Tuesday, July 14, 2009

SARKOZY DIBIDAS KERANA HINA PURDAH

PARIS – Kumpulan Islam utama di Britain mengecam Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang mendakwa pakaian purdah yang menutup badan dan muka wanita Islam menjadikan mereka seakan banduan.
Di Paris, Parlimen secara rasmi mewujudkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji pemakaian purdah di Perancis, sehari selepas Sarkozy memberitahu penggubal undang-undang bahawa purdah tidak diterima di negara tersebut.
Seorang pengawai tertinggi Majlis Islam Britain, mendakwa Sarkozy melakukan ‘politik memecah-belah’ dan komennya boleh menimbulkan tindak balas 'Islamophobic' di Eropah.
Ia seperti telah merendah-rendahkan umat Islam dan serangan untuk mengatakan pemakaian purdah oleh wanita Islam disebabkan oleh paksaan atau penindasan oleh lelaki atau penjaga mereka,” kata Penolong Setiausaha Agung Majlis, Reefat Drabu.
‘‘Pernyataan demikian boleh dianggap satu bentuk penentangan terhadap Islam,’’ katanya lagi.
Seorang ahli politik Islam berprofil tinggi juga menyertai perdebatan tersebut menyatakan ia bukanlah tugas kerajaan untuk menentukan pemakaian rakyat.
Kebebasan memilih adalah satu nilai terhebat bagi negara ini dan mengapa kita disegani di seluruh dunia,” kata Menteri Komuniti, Shahid Malik.
Tidak ada sebarang undang-undang yang menyatakan apa pakaian yang boleh diterima sama ada seseorang itu memilih memakai purdah, skirt mini atau pakaian goth adalah mengikut budi bicara individu itu sendiri,” katanya lagi.
Seramai 32 anggota suruhanjaya ditubuhkan oleh parlimen yang terdiri daripada empat ahli parti politik utama Perancis akan mengadakan perbahasan yang mungkin membawa kepada pengharaman pemakaian purdah di khalayak ramai.

No comments: