Ali”, “Fasal Perang Jamal, “Fasal Perang Siffin”, “Fasal Bersangat Besar Berperang Dan Sebab Jatuh Berbaik Antara Dua Askar” dan “Fasal Menyatakan Perang Saidina Ali Akan Orang Khawarij”.
Penulis akui sebelum kedua-dua karya tersebut, memang telah ditulis banyak maklumat mengenai Saidina Ali dalam bahasa Melayu. Antaranya oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tetapi bukan merupakan dalam karya sejarah yang khusus melainkan ditempatkan dalam karya-karya akidah.
Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengawali perbahasan mengenai Saidina Ali, beliau menulis, “... adalah kuniyahnya Abul Hasan dan Abu Turab, anak Abi Talib, anak Abdil Mutalib, anak Hasyim, anak Abdi Manaf. Dan ibunya Fatimah binti Asad, anak Hasyim, anak Abdi Manaf. Dan Islam ia padahal umurnya tujuh tahun, dikatakan sembilan [tahun] dan dikatakan sepuluh tahun ...”.
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyebut juga bahawa anak Saidina Ali semuanya 15 orang lelaki dan 19 perempuan, jadi jumlah semua 34 orang. Mereka ialah : Hasan, Husain, Muhsin, Zainab, Ummu Kaltsum, ibu mereka ialah Saidatina Fatimah. Muhammad Akbar, Muhammad Hanafiyah, Abdullah, Abu Bakar, ibu mereka ialah Laili. Abbas, Utsman, Ja’far, Abdullah, ibu mereka ialah Ummul Banin anak Hazam. Muhammad Asghar, ibunya adalah dari seorang sahaya. Yahya, Aun ibunya ialah Asma’ binti Umaisy. Umar Akbar, Ruqaiyah, ibunya ialah Sahba’. Muhammad al-Ausat, ibunya ialah Umamah binti Abil ‘As. Ummul Husein, Ramlah, ibunya Ummu Sa‘id binti Urwah. Umamah, Khadijah, Ummul Kiram, Ummu Ja‘far, Humanah/Jumanah, Nafisah dan seorang lagi anak beliau yang perempuan mati kecil (Fathul Mannan, hlm 35). Walaupun jumlah sebenarnya 34 orang, tetapi yang disebut oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab tersebut hanya 27 orang saja.
Sungguhpun kitab Badrut Tamam karya Sheikh Ahmad al-Fathani tidak begitu tebal, namun terdapat beberapa riwayat yang menarik dan jarang dijumpai dalam buku-buku moden sekarang ini.
Di antara peranan Saidina Ali yang diceritakan dalam Badrut Tamam, yang masih berpengaruh kepada masyarakat alam Melayu dan banyak diceritakan orang ialah peristiwa ketika Rasulullah akan berhijrah dari Mekah ke Madinah yang pada malam itu ditugaskan Saidina Ali untuk menggantikan beliau tidur di atas tempat tidur baginda. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam memaparkan cerita tersebut merujuk kepada perkataan Ibnu Ishaq (Badrut Tamam, ibid hlm. 19).
Dalam Badrut Tamam juga Sheikh Ahmad al-Fathani menceritakan peranan Saidina Ali dalam upacara ketika baginda Rasullullah wafat. Beliau menulis, "Dan memandikan dia (saw) oleh Saidina Ali bin Abi Talib, dan Saidina al-Abbas bin Abdul Mutalib, dan al-Fadhal bin al-Abbas, dan Qatsam bin al-Abbas dan Usamah bin Zaid dan Syaqran, sahaya Rasulullah (saw). Maka adalah Saidina Ali menyandarkan dia dan membasuhkan dia. Dan al-Abbas, dan al-Fadhal dan Qatsam membalik-balikan dia. Dan Usamah dan Syaqran menuangkan air atasnya. Dan sekalian mata mereka itu dibarutkan."
“Diriwayatkan daripada Saidina Ali, bahawasanya berkata ia, “Telah berwasiat akan daku oleh Rasulullah, bahawa tiada memandikan dia lain daripadaku. Maka bahawasanya tiada melihat seseorang akan auratku, melainkan dihimpuskan dua matanya” (Badrut Tamam, hlm. 25).
Ketika mengkebumikan Nabi Muhammad (saw), menurunkannya ke kubur juga dilaksanakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib, yang dibantu oleh al-Abbas, al-Fadhal, Qatsam dan Aus bin Khauli nenek Bani ‘Auf. (Badrut Tamam, hlm. 26).
Memperhatikan riwayat di atas dapat dinilai bahawa Saidina Ali adalah berperanan terhadap Rasulullah dalam keseluruhan perjuangan beliau, sama ada ketika hidup hinggalah tamat riwayat baginda.
Perkara yang dipetik tersebut adalah termaktub dalam Fasal Pertama Badrut Tamam. Ada pun pada bahagian biografi Saidina Ali sendiri (Fasal Ketujuh dalam Badrut Tamam) lebih banyak maklumat mengenai Saidina Ali. Dimulai daripada beliau di dalam kandungan sehingga kewafatannya.
Adapun Nurul Anwar karya Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani nampaknya lebih banyak memperkenalkan peperangan-peperangan yang diperanani oleh Saidina Ali, sama ada peperangan itu bersama-sama Rasulullah (saw) ataupun peperangan yang dipimpin oleh Saidina Ali sendiri.
Sangat banyak juga perkara yang disebutkan oleh Sheikh Utsman al-Funtiani yang tidak tersebut dalam buku-buku sejarah Islam moden. Ini sebagai bukti pembacaan ulama silam dunia Melayu memang luas.
Di antara yang menarik bagi penulis, bahawa disebut dengan jelas nama musuhnya setiap peperangan yang terjadi antara Saidina Ali dengan lawannya. Dalam peristiwa perang antara pihak penyokong Saidina Ali dengan Mu’awiyah bin Abi Sufyan, nampaknya sangat lengkap nama disebut satu persatu. Bererti daripada kitab ini kita dapat menyenaraikan siapa di antara sahabat Nabi Muhammad (saw) yang menjadi penyokong Saidina Ali dan siapa pula sebagai penyokong Mu’awiyah.
Demikian halnya perselisihan antara Saidina Ali dengan Saidatina Aisyah, semua yang berpihak dan penentang disebut dengan jelas. Dalam sekian banyak kitab Melayu/Jawi dalam kajian penulis, kitab Nurul Anwar tersebut adalah satu-satunya kitab yang membicarakan perkara itu.
Bahkan bagi pengamatan penulis, bahawa sampai sekarang buku yang ditulis dalam bahasa Indonesia atau Melayu moden memang belum dijumpai perbicaraan yang agak jelas seperti itu.
PENUTUP :
Perbicaraan mengenai pengaruh dan pemikiran Saidina Ali di alam Melayu ini masih banyak yang perlu diperkenalkan lagi. Oleh itu disebabkan keterbatasan ruangan ini, maka perbicaraan tersebut pula akan dilanjutkan pada keluaran seterusnya dengan menyentuh mengenai nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks hadis Nabi (saw) pada konteks ilmu kalam dan pada konteks ilmu tasawwuf.

PEMBEBASAN SCHALIT...HAMAS-ISRAEL HAMPIR CAPAI KATA MUKTAMAD

*Gambar : Gilad Schalit.
BAITULMAQDIS - Proses pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas akan diputuskan dalam tempoh beberapa hari lagi, kata pegawai-pegawai Israel ketika perwakilan kedua-dua pihak mengadakan perbincangan berhubung isu berkenaan di Mesir.

*Gambar : Ehud Olmert.
Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert berkata, satu sidang Kabinet Khas akan diadakan untuk mendengar laporan rundingan tersebut dan membuat keputusan mengenainya. "Perwakilan saya akan kembali dan melaporkan hasil rundingan tersebut kepada Kabinet," katanya.

*Gambar : Meir Sheetrit.
Menteri Dalam Negeri Israel, Meir Sheetrit pula memberitahu, siri rundingan di Mesir itu penting terhadap hala tuju proses damai Asia Barat. "Hasil rundingan tentang isu itu akan menentukan sama ada keadaan rantau ini menjadi bertambah baik atau sebaliknya. Saya berharap keadaan akan semakin baik," ujarnya.
Persetujuan itu jika diluluskan Kabinet Israel, bakal menyaksikan seorang askar Yahudi yang diculik Hamas di Gaza tiga tahun lalu, Koperal Gilad Shalit dibebaskan selain beratus-ratus tahanan Palestin di Israel. Olmert berkata, beliau mengarahkan rundingan itu dimuktamadkan kerana mahu kes itu diselesaikan sebelum beliau berundur.

*Gambar : Fawzi Barhoum.
Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum di Kaherah berkata, pergerakan itu masih belum menerima sebarang tawaran daripada Tel Aviv.

4 ANGGOTA PARLIMEN BRITAIN TEMUI HAMAS

*Gambar : Khaled Mash'aal.

DAMSYIK - Empat anggota Parlimen Britain telah bertemu dengan pemimpin Hamas, Khaled Meshaal dan mendesak kerajaan Britain untuk menamatkan boikot ke atas kumpulan pejuang Palestin itu untuk 'mencapai keamanan yang saksama'.
"Kita perlu berbincang dengan Hamas untuk mewujudkan kemajuan (ke arah keamanan) kerana mereka mewakili sebahagian besar penduduk Palestin," kata anggota Parlimen dari parti pemerintah Britain, Parti Buruh, Clare Short.
Britain, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat sebelum ini berkeras untuk tidak berurusan dengan Hamas sehinggalah ia mengiktiraf Israel, menamatkan perjuangan bersenjata dan menerima perjanjian damai sementara.

Saturday, March 14, 2009

ISRAEL AKHIRNYA AKUR TERHADAP TUNTUTAN HAMAS

*Gambar : Seorang askar Israel lalu di hadapan penunjuk perasaan di Baitulmaqdis sambil menuntut kerajaan Olmert memenuhi janji untuk menyelamatkan Shalit dengan membebaskan tahanan Palestin.

BAITULMAQDIS : Israel bersetuju membebaskan 450 tahanan Palestin seperti yang dituntut oleh pergerakan Hamas sebagai tukaran kepada penyerahan askarnya yang kini menjadi tebusan, Gilad Shalit. Satu-satunya isu yang perlu diselesaikan ialah tuntutan Israel untuk menghantar sebahagian tahanan berkenaan ke negara lain dan bukan ke kampung halaman mereka.
Pendirian itu dikemukakan oleh ketua perwakilan Israel, Ofer Dekel yang berunding dengan perunding Mesir. Pada masa ini, Hamas hanya bersetuju supaya sedikit saja daripada tahanan berkenaan dihantar ke negara lain malah turut memberi syarat supaya tahanan terbabit mesti terlebih dulu bersetuju. Ia juga menentang kehendak Israel membebaskan tahanan berkenaan di Gaza dan bukan Tebing Barat. Walaupun pegawai Hamas gusar bahawa kerajaan baru Israel tidak akan bersetuju dengan pembebasan itu, mereka menekankan setakat itu saja mereka boleh bertolak ansur. Shalit ditawan oleh pejuang Palestin dua tahun lalu.
Baru-baru ini, seorang pegawai kanan Hamas berkata, askar Yahudi itu tidak akan dibebaskan kecuali rejim Zionis membebaskan beratus-ratus tahanan Palestin. Timbalan Ketua Politburo Hamas, Moussa Abu-Marzouk, membuat tuntutan itu ketika tiba di Kaherah untuk menyertai rundingan perpaduan Fatah dan pergerakannya. Moussa juga berkata, isu tukaran tahanan antara pejuang Palestin dan Israel kekal di tangan perunding Mesir.
Perdana Menteri Israel yang bakal melepaskan jawatannya tidak lama lagi, Ehud Olmert dipercayai menghadapi tekanan kuat berhubung isu Shalit dengan bantahan terbaru diadakan di Baitulmaqdis menggesa kerajaan memperhebat usaha membebaskan askar mereka. Penunjuk perasaan terbabit menyertai ibu bapa Shalit yang berkhemah dekat kediaman Olmert. Pasangan itu mahu anak lelaki mereka dibebaskan sebagai tukaran pembebasan tahanan Palestin. Dalam bantahan itu, penunjuk perasaan menghadang jalan masuk ke kediaman Olmert dan ada yang melaungkan 'Olmert, kamu berjanji, kotakannya'. Ibu bapa Shalit berkata, mereka bimbang pentadbiran baru yang bakal dipimpin Benjamin Netanyahu tidak cenderung melakukan tukaran tahanan. Bapa Shalit, Noam, memberitahu media Israel bahawa dia gembira dengan sokongan yang ditunjukkan kepadanya.

Wednesday, March 11, 2009

KONGRES AMERIKA SYARIKAT TOLAK CALON KRITIK ZIONIS ISRAEL

WASHINGTON : Kritikan calon jawatan tertinggi perisikan Presiden Barack Obama terhadap Israel menyebabkan Kongres Amerika Syarikat membantah pencalonan Charles Freeman sebagai ketua Majlis Perisikan Kebangsaan. Bekas duta Amerika di Arab Saudi dan diplomat kanan Washington di Beijing yang pernah berkhidmat dengan lebih 100 buah negara di seluruh dunia dan fasih berbahasa Cina, Perancis, Sepanyol, Taiwan, Portugal, Itali dan Arab itu menarik diri daripada menjadi calon untuk jawatan berkenaan. Bantahan Kongres yang menyebabkan Freeman menarik diri adalah tamparan hebat kepada Obama yang sedang menyusun anggota pentadbirannya.

*Gambar : Charles Freeman.

Charles Freeman adalah orang yang silap untuk jawatan ini. Kenyataannya terhadap Israel tidak dapat diterima dan terkeluar daripada pendirian pentadbiran ini,” kata Senator Demokrat dari New York, Charles Schumer dalam satu kenyataan. Pete Hoekstra, anggota tertinggi Republikan dalam Jawatankuasa Perisikan Dewan Perwakilan, berkata: “Ini satu lagi kesilapan dalam proses saringan pentadbiran Obama, satu lagi dalam senarai salah langkah yang panjang.” Freeman adalah bekas duta di Arab Saudi, yang pernah juga berkhidmat sebagai timbalan menteri pertahanan dan diplomat kanan di China.
Pengarah Perisikan Nasional, Panglima Dennis Blair, yang memilih Freeman untuk jawatan majlis itu, mempertahankannya di Kongres sebagai tokoh yang 'mempunyai pandangan kukuh, berfikiran berdaya cipta dan berpandangan analitikal'. Kritikan Freeman terhadap Israel dan ulasannya yang dilihat menyokong tindakan di Medan Tiananmen, China menimbulkan kontroversi. Beliau juga dipetik pada 2007 sebagai berkata : “Penindasan kejam terhadap rakyat Palestin oleh kependudukan Israel seperti tiada penghujung” dan “Amerika nampaknya bersekongkol dengan Israel sepenuhnya”. Blair berkata, ulasan itu disalah tafsir. Selepas penarikan diri Freeman, pejabat Blair berkata beliau menerima keputusannya dengan rasa kesal.
Dalam notanya kepada rakan dan penyokong, Freeman berkata, beliau menarik diri selepas menimbang bahawa ‘serangan yang tidak benar’ mengenai rekodnya tidak akan tamat apabila beliau memegang jawatan. “Saya tidak fikir Majlis Perisikan Kebangsaan dapat memainkan peranan dengan berkesan jika pengerusinya diserang bertalu-talu oleh orang tidak bertanggungjawab yang ada hubungan politik dengan pihak tertentu di negara luar,” kata Freeman.

RIBUT PASIR DI RIYADH, ARAB SAUDI

Gambar : Ribut pasir melitupi ibu kota Riyadh, Arab Saudi.

RIYADH - Ibu negara Arab Saudi dilanda ribut pasir besar mengakibatkan bandar tersebut dilitupi pasir tebal. Menurut agensi berita Saudi Press, penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Khaled terpaksa dilencongkan ke lapangan-lapangan terbang di Jeddah dan Dammam.
Gumpalan pasir menyelubungi kawasan bandar dan persekitarannya, memaksa pemandu memperlahankan kenderaan, di samping menyebabkan orang ramai berlindung di dalam rumah. Kenderaan serta kediaman penduduk turut diselimuti pasir, memaksa penutupan lapangan terbang antarabangsa dan sekolah-sekolah.
Hospital juga mengerahkan pasukan kecemasannya ke pelbagai lokasi bagi merawat mangsa yang mengalami masalah pernafasan. Keadaan mula pulih dengan penduduk di ibu negara Arab Saudi itu mula membersihkan rumah mereka. Lapangan terbang juga telah dibuka semula.

INTERPOL SIASAT TENTERA ZIONIS ISRAEL

Interpol mengakui telah menerima senarai 25 nama para pegawai pemerintah dan tentera Israel atas tuduhan melakukan jenayah perang terhadap rakyat Palestin di Gaza. Namun Interpol menyatakan akan mengkaji terlebih dahulu kemungkinan untuk mengeluarkan surat penangkapan terhadap 25 orang Israel itu.
Interpol menerima daftar tersebut dari Republik Islam Iran yang disertai dengan tuntutan agar Interpol mengeluarkan apa yang disebut sebagai 'Red Notice' untuk ke-25 orang Israel tersebut. 'Red Notice' adalah sebuah tuntutan agar pihak polis antarabangsa mengenalpasti tempat para tertuduh perlakuan jenayah perang yang dapat membawa pada perintah penangkapan atau ekstradisi.

*Gambar : Pendakwaraya Teheran, Jeneral Sa'eed Mortazavi.

Sebelumnya, Interpol membantah kenyataan Pendakwaraya Teheran, Jeneral Sa'eed Mortazavi yang mengatakan bahawa Iran sudah meminta Interpol untuk mengeluarkan surat perintah penangkapan kepada negara-negara anggotanya terhadap 25 orang pegawai pemerintah dan tentera Israel yang terlibat dalam operasi Cast Lead di Gaza.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan baru-baru ini, International Criminal Police Organization (ICPO atau Interpol) menyatakan bahawa mereka akan mengkaji permintaan negara Iran itu dan memastikan bahawa tindakan susulan Interpol tidak akan melanggar peraturan yang melarang Interpol daripada campurtangan dalam urusan politik, ketenteraan, agama dan kaum.
Iran merupakan negara yang amat pro-aktif dalam melakukan usaha menyeret para penjenayah perang di Israel yang telah membunuh warga Palestin di Gaza ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Pada Disember 2008 yang lalu, Teheran mengumumkan telah membentuk jawatankuasa penyiasat khas ke atas rakyat Israel yang terlibat dalam jenayah kemanusiaan di Gaza dan telah menyenaraikan lebih 100 orang Israel yang bakal diseret ke muka pengadilan.

Antara nama para pegawai Israel itu ialah Perdana Menteri, Ehud Olmert; Menteri Luar, Tzipi Livni dan Menteri Pertahanan, Ehud Barak. Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki berharap 187 negara anggota Interpol akan mengambil 'tindakan efektif' terhadap para pegawai Israel yang telah melakukan jenayah perang di bumi Gaza.

LOJI NUKLEAR IRAN BERMULA 22 OGOS 2009

TEHERAN – Iran mengumumkan bahawa sebuah loji nuklear yang mengadakan siri ujian pada bulan lalu, akan mula beroperasi menjelang 22 Ogos depan.
Menteri Tenaga, Parviz Fattah dipetik sebagai berkata, loji buatan Rusia berkapasiti 1,000 megawatt di bandar pelabuhan Bushehr, selatan Iran itu pada awalnya akan mengeluarkan sekitar 500 megawatt tenaga elektrik. “Baki 500 megawatt lagi akan dijana menjelang akhir Mac tahun depan,” katanya.

AHLI PARLIMEN KOTROVERSI BRITAIN BUAT KEJUTAN DI GAZA

*Gambar : Galloway (kiri) menyerahkan sejumlah wang kepada Menteri Ekonomi Hamas, Ziad az-Zaza di Gaza.

BANDAR GAZA - Ahli Parlimen Britain yang penuh kontroversi, George Galloway menyampaikan derma berjuta-juta dolar dan berpuluh-puluh kenderaan kepada kerajaan Hamas di Gaza.
"Kami memberi anda 100 kenderaan dan semua barangan kepada kerajaan Palestin yang dipilih oleh rakyat," katanya. Kata Galloway, dia secara peribadi menderma tiga buah kenderaan dan wang tunai sebanyak £25,000 (RM128,110) kepada Perdana Menteri Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh.
Israel dan Mesir menutup semua pintu masuk ke Gaza kecuali untuk bantuan kemanusiaan setelah Hamas berkuasa pada Jun 2007 setelah berjaya mengusir kumpulan tentera yang setia kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Walaupun Hamas memenangi pilihan raya umum Palestin pada 2006, Israel, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat tidak mengiktirafnya kerana menganggap ia adalah sebahagian daripada pergerakan pengganas.
Sejurus tiba di Gaza, Galloway memprotes tindakan serangan 22 hari rejim Zionis bermula pada hujung tahun lalu sebagai jenayah pembersihan etnik yang telah menyebabkan lebih 1,300 penduduk terbunuh.
Konvoi Galloway bergerak dari London bulan lalu tetapi ditahan pihak berkuasa Mesir setelah Kaherah mendapati beliau turut membawa sejumlah barang bukan perubatan ke Gaza.
Galloway membawa 12 ambulans, sebuah jentera bomba dan bantuan perubatan bernilai lebih £1 juta (RM5 juta).
Beliau mencetuskan polemik di Britain kerana berkempen untuk menamatkan sekatan ekonomi terhadap Iraq pada 1990-an dan awal 2000.

Monday, March 9, 2009

WARTAWAN AMERIKA YANG DITAHAN DI IRAN DIBENAR TEMUI PEGUAM

*Gambar : Roxana (kanan) sedang merakamkan gambar di Teheran.

TEHERAN - Wartawan Amerika Syarikat keturunan Iran yang ditangkap di Teheran, Roxana Saberi berpeluang bertemu dengan seorang peguam untuk kali pertama sejak dia ditahan di sebuah penjara di sini lebih sebulan lalu, kata peguamnya.
"Saya bertemu dengan Roxana di sebuah mahkamah revolusi. Dia kelihatan baik," kata peguam itu, Abdul Samad Khoramshahi. "Saya belum membaca fail kesnya dan tidak dapat memberi ulasan berhubung dakwaan terhadap wanita itu," tambahnya sambil menyatakan bahawa dia akan kembali menemui wartawan itu di penjara dalam tempoh sehari dua lagi.
Abdul Samad berkata, beliau tidak dapat mengesah atau menafikan komen Timbalan Pendakwa Raya Teheran, Hasan Haddad yang dipetik sebagai berkata, Roxana akan dibebaskan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Wanita kelahiran Amerika Syarikat berumur 31 tahun itu ditangkap hujung Januari lalu kerana membeli wain di negara Republik Islam itu, lapor media Amerika yang memetik kenyataan bapanya. Roxana juga pernah menjadi peserta ratu cantik di Amerika.
Sementara itu, Kementerian Luar Iran menyatakan Roxana yang turut memiliki pasport Iran, bekerja secara haram di negara itu selepas kad medianya dibatalkan pada 2006.

BEKAS PRESIDEN ISRAEL DI DAKWA MEROGOL

BAITULMAQDIS : Peguam Negara Israel membuat keputusan untuk mendakwa bekas Presiden Moshe Katsav atas beberapa tuduhan termasuk rogol, menurut kenyataan Kementerian Kehakiman.
Selepas siasatan selesai, Peguam Negara dan Ketua Pendakwa Raya membuat keputusan untuk mendakwa Moshe Katsav atas beberapa kesalahan seksual terhadap bekas kakitangannya ketika beliau memegang jawatan Menteri Pelancongan dan Presiden, termasuk tuduhan rogol dan serangan seksual. Keputusan itu dibuat selepas Peguam Negara dan Ketua Pendakwa Raya mencapai persepakatan bahawa keterangan pihak pengadu boleh dipercayai dan ada cukup bukti untuk mengemukakan pendakwaan,” kata kementerian berkenaan.
Kenyataan itu tidak memberitahu bila pendakwaan rasmi akan difailkan tetapi laporan media tempatan menyatakan ia bakal dibuat beberapa hari akan datang. Pengumuman itu adalah langkah terbaru dalam kes yang bermula pada Julai 2006 apabila Katsav yang ketika itu presiden membuat aduan kepada Peguam Negara dengan menuduh seorang bekas kakitangannya cuba memeras ugut beliau. Bagaimanapun, satu siasatan yang dilancarkan Peguam Negara, Menahem Mazuz mendapati wanita yang dituduh dan digelar media Israel sebagai ‘Plaintif A’, menuduh Katsav yang mempunyai lima anak, memperkosanya ketika beliau menjadi setiausaha pemimpin itu pada lewat 1990-an.
Pada 8 April 2008, Katsav dibicarakan selepas mencapai perjanjian tolak ansur dalam kes dengan Mazuz tetapi pada hari yang sama beliau membatalkan persetujuannya.

Saturday, March 7, 2009

HUKUMAN BUTA DIBALAS BUTA DI IRAN

MADRID : Seorang wanita Iran di Sepanyol yang cacat dan buta akibat perbuatan seorang lelaki negaranya menyambut baik keputusan sebuah mahkamah di Teheran yang memerintahkan keadilan 'mata untuk mata' terhadap penyerangnya itu.
"Orang yang melakukan ini wajar melalui penderitaan yang sama. Hanya dengan cara ini beliau memahami kesakitan saya," kata Ameneh Bahrami kepada akhbar harian ABC.
"Niat saya ialah memohon kepada undang-undang bukan sekadar balas dendam tetapi supaya wanita lain tidak melalui nasib yang sama. Ia sebagai satu contoh," kata wanita berusia 30 tahun itu.
November 2008 yang lalu sebuah mahkamah di Iran telah memerintahkan lelaki terbabit yang dikenali sebagai Majid yang mengaku menyebabkan Bahrami buta pada tahun 2004 dengan menyimbah asid ke muka mangsa selepas pinangannya ditolak, supaya turut dibutakan dengan asid berdasarkan undang-undang Islam dengan pembalasan 'mata untuk mata'. Mahkamah tertinggi Iran mengesahkan hukuman tersebut awal Februari lalu. Bahrami yang berpindah ke Barcelona selepas serangan itu untuk mendapatkan rawatan perubatan mendakwa mahkamah pada asalnya memerintahkan lelaki terbabit hanya buta sebelah mata kerana di Iran setiap lelaki bernilai dua bagi wanita.
"Bagaimanapun saya terangkan kepada hakim bahawa dengan sebelah mata, seseorang masih boleh hidup," katanya kepada akhbar El Pais dalam temubual lain. Mahkamah kemudian memerintahkan lelaki itu dibutakan kedua mata sekiranya Bahrami tidak bersetuju menerima 20,000 euro (RM95,000) yang ditawarkan oleh keluarga penyerang terbabit.
"Beliau akan dibutakan dan tidak akan mengalami kesakitan. Wajahnya tidak cacat kerana hanya beberapa titik asid diperlukan dan beliau tidak akan mengalami kecederaan dalaman seperti saya," katanya kepada ABC ketika ditanya adakah beliau tidak merasa kejam. "Beliau langsung tidak mempunyai simpati apabila menunggu saya selama beberapa jam di tempat kerja dan melemparkan asid ke muka saya," katanya.
Pandangan Bahrami pulih sebanyak 40 peratus pada sebelah kanan matanya tetapi pada 2007 lalu beliau mengalami jangkitan dan menyebabkannya menjadi buta sepenuhnya. Beliau hidup dengan mendapat subsidi sebanyak 400 euro sebulan dari kerajaan Sepanyol dan kebajikan rakannya.

MAGHRIBI PUTUS HUBUNGAN DIPLOMATIK DENGAN IRAN

RABAT - Kerajaan Maghribi telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran setelah menuduh Teheran cuba menyebarkan ajaran Ahlul Bait di negara Arab itu.
Hubungan antara kedua-dua negara tegang baru-baru ini, berikutan kenyataan Iran yang mempertikaikan kedaulatan Bahrain sehingga mencetuskan bantahan di seluruh dunia Arab, menurut Kementerian Luar Maghribi.
Kementerian itu menuduh Kedutaan Iran di Mahribi cuba 'mengubah asas-asas agama di negara tersebut serta mengancam perpaduan agama di Maghribi'.
Rabat menyifatkan tindakan Iran itu sebagai campur tangan tidak wajar dalam urusan negara itu. Media Maghribi kerap menuduh Kedutaan Iran cuba menyebarkan ajaran Ahlul Bait sejak beberapa tahun lalu.

Thursday, March 5, 2009

SEMUA NEGARA ISLAM WAJIB BEBASKAN PALESTIN - SAYYID ALI KHAMENEI


TEHERAN - Pemimpin tertinggi Iran atau Rahbar, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei menegaskan bahawa 'penentangan' adalah satu-satunya jalan penyelesaian bagi menyelamatkan Palestin. Beliau turut menggesa ummat Islam di seluruh dunia menyertai perjuangan rakyat Palestin menentang keganasan Israel di Gaza.
Beliau membuat ulasan 'panas' itu ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton dijadual bertemu dengan para pemimpin Palestin dalam lawatan sulungnya ke rantau Asia Barat sejak memegang jawatan tersebut. Hillary dijadual menemui Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri, Salam Fayyad di Ramallah sehari selepas berbincang dengan pemimpin Israel di Baitulmaqdis.
"Satu-satunya cara untuk menyelamatkan Palestin ialah melalui penentangan, perjuangan yang berterusan dan mempertahankan diri," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada sidang kemuncak antarabangsa selama dua hari anjuran Teheran bagi membantu Gaza dan rakyat Palestin.
"Sokongan dan bantuan kepada penduduk Palestin adalah tugas mandatori dan wajib ke atas setiap orang Islam. Saya kini menyeru semua umat Islam, tidak kira lelaki atau wanita agar bersatu dan memusnahkan kekejaman dan jenayah Zionis Israel,"tegasnya.
Beliau juga menggesa para pemimpin Israel yang terbabit dalam kekejaman itu dibicarakan berikutan serangan yang menyebabkan 1,300 penduduk Palestin terbunuh.
"Para pemimpin politik dan tentera rejim Zionis yang memainkan peranan dan menyebabkan bencana di Gaza mesti dibicarakan. Ini adalah langkah pertama yang perlu diambil," tegasnya lagi.
Iran tidak mengiktiraf Israel manakala Rahbar berulang kali menolak penubuhan dua negara sebagai jalan penyelesaian isu Israel-Palestin, strategi yang disebut semula oleh Clinton baru-baru ini.
Katanya, sebarang rundingan bagi menyelesaikan isu berkenaan tidak akan membuahkan hasil, malah Amerika Syarikat dan Britain terbabit dalam 'jenayah penubuhan dan sokongan ke atas 'tumor barah' (Israel).
Rahbar turut mengkritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan berkata badan dunia itu turut memainkan peranan dalam penubuhan Israel. Katanya, PBB menutup sebelah mata berikutan tindakan kuasa pembuli dan usaha menyelamatkan Palestin tidak akan berjaya dengan meminta bantuan PBB.

AHLI AKADEMIK BRITAIN DESAK BOIKOT ZIONIS

LONDON : Seramai 400 ahli akademik Britain menggesa Muzium Sains membatalkan bengkel pendidikan mempromosi sains Israel tajaan Persekutuan Zionis United Kingdom kerana menguar-uarkan kejayaan tujuh universiti negara Yahudi itu yang penyelidikannya digunakan dalam serangan kejam ke atas penduduk Palestin di Gaza.
Pengkritik terbabit merancang mengadakan piket di lokasi promosi berkenaan, kebanyakannya turut berkempen supaya sektor akademik Britain memulaukan sektor pendidikan Israel pada 2002 meskipun ia menemui kegagalan.
Tetapi, kempen mereka mencetuskan perbahasan di seluruh dunia sama ada ahli akademik Israel wajar dihukum atas tindakan kerajaan mereka, lapor akhbar The Independent. Seramai 40 profesor adalah antara yang terbabit kali ini termasuk Jonathan Rosenhead dari Sekolah Ekonomi London yang mengetuai protes; Steven Rose dari 'Open University' dan sejarawan, Charles Jencks. Seminar pendidikan itu dijadual berlangsung di Muzium Sains dan Industri Manchester dan Muzium Sains.
Turut sama menyertai protes termasuk Ian Gibson, bekas pengerusi Jawatankuasa Sains Dewan Rakyat; penulis, Ahdaf Soueif; arkitek, Walter Hain; pemenang Nobel, Mairead Maguire serta Jawatankuasa Britain bagi Universiti Palestin. Muzium Sains menyatakan, promosi itu dirancang hampir setahun dan 'tidak menggunakan tema politik.'
"Selepas menimbang isu itu dengan teliti serta menghormati pandangan semua pihak, kami percaya langkah tidak meneruskannya merujuk kepada pendirian politik dan ini tidak wajar," menurut kenyataan muzium itu. Tetapi, Rosenhead menolak penjelasan berkenaan dengan berkata, "Jika Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe mahu menyewa ruang muzium itu untuk majlis korporat, kami tahu apa yang mereka akan kata."
Katanya, ada banyak bukti menunjukkan hubungan antara saintis Israel dan dasar pertahanan negara itu, terbaru menerusi kajian tahunan Universiti Tel Aviv (TAU) yang mengakui Kementerian Pertahanan Israel membiayai 55 projek TAU yang memainkan peranan besar dalam 'mengukuhkan keupayaan keselamatan dan kelebihan tentera Israel'.

Monday, March 2, 2009

WARAN TANGKAP KE ATAS PARA PEMIMPIN ZIONIS ISRAEL

*Gambar : Qorban Ali Dorri Najafabadi.

TEHERAN - Ketua Pendakwaraya Iran, Qorban Ali Dorri Najafabadi mahu waran tangkap dikeluarkan di seluruh dunia ke atas pemimpin-pemimpin Israel atas dakwaan jenayah perang di Gaza.
Qorban Ali menamakan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert; Menteri Pertahanan, Ehud Barak dan Menteri Luar, Tzipi Livni sebagai suspek 'penjenayah perang' yang perlu ditangkap. Secara keseluruhan, beliau mahu 34 orang pemimpin politik dan 115 komander tentera rejim Zionis itu ditahan atas dakwaan melanggar Konvensyen Geneva 1949.
Iran adalah musuh Israel yang menafikan haknya untuk wujud. Teheran juga merupakan sekutu Hamas yang mentadbir Gaza dan mengkritik serangan selama 22 hari Israel ke atas wilayah tersebut pada Disember dan Januari lalu.




IRAN NAFI MAHU HASILKAN BOM NUKLEAR

*Gambar : Seorang pengawal keselamatan mengawasi ruang dalam loji janakuasa nuklear di Bushehr pada 25 Februari lalu.
TEHERAN - Iran menafikan bahawa negara itu berusaha untuk mengeluarkan bom nuklear susulan dakwaan pemerintah tentera Amerika Syarikat, Laksamana Mike Mullen yang menyatakan Teheran kini mempunyai cukup bahan untuk membina senjata berkenaan.
*Gambar : Hassan Qashqawi.
"Semua kenyataan itu tidak berasas," kata jurucakap Kementerian Luar, Hassan Qashqawi dalam satu sidang akhbar.
*Gambar : Laksamana Mike Mullen.
Mullen dalam satu kenyataan ketika ditemu bual stesen televisyen CNN berkata, pihaknya yakin Teheran mempunyai keupayaan tersebut.
Hassan bertegas, program nuklear Iran sentiasa dipantau oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). "Secara teknikalnya, terdapat banyak kamera IAEA dan ujian terhadap ketulenan pengayaan uranium Iran. Justeru, bagaimana bahan mentah boleh dijadikan uranium tulen jika ada pemantauan ketat?" kata Hassan.
Laporan IAEA pada bulan lalu menyatakan Teheran mempunyai 1,010 kilogram uranium berkualiti rendah setelah menjalani proses pengayaan di loji Natanz. Pakar IAEA menyatakan bom atom memerlukan 1,700 kilogram uranium berkualiti tinggi namun ada pakar yang menyatakan kuantiti kecil sudah memadai.

BEKAS RATU CANTIK NORTH DAKOTA 1997 DITAHAN DI IRAN

*Gambar : Roxana sedang merakamkan gambar di makam bekas pemimpin agung Iran, al-marhum Ayatullah al-Uzma Imam Khomeini di selatan Teheran pada 3 Jun 2004.

Teheran - Seorang wartawan warga Amerika Syarikat ditangkap setelah dia membeli sebotol wain di Iran. Roxana Saberi, 31, didakwa terputus hubungan sejak 10 Februari lalu dengan keluarganya setelah dia menelefon bapanya sejurus selepas ditahan.
*Gambar : Bapa Roxana, Reza.

"Kami tidak mendengar sebarang berita daripadanya," kata bapa Roxana, Reza. Katanya, dia mendapatkan pertolongan dengan menggunakan saluran media kerana mahu memperoleh maklumat mengenai anaknya.
Beberapa pegawai di Iran tidak mengesahkan secara terbuka penahanan tersebut manakala seorang pegawai bertugas di Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan pihaknya akan melakukan siasatan.
Sejak beberapa tahun lalu, Teheran telah menangkap sejumlah warga Amerika Syarikat berketurunan Iran dengan dakwaan untuk menggulingkan kerajaan Islam.
Roxana bertugas sebagai wartawan bebas untuk stesen radio National Public dan beberapa media lain.
Menurut Reza, anaknya menyatakan dia ditahan kerana membeli minuman keras tetapi satu sumber menyatakan kesalahan itu tidak memerlukan ditahan oleh pihak berkuasa.
Dalam perbualan telefon tersebut, Roxana memberitahu bahawa dia akan dibebaskan dalam tempoh dua hari tetapi Reza mendakwa anaknya sudah ditahan 10 hari tanpa dibicarakan.
Roxana memenangi gelaran ratu cantik Miss North Dakota pada 1997 dan menjadi 10 peserta akhir dalam pertandingan ratu cantik Amerika pada tahun yang sama.
Ibunya, Akiko berasal dari Jepun tetapi Roxana lahir di Amerika Syarikat.

PELAKUN HOLLYWOOD HARAP JADI PERINTIS DIALOG AMERIKA SYARIKAT & IRAN

*Gambar : Bening (kanan) dan aktres Alfre Woodard (kiri) memakai pakaian tutup kepala di Muzium Wayang, Teheran.

TEHERAN - Seorang aktres terkenal Hollywood dan beberapa anggota satu delegasi perfileman menyatakan kehadiran mereka di Iran mampu membuka laluan ke arah dialog antara Washington dengan Teheran.
"Saya berharap kami akan membina jambatan ke arah satu dialog antara kedua-dua negara," kata aktres terkenal Amerika Syarikat, Annette Bening yang memakai pakaian hijab dan menutup kepala kepada pemberita di sini.
Dia merupakan sebahagian daripada anggota pasukan penerbit filem dan pelakon dari Akademi Seni Gambar Bergerak dan Sains (AMPAS) iaitu pertubuhan yang mengendalikan Oscar. Delegasi itu berada di Iran atas inisiatif peribadi bagi mengendalikan bengkel dengan rakan-rakan mereka dari negara tersebut. Selepas membuat kenyataan ringkas, Bening dan lain-lain anggota delegasi itu memulakan bengkel selama tiga hari di Muzium Wayang di Teheran.
Kenyataan aktres itu dilakukan sehari selepas seorang penasihat kesenian Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad mendesak delegasi Hollywood itu meminta maaf kerana mengaibkan dan memfitnah Iran dalam filem-filem Amerika Syarikat.

5 PENDUDUK PALESTIN MAUT

GAZA - Lima penduduk Palestin terbunuh apabila sebuah terowong penyeludupan antara Mesir dan Genting Gaza runtuh dan menimbus mereka, kata beberapa pegawai perubatan.
Penduduk Palestin kerap terkorban dalam kemalangan melibatkan pembinaan beratus-ratus terowong yang dibina di bawah tanah sempadan dengan Mesir.
Kali terakhir insiden serupa berlaku ialah pada 22 Februari lalu apabila empat orang maut selepas sebuah terowong runtuh.
Terowong penyeludupan tumbuh seperti cendawan selepas hujan di sempadan Mesir-Gaza sejak Jun 2006 apabila pergerakan Hamas menculik seorang askar Israel, Koperal Gilad Shalit dalam satu serangan lintas sempadan.
Terowong-terowong itu digunakan untuk menyeludup senjata dan barangan ke Gaza setelah Israel menutup wilayah itu kepada dunia luar sejak Hamas mengambil alih pentadbiran pada Jun 2007.
Sejak itu, tentera Yahudi hanya membenarkan bantuan kemanusiaan dibawa memasuki wilayah berkenaan.

Sunday, March 1, 2009

AMERIKA SYARIKAT MESTI UNDUR SEGERA DARI IRAQ - SAYYID ALI KHAMENEI

Teheran - Pemimpin tertinggi Republik Islam Iran atau Rahbar, Ayatullah al-'Uzma Sayyid 'Ali Khamenei memberitahu Presiden Iraq di sini bahawa tentera Amerika Syarikat hendaklah berundur dari Iraq lebih cepat daripada yang dirancang kerana sebarang penangguhan akan memudaratkan negara itu.
Rahbar membuat gesaan itu sehari selepas Presiden Barack Obama mengumumkan Amerika akan membawa keluar semua askar tempurnya dari Iraq selewat-lewatnya pada Ogos 2010 dan semua baki askar menjelang akhir tahun berikutnya.
"Tentera penceroboh perlu meninggalkan Iraq secepat mungkin kerana pengunduran mereka jika ditangguhkan sehari pun akan memudaratkan Iraq," kata Khamenei kepada Presiden Iraq, Jalal Talabani.
Teheran yang menganggap kehadiran Amerika di Iraq sebagai ancaman terhadap keselamatan dan pengaruhnya sendiri di rantau ini, telah menggambarkan penempatan tentera Amerika sebagai punca utama masalah Iraq dan berkali-kali menuntut mereka diundurkan segera dari Iraq. Amerika pula menuduh Iran mencetuskan keganasan di Iraq dengan menyokong pejuang Syiah di negara itu.

IRAN GESA HOLLYWOOD MOHON MAAF

Teheran - Penasihat Kesenian kepada Presiden Republik Islam Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad mendesak delegasi Hollywood yang mengadakan lawatan ke negara itu supaya memohon maaf atas 'penghinaan dan fitnah' mengenai rakyatnya.

*Gambar : Javad Shamaghdari.
Penasihat yang dikenali sebagai Javad Shamaghdari itu berkata, pegawai perfileman (Iran) akan diberi kebenaran untuk mengadakan sesi dengan pembuat filem Hollywood selepas mereka memohon maaf kepada rakyat Iran atas penghinaan dan fitnah selama 30 tahun.
"Rakyat Iran dan revolusi kami telah diserang secara tidak adil oleh Hollywood selama ini," katanya lagi sambil menyifatkan filem '300' dan 'The Wrestler' yang dicalonkan ke Oscar baru-baru ini sebagai menghina Teheran.
Filem epik perang '300' yang popular di Amerika Syarikat, menggambarkan perang antara bangsa Greek dengan Parsi yang membayangkan nenek moyang rakyat Iran sebagai dahagakan darah. Filem 'The Wrestler' pula dikritik kerana terdapat babak memecah dan mengoyakkan bendera Iran oleh pelakonnya, Mickey Rourke.
"Kami percaya polisi perubahan Presiden Barack Obama apabila perubahan turut dilakukan di Hollywood, dan sekiranya Hollywood mahu memperbaiki sikapnya terhadap rakyat Iran dan budaya Islam maka mereka perlu meminta maaf secara terbuka," tegas Javad lagi.
Lawatan pembuat filem tersebut adalah dari Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS) yang mengendalikan Anugerah Oscar. Pengarah komunikasinya, Leslie Unger memberitahu bahawa kumpulan mereka berada di Iran atas lawatan peribadi dengan tujuan pendidikan dan pertukaran kreatif tanpa sebarang agenda politik.
Unger mengesahkan laporan media Iran yang menyatakan bahawa delegasi tersebut turut disertai Presiden AMPAS, Sid Ganis; bekas Presidennya, Frank Pierson; aktres Annettte Bening dan Alfre Woodard serta produser, William Horberg.