Wednesday, April 29, 2009

IRAN SEDIA JALIN HUBUNGAN LEBIH ERAT DENGAN OBAMA

TEHERAN - Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad memberi isyarat bahawa Republik Islam itu bersedia menjalinkan hubungan lebih erat dengan Amerika Syarikat. Washington telah menyuarakan strategi baru bagi menangani program nuklear Teheran yang dipertikaikan oleh kuasa Barat.
Kedua-dua perkembangan tersebut menunjukkan dua negara yang sudah lama bermusuhan itu sedang mencari jalan untuk kembali ke meja rundingan dan meredakan konfrontasi diplomatik sejak hampir 30 tahun lalu.
Pentadbiran Presiden Barack Obama telah cuba memulakan dialog dengan Iran, berlainan dengan pentadbiran George W. Bush yang sering mengeluarkan kenyataan keras terhadap negara itu.
Iran pada umumnya menolak percubaan untuk berdamai, sebaliknya terus mengambil langkah tegas seperti membicarakan seorang wartawan AS baru-baru ini atas tuduhan mengintip.
Namun, dalam ucapannya yang terbaru, Ahmadinejad mengubah nadanya, dengan berkata Iran sedang menyediakan cadangan baru untuk memecahkan kebuntuan dengan Barat berhubung program nuklearnya.
"Negara Iran adalah sebuah negara yang berjiwa besar. Ia boleh melupakan perkara yang lepas dan memulakan era baru, tetapi mana-mana negara yang bercakap atas dasar mementingkan diri sendiri akan menerima jawapan sama seperti yang diberikan oleh negara Iran kepada Bush," kata Ahmadinejad kepada ribuan hadirin di bandar Kerman, tenggara Iran.
Di Washington, Setiausaha Negara, Hillary Rodham Clinton membincangkan kenyataan Ahmadinejad itu semasa pertemuan dengan ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Javier Solana.
"Berhubung ucapan dan kenyataan terbaru daripada Iran, kami mengalu-alukan dialog. Kami sudah menyuarakan harapan untuk menjalinkan hubungan dengan Iran, tetapi belum melihat sesuatu yang boleh dianggap sebagai cadangan," kata Hillary.

No comments: