Wednesday, July 8, 2009

RAHBAR BELA AHMADINEJAD

*Gambar : Ahmadinejad (depan, dua dari kanan) memberi tumpuan kepada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei di Universiti Teheran baru-baru ini.

TEHERAN - Pemimpin tertinggi Iran (Rahbar), Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei telah mempertahankan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad sebagai pemenang yang sah pada pilihan raya presiden baru-baru ini walaupun keputusan pengundian yang dipertikaikan itu telah mencetuskan protes terbesar dalam sejarah Republik Islam itu.
Rahbar dalam ucapan pertamanya ke seluruh negara sejak kekacauan itu meletus menggesa agar demonstrasi dihentikan dan beliau menolak kemungkinan berlakunya penipuan dalam pilihan raya, seperti yang didakwa oleh para penentang Ahmadinejad.
"Keputusan pilihan raya datang daripada peti undi, bukan dari jalan raya. Hari ini negara Iran memerlukan ketenteraman," katanya kepada puluhan ribu jemaah yang berhimpun di Universiti Teheran untuk mengerjakan solat Jumaat.
Beliau menuduh musuh-musuh Iran mahu menyerang kedudukan pemerintahan ulama negara itu dengan mempertikaikan keputusan pilihan raya itu.
Para penyokong pencabar utama Ahmadinejad, Mir Hossein Mousavi telah melancarkan protes terbesar dan paling meluas sejak Revolusi Islam pada 1979.
Rahbar berkata, ahli politik perlu menjauhi sikap ekstremis dan mereka akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang pertumpahan darah yang berpunca daripada 'tindakan ekstremis' tersebut.
Protes jalanan tidak akan memaksa pemerintah menerima 'tuntutan haram' daripada calon-calon yang tewas, kata beliau yang dipercayai merujuk kepada permintaan Mousavi agar keputusan pilihan raya dimansuhkan dan pengundian diadakan semula.

No comments: