Sunday, July 12, 2009

OBAMA INGATKAN IRAN

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengingatkan Iran bahawa 'dunia sedang memerhatikan' tindak-tanduk negara itu dan Amerika Syarikat akan menyokong mana-mana pihak yang berusaha mencari 'perdamaian' yang adil selepas pilihan raya Iran, yang didakwa berlaku huru-hara.
Pesanan Presiden itu ditujukan kepada penunjuk perasaan pro pembangkang beberapa jam selepas pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei meminta bantahan jalanan dihentikan baru-baru ini.
Meskipun di sebalik jaminan pegawai atasan Amerika Syarikat bahawa negara tersebut tidak akan campur tangan dalam krisis di Iran, kedua-dua dewan perwakilan Kongres Amerika Syarikat memilih untuk mengutuk keganasan kerajaan Iran terhadap penunjuk perasaan.
''Pendekatan dan cara Iran mengendalikan pihak-pihak yang mencari perdamaian serta ingin kehendak mereka didengari, akan menunjukkan kepada komuniti antarabangsa siapa Iran sebenarnya,'' kata Obama melalui satu wawancara dengan CBS.
Ketika ditanya apakah beliau mempunyai pesanan kepada penunjuk perasaan di Iran, Obama berkata, ''Ya, sudah tentu. Kami sentiasa berdiri di belakang mereka yang mencari keadilan secara aman. Kami menyokong mana-mana pihak yang mencari resolusi perdamaian kepada konflik dan kami percaya bahawa suara rakyat perlu didengar, itulah nilai universal yang dipegang oleh rakyat dan pentadbiran Amerika Syarikat.''
Badan perundangan tertinggi Iran baru-baru ini mengambil keputusan mengira semula 10 peratus daripada jumlah undi pada pilihan raya Presiden negara itu. Walaupun berdasarkan peraturan, Majlis Penjaga tidak diwajibkan berbuat demikian, namun ia bersedia mengira semula 10 peratus daripada undian secara rawak dengan kehadiran wakil tiga calon Presiden yang kalah, kata seorang jurucakap majlis tersebut.
Majlis Penjaga turut mengadakan mesyuarat dengan tiga calon Presiden yang kalah pada pilihan raya tersebut, iaitu Mohsen Rezaie, Mir Hossein Mousavi dan Mehdi Karoubi bagi mendengar pandangan mereka. Bagaimanapun hanya Mohsen Rezaie menghadiri mesyuarat tersebut.

No comments: