Friday, April 24, 2009

IRAN NEGARA KUASA NUKLEAR

*Gambar : Ali Larijani.

TEHERAN - Speaker Parlimen Iran, Ali Larijani menyatakan kuasa-kuasa dunia perlu menerima Republik Islam Iran sebagai sebuah negara kuasa nuklear. Beliau membuat kenyataan itu selepas lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Britain, China, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat serta Jerman menyuarakan kesediaan untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan Iran berhubung program nuklearnya.
"Sekarang ini kumpulan 5+1 tidak mempunyai sebab untuk menghalang Iran daripada memiliki teknologi nuklear dan rundingan yang dijangka diadakan akan berasaskan hak-hak yang disebut dalam Perjanjian Pengawalan Senjata (NPT)," kata Larijani dalam ucapan di Parlimen.
Kuasa-kuasa dunia telah menggesa Iran menghentikan program meningkatkan uraniumnya yang disyaki bertujuan untuk membina senjata atom.
Baru-baru ini, Iran telah mengumumkan pembukaan loji sumber tenaga nuklearnya yang pertama dan mendakwa telah menguji dua alat empar baru berkapasiti tinggi untuk kegiatan meningkatkan uranium, walaupun Washington mempertikaikan dakwaan tersebut.
Teheran menegaskan, ia membenarkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk memeriksa kegiatan nuklearnya dan sebagai negara yang menandatangani NPT, Iran berhak untuk menjalankan aktiviti meningkatkan uranium bagi menghasilkan sumber tenaga untuk menggerakkan loji kuasa nuklearnya.
Larijani yang juga bekas ketua perunding nuklear Iran berkata, "penyeliaan lebih rapi seperti yang disokong oleh sesetengah anggota kumpulan 5+1 adalah tidak berasas di sisi undang-undang".

No comments: