Friday, April 3, 2009

SAIDINA 'ALI DALAM KARYA-KARYA MELAYU

Oleh : ALLAHYARHAM HJ. WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Perbicaraan ini adalah rentetan daripada judul terdahulu iaitu 'Pengaruh dan Pemikiran Saidina 'Ali di Alam Melayu : Satu Analisis Berdasarkan Karya-Karya Klasik Melayu', yang mana telah dibicarakan mengenai dua nama Saidina 'Ali (kw) yang tidak terdapat pada sahabat-sahabat lain dan keagungan nama beliau dalam karya sejarah.
Dalam perbicaraan tersebut juga dinyatakan bahawa pengaruh Saidina 'Ali di alam Melayu boleh dikatakan sangat besar, meliputi berbagai jurusan, sehingga ramai ulama silam di alam Melayu menghasilkan karya-karya mengenainya.
Kesinambungan dari itu, diperkenalkan pula pengaruh Saidina 'Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks pelbagai ilmu, iaitu Ilmu Kalam, Ilmu Hadis Nabi (saw) dan Ilmu Tasawwuf.

NAMA SAIDINA 'ALI DALAM KARYA-KARYA MELAYU PADA KONTEKS ILMU KALAM :
Dalam kitab Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengemukakan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah tentang pertikaian antara Saidina 'Ali dengan Mu'awiyah, "Sudah ijma', adalah Saidina Mu'awiyah dan yang mengikut dia melawan Saidina 'Ali jadi 'Thaifah Baghiyah' (kumpulan penderhaka), tetapi nyata mereka itu kemudiannya kerana adalah Nabi (saw) sudah mengkhabarkan, yakni daripada hal Saidina 'Ammar bin Yasir, dengan sabdanya : "Lagi akan membunuh akan dia ("Ammar bin Yasir) oleh 'Thaifah Baghiyah' ".
Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menjelaskan, "Maka ia ('Ammar bin Yasir)serta jemaah Saidina 'Ali, maka yang membunuh akan dia oleh jemaah Saidina Mu'awiyah. Maka nyata Saidina 'Ali, ia adalah Khalifah yang sebenar dan Saidina Mu'awiyah melawan Imam lagi Khalifah. Tetapi tiada berdosa sebab 'ijtihad' dan tiada diambil kesalahan Mu'awiyah itu, kerana jika belum nyata diberi pahalanya satu, iaitu pahala ijtihad jua".
Daripada tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tersebut, sangat jelas bahawa telah sepakat ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah bahawa Saidina 'Ammar bin Yasir yang berpihak kepada Saidina 'Ali adalah dibunuh oleh pengikut Saidina Mu'awiyah, bukan dari pihak lainnya.
Tetapi pada zaman sekarang ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa dirinya golongan Ahlus Sunnah wal Jama'ah, tetapi memutarbelitkan sejarah, mereka mengatakan terbunuhnya Saidina 'Ammar bukan daripada pihak pengikut Saidina Mu'awiyah, tetapi adalah disebabkan pengikut-pengikut Abdullah bin Saba'.
Kenyataan seperti itu tidak pernah keluar daripada seorang pun ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah di zaman silam, sama ada ulama silam dunia luar, mahupun ulama silam dunia Melayu.
Pendapat yang demikian jelas suatu pembohongan sejarah yang mesti ditolak kerana tidak terdapat rujukan dalam kitab-kitab yang muktabar yang dikarang oleh ulama-ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah sendiri, baik yang ditulis dalam bahasa Arab mahupun yang ditulis dalam bahasa Melayu.
Sebagaimana ulama-ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang lain, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani berpandangan mengenai perselisihan antara para sahabat Nabi (saw) dan memperingatkan kepada kaum Muslimin terutama golongan awamnya, kata beliau : "Dan barang yang berlaku antara para sahabat, kita diam daripadanya dan pahala ijtihad mereka itu kita beri'tiqad diberi pahalanya".
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mentafsirkan dalam Fathul Mannan iaitu, "Yakni barang yang berlaku bantahan dan peperangan yang berbunuh padanya beberapa banyak sahabat dan lainnya, antara setengah sahabat dengan setengahnya, seperti hasil perang Saidina 'Ali dan Saidina Mu'awiyah dan antara Saidina Ali dengan Siti 'Aisyah, wajib kita diamkan daripada masuk berkata jika tiada tahu takwilnya... ".
Dijelaskan lebih lanjut dalam 'Warduz Zawahir', Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "Ketahui olehmu, adalah perbahasan barang yang berlaku antara bersalahan sahabat setengah dengan setengahnya dan yang muafakat mereka itu demikian jua, tiada daripada 'aqaid agama. Dan tiada pula daripada 'aqaid kalam. Dan tiada pula daripada barang yang memberi manfaat pada agama tetapi adalah terkadang memberi mudarat jua dengan yakin. Dengan sebab itulah kata 'Umar bin 'Abdul 'Aziz bahawa demikian itu, yakni 'berbunuh antara sahabat, darah yang disucikan oleh Allah daripadanya segala pedang kita'. Maka jangan kita khilaf dengan lidah kita. Dan tiada harus pula kita masuk padanya bicara melainkan kerana mengajar atau kerana hendak menolakkan akan orang yang marahkan mereka itu atau mengaji kutub (maksudnya : kitab-kitab) yang terkandung atas demikian ceriteranya. Ada pun orang yang awam maka tiada harus bagi mereka itu masuk padanya kerana sangat jahil mereka itu dan ketiadaan mengetahui takwilnya. Dan wajib atasmu ketika membicara pada barang yang perkelahian antara mereka itu menjauh akan penyakit hasad... ".

NAMA SAIDINA 'ALI DALAM KARYA-KARYA MELAYU PADA KONTEKS HADIS NABI (SAW) :
Dimaksudkan dengan judul ini dapat dibahagi kepada dua kelompok iaitu :
Pertama : Karya Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu yang terdapat hadis Nabi (saw) yang menyebut nama Saidina 'Ali padanya ataupun yang bersumberkan dari riwayat beliau. Kelompok yang pertama ini jumlahnya sangat banyak.
Kedua : Karya Melayu yang khusus mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Saidina 'Ali, juga termasuk perkara yang boleh dikatakan nadir (jarang).
Contoh bagi kelompok pertama, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa hadis yang ada hubungan dengan Saidina 'Ali, namun di sini tidak dapat dipaparkan hadis-hadis tersebut, melainkan terjemahan sahaja.
Antara hadis yang menurut terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kitab 'Badrut Tamam', iaitu "Aku adalah kota ilmu dan 'Ali itu pintunya". Selanjutnya dikomentarkan, "Dan berkata 'Abdullah bin 'Abbas, "Tiadalah ilmu segala sahabat Muhammad (saw) berbanding 'Ali (kw), melainkan satu titis pada tujuh lautan". Manakala hadis yang lain, terjemahan menurut Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kitab 'Badrut Tamam' iaitu "Barangsiapa menganggap aku ini adalah penghulunya, maka 'Ali itu adalah penghulunya pula".
Selanjutnya Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut, "Dan beberapa banyak datang padanya ('Ali) hadis yang lain daripada ini, dan turun padanya ('Ali) beberapa ayat daripada Quran tiada hamba sebutkan melainkan secara ikhtisar (ringkas)." Di antara tulisan Sheikh Utsman al-Funtiani dalam 'Nurul Anwar', mengenai hadis yang ada hubungan dengan Saidina 'Ali, beliau menulis, "Sungguhnya datang ayat dan hadis pada kelebihan Saidina 'Ali ... Setengah daripada hadis Nabi (saw)." Terjemahan menurut Sheikh Utsman al-Funtiani daripada Hadis Nabi (saw)tersebut iaitu "Sesiapa yang mencintai ia akan Saidina 'Ali maka sesungguhnya ia mencintai akan daku. Dan sesiapa yang mencintai ia akan daku maka sesungguhnya mencintai ia akan Allah (swt). Dan sesiapa yang membuat murka ia akan Saiyidina 'Ali maka sesungguhnya membuat murka ia akan daku. Maka sesiapa yang membuat murka ia akan daku maka sesungguhnya membuat murka ia akan Allah, sebenarnya murka Allah azab di dalam neraka".
Dan setengah daripada hadis lagi, terjemahan menurut Sheikh Utsman al-Funtiani iaitu " 'Ali daripada aku menempati kepala daripada badanku". Sheikh Utsman al-Funtiani menutup perbicaraan ini sama maksudnya dengan kalimat yang digunakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Menulis Sheikh Utsman al-Funtiani, dalam 'Nurul Anwar', "Dan sesungguhnya beberapa banyak ayat Quran dan hadis pada menyatakan kelebihan Saidina 'Ali ...". Adapun beberapa ayat Quran ada hubungan dengan Saidina 'Ali, yang diberikan maklumat oleh kedua-dua ulama alam Melayu itu. Sheikh Utsman al-Funtiani memberikan contoh sebab turun ayat 274, surah al-Baqarah, terjemahannya : "Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita". Menurut Sheikh Utsman al-Funtiani, "Berkata Saidina 'Abdullah bin 'Abbas (ra), adalah bersama-sama Saidina 'Ali 4 dirham, tiada mempunyai yang lainnya, maka bersedekah ia dengan satu dirham siang hari dan satu dirham pada malam dan satu dirham 'sirran' (secara tersembunyi) dan satu dirham 'jiharan' (secara nyata), maka menurunkan oleh Allah Ta'ala ... (maksudnya ayat Quran tersebut)".
Ada pun kelompok yang kedua : karya Melayu yang khusus mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Saidina 'Ali, yang dikumpulkan dalam sebuah risalah, pernah ditulis dan disebarkan oleh seorang ulama besar keturunan Nabi Muhammad (saw), beliau ialah Sayyid Utsman Betawi atau lebih terkenal dengan sebutan Mufti Betawi. Karya beliau khusus mengenai 'Ahlul Bait' diberi judul 'Hadis Keluarga'. Karya beliau ini merupakan hadis 'Ahlul Bait' yang pertama sekali diperkenalkan ke dalam bahasa Melayu-Betawi. Walaupun risalah tersebut tipis saja, tetapi sangat besar pengaruhnya dan menjadi pegangan seluruh keturunan Nabi Muhammad (saw), iaitu keturunan yang melalui perkahwinan antara Saidina 'Ali dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad (saw) yang berada di alam Melayu terutama sekali di Pulau Jawa. Hingga kini memang belum dijumpai kumpulan hadis seumpamanya dalam bahasa Melayu. Beberapa contoh kandungannya tidak dapat diperkenalkan, hanya penulis simpulkan saja bahawa karya ini ditulis dengan lafaz hadis dalam bahasa Arab yang diberi makna dalam bahasa Melayu.
Selain karya Sayyid Utsman Betawi, terdapat lagi sebuah karya berjudul 'Nasihatu Ahlil Wafa 'ala Wasiyatil Mustafa', yang diselesaikan pada 11 Syawal 1312 H di Mekah oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Kandungannya merupakan wasiat Nabi Muhammad (saw) kepada Saidina 'Ali. Setelah mukaddimah dimulai dengan perkataan Saidina 'Ali, menulis oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, "Telah berkata Saidina Ali (kw), 'Telah memanggil akan daku oleh Rasulullah (saw) maka bersunyi aku bersertanya di dalam rumahnya', maka sabdanya, 'Hai Ali! Engkau daripadaku seperti kedudukan Musa daripada Harun (as) melainkan tiada lagi Nabi kemudian daripadaku. Bahawasanya aku wasiat akan dikau pada ini hari dengan beberapa wasiat, jika engkau memelihara akan dia, nescaya hiduplah engkau dengan mendapat kepujian dalam dua negeri (dunia akhirat) dan jika mati, engkau syahid ...".
Wasiat yang termaktub dalam risalah/kitab Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga itu mengandungi beberapa fasal semuanya bermula dari perkataan, 'Hai Ali!'. Dan ditutup dengan perkataan, "Hai Ali! Pelihara olehmu akan wasiatku dan amal olehmu dengan dia, adalah engkau itu daripada orang yang muttaqin ...". Karya yang ditulis oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga tersebut beberapa hadis di antaranya pernah dimuat oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam karya beliau yang berjudul 'Jam'ul Fawaid'.

NAMA SAIDINA 'ALI DALAM KARYA-KARYA MELAYU PADA KONTEKS ILMU TASAWWUF :
Diriwayatkan bahawa sewaktu Rasulullah (saw) akan berhijrah ke Madinah, Saidina 'Ali diperintahkan supaya menunggu di atas tempat tidur baginda, ketika itulah Rasulullah mengajarkan zikir 'ismuz zat' kepada Saidina 'Ali, zikirnya adalah dibaca secara 'sir' (perlahan). Tersebut dalam sebuah manuskrip yang ditulis di bahagian akhir kitab 'Bidayatul Hidayah' karya Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh), versi salinan Sheikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, dipercayai adalah karya beliau, iaitu :
"Maka adapun asal tempat bersandar Masyaikh (para Sheikh) pada mengajar muridnya zikir 'La ila ha illallah' pada jalan seseorang itu, iaitu ceritera daripada Saidina 'Ali ibni Abi Thalib (kw) tatkala ia berahi kepada menghampirkan dirinya kepada Allah Ta'ala, maka lalu ia berdatang sembah kepada Rasulullah (saw) sambil berkata, "Ya Rasulullah! Tunjuk olehmu akan daku atas sehampir-hampir daripada segala jalan kepada Allah dan semudah-mudahnya atas segala hambaNya dan selebih-lebihnya pada Allah Ta'ala". Sabda Nabi (saw), "Ya Ali! Tetap olehmu dengan zikrullah dalam segala khalwat (bersunyian)". Maka sembah Amirul Mu'minin Ali (kw), "Ya Rasulullah! Jika demikian kiranya fadhilat zikir itu, padahal adalah segala manusia itu menyebut zikrullah mereka itu". Maka sabda Nabi (saw), "Diamlah engkau hai Ali! Tiada berdiri kiamat itu padahal atas bumi ini orang menyebut Allah, Allah". Maka sembah Amirul Mu'minin Ali (kw), "Betapa aku zikir Ya Rasulallah?". Sabda Nabi (saw), "Hai Ali! Pejamkan olehmu kedua matamu dan dengarkan olehmu daripada aku, tiga kali, kemudian dari itu kata olehmu, tiga kali, padahal aku mendengar daripadamu". Maka berzikirlah oleh Nabi (saw), 'La ila Ha illallah' tiga kali, padahalnya memejamkan kedua matanya dan menyaringkan suaranya dan Amirul Mu'minin Ali (kw) mendengar dia". Kemudian dari itu maka zikirlah Amirul Mu'minin Ali (kw) kalimah 'La ila Ha illallah' tiga kali, pada halnya memejamkan kedua matanya dan menyaringkan suaranya dan Nabi (saw) mendengar dia".
Inilah asal 'isnad' (sandaran) segala Masyaikh mengajar muridnya zikir dengan kalimah 'La ila ha illallah' padahal sama seorang dengan muridnya ...".
Hujjah yang tersebut menjadi pegangan yang kukuh bagi para penganut tarekat di alam Melayu, yang takkan tergoyahkan oleh propaganda pihak yang kontroversi dengan tarekat yang mereka amal. Apabila kita kaji hampir semua tarekat yang mu'tabar di alam Melayu, sebahagian besarnya bersanad/bersalasilah kepada Saidina 'Ali (kw). Bermula dari Rasulullah (saw), turun kepada Saidina 'Ali (kw), turun kepada zuriat-zuriatnya iaitu : dari Saidina 'Ali (kw) turun kepada anaknya Saidina Husain, turun kepada Imam 'Ali Zainal 'Abidin, turun kepada Imam al-Baqir, turun kepada Imam Ja'far as-Sodiq, sesudah ini turun kepada pelbagai pihak yang bukan keturunan mereka, namun tidak dapat diperjelaskan dengan selengkapnya di sini.
Untuk penjelasan lebih lanjut, dapat dilihat buku penulis berjudul 'Dhiyaul Murid', mengenai salasilah Thariqat Syathariyah, terbitan Khazanah Fathaniyah (1996), dimulai halaman 112.
Salasilah Thariqat Qadiriyah oleh Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan salasilah Thariqat Qadiriyah oleh Syeikh Ahmad Khatib Sambas, pada bahagian asal tarekat itu juga sama dengan Thariqat Syathariyah, iaitu berasal dari penurunan melalui Saidina Ali (kw), turun kepada zuriat-zuriatnya.
Ada juga salasilah yang bermula dari Rasulullah (saw) turun kepada Saidina Ali (kw), tidak turun kepada zuriat beliau, tetapi turun kepada Hasan al-Basri, seperti terdapat pada Thariqat Qadiriyah oleh Sheikh Zainuddin as-Sumbawi, yang sama pada bahagian atasnya dengan Thariqat Samaniyah oleh Sheikh Abdus Samad al-Falimbani.
Untuk perbicaraan ini pula dapat dilihat dalam buku penulis berjudul 'al-'Urwatul Wutsqa' pada halaman 14, juga dalam buku berjudul 'Sheikh Abdus Samad Palembang' pada halaman 45. Perkara yang disebutkan mengenai salasilah tarekat ini adalah sebagai pengenalan ringkas saja, selengkapnya penulis muatkan dalam buku berjudul 'Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu'tabarah Di Dunia Melayu', terbitan Khazanah Fathaniyah (2000).
Apa yang penulis nyatakan di atas tidak dipertikaikan oleh para ulama silam tradisional di alam Melayu, kerana sumber-sumber yang diperkatakan terdapat rujukan-rujukan daripada kitab-kitab turas Islami. Tetapi selain yang tersebut, penulis mempunyai beberapa buah manuskrip Melayu mengenai tasawwuf yang sangat erat hubungan dengan Saidina 'Ali (kw), namun sangat sukar dirujuk kepada sumber-sumber muktabar, lagi pula manuskrip-manuskrip tersebut tidak dapat dikesan nama pengarang, di samping tulisan yang kurang memuaskan.

No comments: