Friday, April 3, 2009

IRAN SEDIA BERUBAH JIKA AMERIKA SYARIKAT TURUT BERUBAH

TEHERAN - Pemimpin tertinggi Iran atau Rahbar, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei menyatakan kesediaan Iran untuk berubah, dengan syarat Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memulakan langkah untuk menukar sikapnya terhadap negara itu.
Berucap sehari selepas Obama menawarkan 'permulaan baru' kepada Iran bagi meredakan ketegangan selama berdekad antara Amerika dan Iran, Rahbar menegaskan bahawa Iran masih tidak melihat sebarang perubahan sikap Washington terhadap Teheran.
"Kami tidak mempunyai pengalaman dengan kerajaan dan Presiden baru Amerika. Kami akan memantau dan menilai keadaan. Jika anda mengubah sikap, maka kami juga akan mengubah sikap. Kami masih tidak melihat perubahan anda. Apa perubahan dalam polisi anda? Adakah anda telah menghentikan sekatan? Adakah anda menghentikan sokongan kepada rejim Zionis? Beritahu kami bukti yang menunjukkan anda sudah berubah. Perubahan dalam bentuk kata-kata saja tidak mencukupi," kata beliau ketika berucap kepada ribuan rakyat di bandar Masyhad.
Sementara itu, White House menegaskan bahawa ia mempunyai beberapa rancangan untuk mengajak Iran berdialog selepas mesej Obama melalui video yang mengucapkan Selamat Tahun Baru Nuruz kepada Iran sebagai langkah dramatik terbaru strategi diplomatik Amerika untuk mengadakan rundingan.
Jurucakap Presiden Obama, Robert Gibbs ketika ditanya sama ada White House berharap mesej tersebut akan menjadi asas kepada dialog berterusan dengan Iran ketika Washington dan sekutunya cuba menyekat program nuklearnya, beliau menjelaskan bahawa 'terdapat beberapa penilaian menyeluruh dilakukan terhadap polisi Amerika'.
Gibbs memberitahu pemberita bahawa langkah susulan sudah disediakan dan 'terdapat banyak lagi langkah, namun ia tidak akan dimaklumkan ketika ini'.

No comments: