Friday, April 3, 2009

AMERIKA SYARIKAT MAHU BERDAMAI DENGAN IRAN

WASHINGTON - Presiden Barack Obama memberitahu rakyat dan pemimpin-pemimpin Iran bahawa Amerika Syarikat mahu menjalin hubungan diplomatik dengan mereka dan juga menamatkan hubungan yang tegang sejak berdekad.
Obama mengeluarkan satu rakaman video dengan sari kata dalam bahasa Parsi yang menggesa kedua-dua negara menyelesaikan perbezaan yang berlarutan selama ini. Rakaman itu dibuat sempena festival 'Nuruz' yang bermaksud 'hari baru' yang juga merupakan hari cuti umum utama di Iran.
''Jadi sempena musim baru ini, saya ingin menjelaskan kepada pemimpin Iran bahawa kita mempunyai perbezaan ketara sejak sekian lama. Pentadbiran saya kini komited kepada demokrasi yang menekankan pelbagai isu dan sedang berusaha ke arah hubungan yang membina antara Amerika Syarikat, Iran dan komuniti antarabangsa,'' katanya.
Obama memberi isyarat bahawa beliau bersedia berbincang secara terus dengan Iran berhubung program nuklearnya dan penentangan negara itu terhadap Israel. Dalam pesanannya itu, Obama turut mengingatkan Teheran bahawa proses tersebut tidak akan maju dengan ancaman. ''Kami mencari hubungan yang jujur dan penuh dengan sikap saling menghormati,'' ujarnya.
Sementara itu, Iran melalui penasihat atasan negaranya menyambut baik sikap Amerika yang sedia berdamai, namun menggesa Obama mengotakan kata-katanya dengan tindakan konkrit bagi membetulkan kesilapan lalu.
''Kami menyambut baik harapan Obama yang ingin supaya perbezaan antara dua negara dilupakan,'' kata Ali Akbar Javanfekr.
''Tapi caranya bukan dengan meminta Iran melupakan permusuhan lama dan sikap agresif Amerika. Amerika perlu mengakui kesilapan mereka dan membetulkannya sebagai usaha menghapuskan perbezaan,'' ujarnya.

No comments: