Sunday, July 12, 2009

ISRAEL MAHU LUASKAN LAGI PENEMPATAN HARAM

Gambar : Pembinaan kawasan perumahan diteruskan oleh rejim Zionis seperti di Har Homa di timur Baitulmaqdis.
Baitulmaqdis - Israel merancang untuk memperuntukkan dana sebanyak USD250 juta (RM900 juta) dalam tempoh dua tahun akan datang bagi membina kawasan penempatan Yahudi di wilayah Palestin di Tebing Barat tanpa mempedulikan tekanan Amerika Syarikat supaya aktiviti tersebut dihentikan.
Peruntukan itu terkandung dalam bajet 2009-2010 yang melepasi bacaan pertama di Knesset (parlimen) baru-baru ini.
Kira-kira USD125 juta (RM450 juta) akan digunakan untuk pelbagai perbelanjaan berhubung keselamatan manakala selebihnya akan membiayai pembinaan kawasan perumahan.
Pertubuhan Israel yang menentang penempatan Yahudi, 'Peace Now' melaporkan, perbelanjaan pembinaan kawasan penempatan dalam bajet 2009-2010 itu dijangka lebih tinggi dan 'diagih-agihkan dalam beberapa bahagian bajet'.
"Angka rasmi itu jauh lebih kecil daripada jumlah sebenar dan rakyat Israel bukan sahaja akan menanggung akibat politik kerana meneruskan kegiatan pembinaan penempatan tetapi akan turut menanggung kos ekonominya," kata ketua Peace Now, Yariv Oppenheimer.
Amerika Syarikat telah menggesa Israel menghentikan semua aktiviti pembinaan di kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat.
Masyarakat antarabangsa menyifatkan kawasan penempatan Israel itu sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa dan antara halangan utama dalam menggerakkan proses damai Asia Barat.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu enggan tunduk kepada tuntutan Washington dan sebaliknya menyatakan aktiviti pembinaan bagi menampung pertumbuhan penduduk Yahudi akan diteruskan.
Lebih 280,000 rakyat Israel mendiami kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat, wilayah Palestin yang ditawan oleh Israel daripada Jordan dalam Perang Enam Hari 1967.

No comments: