Monday, April 13, 2009

FESYEN IRAN UNTUK WANITA MALAYSIA

Inovasi rekaan pakaian wanita gabungan budaya Parsi dan Asia cuba ditonjolkan oleh Haira Boutique bagi wanita Malaysia yang inginkan fesyen berbeza daripada apa yang terdapat di negara ini.
Penggemar fesyen pasti tertarik dengan kelainan fesyen dan rekaan eksklusif di bawah jenama 'Zahra' yang diimport dari Iran ini. Fesyen daripada Zahra yang bermakna 'bunga' begitu memikat dengan potongan dan rekaan yang menarik khusus bagi wanita yang inginkan sesuatu yang baru.
Pengarah Urusan Zahra, Norhaira Ahmad berkata, fesyen jenama Zahra sesuai bagi digayakan ke pejabat, ke majlis formal dan majlis sosial.
''Terdapat juga rekaan yang boleh dipakai ke pejabat dan kemudian terus ke majlis yang diadakan selepas pejabat. Ini amat bersesuaian dengan mereka yang tidak sempat pulang ke rumah untuk menyalin pakaian lain,'' kata Norhaira yang ditemui di bilik pameran dan butiknya di Ampang baru-baru ini.
Jelasnya, keistimewaan fesyen Zahra ialah dibuat daripada jenis kain menggunakan teknologi tinggi dari Eropah seperti jersi 'spandeks' yang tidak mudah renyuk, tidak perlu digosok, tidak panas dan mudah dicuci.
''Sehelai baju boleh diolah dan dipakai dalam pelbagai gaya. Contohnya, boleh diikat di tepi, di depan, di belakang dan sebagainya. Boleh juga digayakan dengan tali pinggang berantai jika ingin nampak ranggi. Apa pun anda perlu berani mencuba dan setelah itu barulah anda tahu apa yang dimaksudkan,'' tambah beliau.
Menurut Norhaira lagi, fesyen Zahra sesuai dipakai oleh semua wanita baik bagi wanita bertudung, tidak bertudung dan wanita bukan Melayu. Pelbagai saiz boleh diperoleh mengikut bentuk badan seperti S, M, L, XL dan XXL.
Warna-warna asas dan polos seperti hitam, coklat, kelabu dan putih menjadi keutamaan pada fesyen Zahra kerana warna-warna ini sememangnya diminati ramai. Pun begitu, Zahra juga mempunyai banyak rekaan bercorak dengan warna-warna menarik yang boleh digayakan ke majlis.
Walaupun baru diedarkan tahun lepas namun sambutan begitu menggalakkan daripada seluruh Malaysia. Zahra kini mempunyai 11 orang pengedar dan agen bergerak. Agen baru dan pemilik butik dialu-alukan termasuk dari Brunei dan Indonesia.

No comments: