Tuesday, July 14, 2009

LEBIH 140 AKTIVIS DIPENJARA DI IRAN

TEHERAN - Iran telah memenjarakan lebih 140 aktivis politik, wartawan dan pensyarah universiti sejak pilihan raya yang dipertikaikan menyaksikan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad kembali berkuasa.
Akhbar E'temad menyiarkan senarai 71 nama pemimpin terkenal reformis, wartawan dan pekerja kempen kepada calon Presiden yang kalah, Mir Hossein Mousavi, yang menganggap pilihan raya tersebut sebagai 'penipuan memalukan'.
Menurut laman web Mousavi, 'Kalemeh Sabz', seramai 70 pakar akademik dan ahli-ahli persatuan Islam dari pelbagai universiti turut ditahan selepas bertemu dengan pemimpin itu.
Iran turut menahan dua wartawan yang bertugas dengan syarikat penerbitan Amerika Syarikat di tengah-tengah larangan yang ditingkatkan terhadap media asing, yang dilarang membuat liputan tentang bantahan jalanan.
Sementara itu, Ahmadinejad turut menuduh Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkelakuan sama seperti bekas Presiden, George W. Bush dan menggesa beliau meminta maaf atas apa yang dianggapnya sebagai campur tangan Amerika Syarikat semasa pilihan raya Iran.
Obama sebelum ini berkata, beliau 'gerun dan terkejut' dengan tindakan tegas terhadap bantahan yang berlaku di Iran selepas pemilihan semula Ahmadinejad sebagai Presiden.
''Beliau membuat kesilapan dengan mengatakan perkara-perkara itu. Soalan kami ialah mengapa beliau masuk campur dalam hal ini dan menyatakan perkara-perkara yang sama seperti yang sering dikatakan oleh Bush? Saya harap anda (Obama) akan mengelak daripada hal ehwal Iran selain menyatakan kekesalan,'' tegas Ahmadinejad lagi.
Sekurang-kurangnya 20 maut dan beratus-ratus yang lain telah ditahan dalam beberapa pertempuran di antara penunjuk perasaan dan tentera keselamatan sejak bantahan ekoran pilihan raya tercetus.

No comments: