Friday, April 24, 2009

NIORDC BINA LOJI TAPIS MINYAK DI MALAYSIA, INDONESIA DAN SYRIA

TEHERAN - Syarikat minyak kebangsaan Iran, Iran Oil Refining and Distribution Company (NIORDC) akan bekerjasama membina tiga loji penapisan minyak di Malaysia, Indonesia dan Syria yang dijadualkan siap menjelang 2013, menurut agensi berita Mehr.
NIORDC memiliki kepentingan sebanyak 30 peratus dalam pembinaan loji penapisan di Kedah di utara Malaysia yang menelan kos sebanyak USD4.8 bilion (RM17.1 bilion) dengan kapasiti 250,000 tong sehari.
Sementara itu, syarikat Malaysia, Kumpulan SKS yang dimiliki tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary pula memegang 70 peratus baki pelaburan dalam projek tersebut, tambah Mehr.
Loji penapisan kedua pula akan dibina di Jawa dengan kapasiti 300,000 tong sehari dengan kos USD6 bilion (RM21.4 bilion).
Laporan berita itu memberitahu, syarikat minyak negara itu, Pertamina dan NIORDC menyediakan 40 peratus bagi pembiayaan manakala syarikat Malaysia, Petrofield pula 20 peratus. Tambahnya, bahan mentah bagi loji itu akan dibekalkan oleh Iran.
Loji ketiga ialah berhampiran bandar Homs di Syria yang menelan belanja USD2.6 bilion (RM9.28 bilion) dan akan membekalkan dengan minyak mentah dari Iran, Syria dan Venezuela.
Mehr berkata, loji penapisan itu mempunyai kapasiti menghasilkan 140,000 tong sehari dan NIORDC akan membiayai 26 peratus kos, PDVSA Venezuela 33 peratus, Petrofield 26 peratus dan HRC Syria 15 peratus.

No comments: