Friday, April 24, 2009

HOSNI MUBARAK PELAWA PM ISRAEL

*Gambar : Hosni Mubarak.
JERUSALEM - Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, Presiden Mesir, Hosni Mubarak telah menjemput pemimpin Israel itu untuk mengadakan pertemuan, walaupun berlaku ketegangan antara kedua-dua buah negara di awal pemerintahan Netanyahu sebelum ini.
Menurut kenyataan itu, Hosni telah bercakap melalui telefon menjemput Netanyahu mengadakan pertemuan di sebuah pusat peranginan di Sharm el-Sheik, Sinai. Bagaimanapun, tarikh pertemuan itu masih belum ditetapkan.
Sementara itu, kenyataan dari pejabat rasmi agensi berita Mesir pula melaporkan, perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin itu tidak menyentuh mengenai jemputan itu. Ia menyatakan bahawa Netanyahu menghubungi Hosni dan memberi jaminan untuk bekerjasama memelihara keamanan di rantau ini.
Walaupun terdapat pelbagai tanggapan buruk terhadap Netanyahu merujuk kepada pendirian keras beliau sebelum ini terhadap rakyat Palestin, namun pertemuan antara Netanyahu dan Hosni akan menjernihkan hubungan diplomatik antara Mesir dan kerajaan Israel yang baru pimpinan Netanyahu yang sebelum ini mendapat tentangan daripada pihak anti keamanan dan sebahagiannya daripada menteri-menteri.
Kerajaan Mesir dilaporkan sebelum ini memulaukan Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman yang mengutuk Hosni di hadapan orang ramai pada tahun lalu kerana tidak mengadakan lawatan rasmi ke Israel.
Sementara itu, menurut kenyataan Israel, kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua buah negara sejak menandatangani perjanjian damai pada 1979. Kerajaan Mesir merupakan negara Arab pertama menandatangani perjanjian damai dengan Israel.

No comments: