Wednesday, August 6, 2008

SELAMAT DATANG, WAHAI BULAN RASULULLAH !


Sya’ban adalah bulan yang amat mulia dan dikenali dengan nama "Bulan Rasulullah (saw)". Baginda (saw) sering berpuasa dalam bulan ini sehingga datang bulan Ramadhan. Baginda bersabda, “Sya’ban adalah bulanku. Sesiapa yang berpuasa satu hari di dalam bulanku ini, nescaya syurga adalah miliknya.”
Imam Ja’far as-Shâdiq (as) meriwayatkan bahawa Imam 'Ali Zainal Abidin (as) pernah menghimpunkan para sahabatnya ketika tiba bulan Sya’ban. Baginda (as) berkata kepada mereka, “Wahai sahabat-sahabatku, bulan ini adalah bulan Sya’ban. Rasulullah (saw) selalu bersabda, 'Sya’ban adalah bulanku.' Maka berpuasalah di bulan ini kerana kecintaan kalian kepada baginda (saw) ! Bertaqarrublah kepada Tuhan kalian di bulan ini! Demi Allah yang jiwa 'Ali bin Husain berada di dalam genggamanNya! Aku pernah mendengar ayahku, Imam Husain bin 'Ali (as) berkata, 'Aku pernah mendengar Amirul Mukminin Imam 'Ali bin Abi Thalib (as) menjelaskan bahawa sesiapa yang berpuasa di bulan Sya’ban kerana kecintaannya kepada Rasulullah, berpuasa di bulan ini untuk bertaqarrub kepada Allah (swt), nescaya Allah (swt) akan mencintainya, mendekatkannya kepada kemuliaanNya di hari Qiamat dan menganugerahkan syurga kepadanya.' "
Syeikh Thûsî (ra) meriwayatkan dari Shafwân al-Jammâl bahawa Imam Ja’far as-Shâdiq (as) berkata, "Anjurkanlah orang-orang yang berada di sekitarmu untuk berpuasa di bulan Sya’ban!" Al-Jammâl bertanya, 'Aku menjadi tebusanmu! Apakah anda mendapati sebuah keutamaan di dalamnya?'
Imam Ja’far as-Shâdiq (as) menjawab, "Ya! Ketika melihat anak bulan Sya’ban, Rasulullah (saw) memerintahkan seorang utusannya agar berseru di kota Madinah, ‘Wahai penduduk kota Madinah! Aku telah diutus oleh Rasulullah (saw) untuk kalian agar menyampaikan pesanan bahawa sesungguhnya bulan Sya’ban adalah bulan Rasulullah (saw). Rasulullah (saw) berdoa semoga Allah (swt) merahmati orang yang membantu baginda dengan memuliakan bulan baginda ini (Sya’ban), dengan cara berpuasa.' "
Amirul Mukminin Imam 'Ali bin Abi Thalib (as) sering berkata, "Aku tidak pernah meninggalkan puasa di bulan Sya’ban semenjak aku mendengar utusan Rasulullah (saw) menyampaikan seruan itu di bulan Sya’ban. Insya Allah, aku tidak akan sama sekali meninggalkan puasa di bulan ini selagi hayat di kandung badan."
Berpuasa pada dua bulan iaitu Sya’ban dan Ramadhan adalah manifestasi taubat dan akan mendapat keampunan dari Allah (swt).
Isma'il bin 'Abdul Khâliq bercerita, “ Suatu hari aku menjadi tetamu di rumah Imam Ja’far as-Shâdiq (as). Baginda (as) membahaskan tentang puasa di bulan Sya’ban. Baginda (as) berkata, 'Banyak sekali keutamaan berpuasa di bulan Sya’ban. Jika seseorang berpuasa di bulan Sya’ban, nescaya puasanya itu akan memberi manfa'at kepada dirinya dan dosanya akan diampunkan."Ya Sahibaz Zaman ! Adrikna!

2 comments:

Al Fadhl said...

Assalamualaikum ya Abal Qassim ya Rasulullah....Assalamualaikum Ya Shahibaz zaman Al Mehdi...adrikni..adrikni..adrikni

Abu_Wajihah said...

Salam al Fadhl!

Semoga kita terpilih menjadi pengikutnya..Amin!