Tuesday, July 14, 2009

72 LAGI PENGIKUT MAZHAB AHLUL BAIT SYAHID DALAM SERANGAN BOM DI SADR CITY

*Gambar : Ahli-ahli keluarga meratap semasa mengusung keranda mayat mangsa serangan bom yang turut mengorbankan sekurang-kurangnya 72 orang di sebuah pasar sibuk di Sadr City, Iraq baru-baru ini.

BAGHDAD - Sebuah bom kuat yang diletupkan di sebuah pasar sibuk di timur Sadr City, di sini baru-baru ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 72 nyawa, enam hari sebelum tentera Amerika Syarikat dijadual berundur daripada pekan-pekan dan bandar-bandar di Iraq.
Kira-kira 127 orang lagi dilaporkan cedera dalam insiden yang berlaku di kawasan miskin yang dihuni penduduk bermazhab Ahlul Bait.
Seorang saksi berkata, letupan tersebut merobek sebahagian kawasan Pasar Mraidi yang menjual burung-burung, menyebabkan gerai-gerai terbakar.
Insiden pertumpahan darah berkurangan mendadak di seluruh Iraq dalam masa beberapa tahun lepas, namun pejuang termasuk al-Qaeda terus melancarkan serangan pengeboman kereta dan serangan berani mati yang bertujuan melemahkan kerajaan dan meningkatkan konflik antara puak.
Serangan ke atas pasar tersebut itu berlaku empat hari selepas tentera Amerika Syarikat secara rasmi menyerahkan kawalan keselamatan Sadr City kepada tentera tempatan, yang pernah menjadi lokasi pertempuran sengit tentera Amerika Syarikat dan Iraq dengan pejuang bermazhab Syiah pada 2008.
Ra'ad Latif, pemilik sebuah kedai berdekatan lokasi letupan berkata, bom itu kemungkinan dipasang pada sebuah motosikal yang ditempatkan dalam sebuah treler.
''Letupan itu sangat besar dan kuat. Selepas mendengarnya, kami menutup kedai dan bergegas membantu mereka yang cedera,'' kata Latif.
Dia berkata, pada mulanya, pasukan keselamatan meminta orang ramai berundur bagi membolehkan ambulans dan kenderaan polis memasuki kawasan berkenaan.
''Selepas itu, pasukan keselamatan akhirnya membenarkan kami membantu setakat yang termampu. Lokasi kejadian sangat menakutkan,'' ujarnya.
Sementara itu, penganalisis berpendapat, serangan-serangan yang berlaku di Iraq mungkin akan menjadi bertambah hebat menjelang pilihan raya Parlimen Januari depan, yang menjadi ujian penting sama ada puak yang bertelingkah di Iraq boleh hidup bersama selepas beberapa tahun terheret dalam pembunuhan sesama mereka yang dicetuskan oleh serangan Amerika Syarikat pada 2003.
Jurucakap tentera memaklumkan, hanya sebilangan kecil tentera Amerika Syarikat akan tinggal di Iraq selepas tarikh akhir pengunduran 30 Jun, namun jumlah sebenar masih belum diketahui. Sebahagian tentera Amerika Syarikat akan kekal di pusat bandar iaitu di Stesen Keselamatan Bersama bagi melatih dan menasihatkan tentera keselamatan tempatan.

No comments: