BAITUL MAQDIS - Presiden Israel, Shimon Peres menghantar perutusan kepada rakyat Iran sambil memuji mereka sebagai bangsa yang hebat dan mempunyai budaya yang tinggi pada zaman silam dan menegaskan bahawa mereka akan menjadi bangsa yang lebih hebat sekiranya mereka tidak mempunyai kepimpinan yang 'keras kepala'.
Perutusan itu disampaikan berbetulan selepas Presiden Barack Obama menghantar mesej kepada Iran melalui satu rakaman video yang menyatakan tentang kesediaan Amerika Syarikat untuk menamatkan ketegangan hubungan antara Amerika dan Iran yang berlangsung sejak bertahun-tahun, sekiranya Teheran menghentikan retorik permusuhannya terhadap Amerika.
Peres, penerima Hadiah Nobel Keamanan turut menyentuh hubungan mesra yang pernah wujud antara kedua-dua negara semasa zaman pemerintahan Shah yang pro-Amerika yang digulingkan pada tahun 1979 dan menyuarakan harapan supaya kedua-dua negara dapat kembali hidup dalam suasana aman.
"Saya menyeru negara Iran yang mulia atas nama negara Yahudi kuno dan berharap ia akan kembali kepada kedudukannya yang asal dan berada di kalangan negara-negara maju," katanya. Namun dalam temuramah yang diiringi dengan perutusan itu, Peres dalam nada yang tegas turut menyampaikan pesanan yang ditujukan kepada para pemimpin Iran, sambil menggelarkan para pemimpin yang berkuasa di Iran selepas Revolusi Islam pada tahun 1979 sebagai golongan yang 'fanatik agama' dan meramalkan penduduk Iran akhirnya akan menyingkirkan mereka.
"Saya rasa rakyat Iran akan menyingkirkan pemimpin-pemimpin ini. Para pemimpin sedemikian tidak mampu berkhidmat dengan baik untuk rakyat dan lama kelamaan rakyat akan menyingkirkan mereka," kata Peres dalam temuramah itu. "Sebagai negara yang kaya, budaya juga mesti dikayakan. Di satu aspek saya kagum dengan Iran kerana sejarahnya dan di aspek yang lain saya sedih melihat apa yang sedang berlaku di Iran," katanya.
Pujian Peres terhadap sambutan Hari Nuruz itu disiarkan melalui rancangan bahasa Parsi menerusi stesen radio Suara Israel. Stesen radio tersebut mendakwa berjuta-juta rakyat Iran mengikuti siaran radio itu, walaupun tidak jelas berapa ramai yang telah mendengar pesanan Peres itu.
Peres turut mengecam kenyataan Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad yang menafikan kejadian Holocaust, sambil bertanya : ''Sejak bila dia (Ahmadinejad) menjadi seorang pakar tentang Holocaust Yahudi? Adalah dia berada di Auschwitz? Apa yang dia tahu? Apa yang dia tahu hanyalah menyampaikan ucapan demi ucapan, sedangkan merekalah sebenarnya yang sedang memusnahkan Iran. Mereka sebenarnya tidak mampu memusnahkan kami dengan cepat.''
Dalam ucapannya, Peres memberi tumpuan kepada rakyat Iran dan memohon restu Nuruz.
''Hubungan kami dengan negara Iran adalah atas kesedaran Iran adalah sebuah negara yang kaya, malahan dalam zaman moden ini, kerana kami berkongsi dengan kamu pengalaman kami dalam bidang pertanian, industri, pembangunan sains dan perubatan dan kami ingin mewujudkan hubungan yang baik dengan kamu,'' katanya.
Friday, April 3, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment