Monday, August 25, 2008

NASIHAT AYATULLAH 'ALI TASKHIRI BUAT SEMUA PENGIKUT MAZHAB AHLUL BAIT

Setelah selesai "International Conference Of Islamic Scholar" di Jakarta, ulama besar Iran, Ayatullah 'Ali Taskhiri sempat mengunjungi Islamic Cultural Center (ICC) di Jakarta pada 3 Ogos 2008 yang lepas dan memberikan nasihat kepada para pengikut mazhab Ahlul Bait. Berikut adalah ringkasan ucapannya :
  1. Firman Allah (swt) : "Sesungguhnya Wali (pemimpin) kamu hanyalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, menunaikan zakat dalam keadaan rukuk" (Surah al-Maidah : ayat 55). Anda semua mengetahui bahawa ayat tersebut turun kepada Ahlul Bait iaitu Imam 'Ali bin Abi Thalib (as) yang memberikan cincinnya kepada seorang peminta sedekah ketika baginda (as) sedang rukuk dalam solatnya. Ayat tersebut menjelaskan dengan indah sekali tentang kedudukan Imam 'Ali (as) sekaligus keutamaan Ahlul Bait (as). Banyak sekali hadis-hadis yang mengungkapkan berkenaan keutamaan Ahlul Bait (as), samada dari kitab-kitab Syiah mahupun kitab-kitab Ahlus Sunnah.
  2. Saya menyedari bahawa anda semua memiliki masalah. Para Imam Ahlul Bait (as) pun pernah bersabda, "Urusan kami (Ahlul Bait) adalah sesuatu yang amat sulit dan berat." Namun perkara tersebut merupakan sebuah kurniaan yang perlu disyukuri dengan penuh kesabaran. Itulah yang disabdakan oleh Rasulullah dan Ahlul Baitnya (as), "Barang siapa yang mencintai kami, hendaklah menyiapkan kefakiran sebagai pakaiannya."
  3. Para Imam Ahlul Bait (as) melaksanakan 2 bentuk pendidikan (tarbiyah) kepada manusia. Yang pertama adalah bersifat umum iaitu seluruh manusia akan menerima bimbingannya. Yang kedua pula bersifat khusus iaitu bimbingan khas terhadap para pengikutnya. Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ja’far ash-Shodiq (as) dan para Imam yang lain, "Syiah kami tercipta dari sisa tanah kami."
  4. Para pengikut mazhab Ahlul Bait perlu memberikan tumpuan penuh terhadap hadis-hadis yang datang daripada Nabi Muhammad (saw) dan para Imam Ahlul Bait (as). Perhatikan hadis tentang "Peristiwa al-Ghadir." Sabda Rasulullah (saw), "Barangsiapa yang menjadikan aku (Rasul) sebagai pemimpinnya, maka ini, Ali adalah pemimpinnya juga." Hadis ini telah diriwayatkan oleh ratusan para sahabat dan tersebar di "Kutub Sittah" milik Ahlus Sunnah dan turut terakam di dalam kitab "Musnad Ahmad bin Hanbal."
  5. Imam Fakhrurrazi, salah seorang mufassir (ulama tafsir) besar Ahlus Sunnah, ketika memberikan komentar terhadap salah satu perbahasan feqah menyatakan bahawa "menjaharkan (menguatkan) bacaan basmalah adalah mazhab 'Ali. Barangsiapa melakukannya, bererti telah melaksanakan kebenaran." Inilah yang Rasulullah sabdakan, "Kebenaran sentiasa berputar bersama 'Ali."
  6. Hadis lain yang sangat penting adalah "Hadis as-Saqolain." Sabda Rasulullah (saw) : "Telah aku tinggalkan kepada anda 2 perkara yang berharga, al-Quran dan Ahlul Baitku (ahli keluargaku)." Hadis ini amat banyak tercatat dalam kitab-kitab Syiah dan Ahlus Sunnah, jauh melebihi jumlah hadis yang menyebut "al-Quran dan Sunnahku." Ahlul Bait telah diletakkan sejajar dan seiring dengan al-Quran yang suci. Sekiranya al-Quran adalah suci dan terpelihara dari segala kesalahan (maksum), maka begitu jugalah dengan Ahlul Bait. Al-Quran yang suci wajib dijelaskan oleh orang-orang yang suci juga. Hadis ini turut menghuraikan berkenaan kedudukan pengganti Rasulullah (saw).
  7. Hadis lain adalah berkaitan dengan 12 orang Khalifah. Sabda Rasulullah (saw) : "Agama Islam akan tetap berdiri sehingga berlalu 12 orang Khalifah, semuanya datang dari golongan Quraisy" (Hadis Muslim). Jumlah mereka sama seperti para pemimpin Bani Israel. Hadis ini juga amat banyak tertulis dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah termasuk al-Bukhari kerana ia hidup sezaman dengan Imam Muhammad al-Jawad (as).
  8. Hiduplah bersama saudara-saudara anda, Ahlus Sunnah. Bekerjasamalah dengan mereka. Salinglah tolong-menolong antara satu sama lain. Milikilah rasa cinta terhadap mereka. Hiduplah dengan cara saling mengasihani. Solatlah bersama mereka. Pandanglah wajah mereka dengan penuh kasih sayang. Bersama-samalah membangunkan negara anda. Inilah wasiat para Imam Ahlul Bait (as) kepada kita semua.
  9. Imam Khomeini (qs) telah menggagaskan "Minggu Perpaduan" di Iran dengan
    melaksanakan pendekatan antara mazhab-mazhab dalam Islam. Begitu juga dengan Ayatullah al-'Uzma Sayyid 'Ali Khamenei yang menggalakkan perjalanan "Taqrîb al-Madzâhib" yang juga berkat kerjasama dengan Universiti al-Azhar.
  10. Amat banyak dana yang dihabiskan oleh para musuh Islam (khususnya Zionis) untuk menghancurkan Islam. Malangnya, ada sebahagian ummat Islam yang bersikap bodoh, membantu para musuh Islam dengan sikap fanatisme tegar. Sebagai pengikut Ahlul Bait, kita perlu lebih cerdas dalam melihat serta menganalisa situasi semasa dan bersikap lebih bijak. Hizbullah di Lebanon sebagai sebuah jema'ah yang amat kecil, misalnya, namun masih mampu mengalahkan kereta kebal "Mirkava" milik Israel, yang
    mereka canangkan sebagai "benteng berjalan". Namun ada sebahagian ummat Islam yang menyatakan "tidak kepada Hizbullah" dan mengharamkan berdoa untuk kemenangan Hizbullah
    . Kelompok-kelompok seperti ini dikirim ke seluruh dunia untuk mewujudkan perpecahan di kalangan masyarakat Islam. Tapi kita yang bermazhab Ahlul Bait, tidak pernah menginginkan perkara seperti ini berlaku. Oleh itu, ajarkanlah anak-anak kita dengan nilai dan ilmu-ilmu Islam. Sebagaimana disebutkan dalam sebuah riwayat, "Barangsiapa yang memahami ilmu di zamannya, nescaya ia tidak akan terjerat oleh sebarang permasalahan." Ya Allah ! Tunjukkanlah kepada kami jalan yang lurus. Kuatkanlah kami untuk menuju jalan Ahlul Bait. Ilahi ! Amin !

No comments: