SAN'AA - Mahkamah Yaman hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki kerana menghubungi Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert dan menawarkan khidmatnya kepada negara Yahudi itu.
Bassam al-Haidari, 26, didapati bersalah menulis e-mel kepada Olmert dan menyatakan kesediaannya bekerja untuk Israel.
Seorang lagi defendan, 'Imad al-Rimi, 23, dijatuhi hukuman penjara lima tahun, manakala tertuduh ketiga, 'Ali al-Mahfal, 24, dikenakan hukuman penjara tiga tahun.
"Mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas defendan pertama dalam kes mengadakan hubungan haram dengan entiti Yahudi Zionis Israel," kata Hakim Hasan Elwan. Mahfal membantah keputusan hakim itu.
"Ini tidak adil, awak menjatuhkan hukuman ke atas saya tanpa sebarang bukti," katanya.
Mereka bertiga mula dibicarakan pada Januari lalu, atas tuduhan beroperasi atas nama Pertubuhan Jihad Islam dan menyebarkan khabar angin mengenai serangan ke atas bangunan kerajaan, kedutaan dan kepentingan asing di Yaman pada tahun lepas.
Menurut pendakwa, dalam satu e-melnya, Haidari menulis: "Kami Pertubuhan Jihad Islam dan kamu Yahudi, tetapi kamu jujur dan kami sanggup melakukan apa sahaja." Olmert dikatakan membalas e-mel Haidari itu dan menyambut baik tawarannya untuk bekerjasama.
No comments:
Post a Comment