Monday, July 6, 2009

PROTES TERHADAP AHMADINEJAD DI ALAM SIBER IRAN

*Gambar : Seorang daripada calon Presiden Iran, Mehdi Karroubi (berserban putih) menyertai tunjuk perasaan membantah kemenangan Ahmadinejad di Teheran baru-baru ini.
SAN FRANCISCO - Penyokong dan mereka yang bersimpati dengan penunjuk perasaan Iran di alam siber seluruh dunia baru-baru ini, berganding bahu membantu mereka menghindar penapisan, mengeluarkan berita pertempuran ganas dan mengelakkan tangkapan dalam dunia sebenar.
Gambar, video dan berita terkini dari jalan-jalan raya Teheran dihantar secara berterusan, dalam laman web rangkaian sosial dan perkongsian imej seperti Twitter, Facebook, YouTube dan Flickr walaupun pegawai-pegawai Iran cuba menyekat talian telefon bimbit dan Internet.
"Revolusi mungkin tidak dipaparkan di kaca televisyen Iran namun ia tersebar meluas di seluruh dunia," kata seorang pengguna yang memakai nama 'Kaplanmyrth' dalam satu daripada ribuan mesej ringkas berhubung pilihan raya Presiden Iran dalam satu laman blog.
Sekutu maya telah mewujudkan komputer-komputer berinternet yang dipanggil 'pelayan proksi' yang boleh digunakan penduduk Iran untuk mengelak halangan penyebaran berita mengenai demonstrasi yang mendakwa Dr Mahmoud Ahmadinejad menipu dalam pilihan raya Presiden yang lalu.
"Ia seperti jarum dalam timbunan rumput kering atau lebih teruk lagi daripada itu. Ramai orang telah menubuhkan proksi," kata perunding teknologi Amerika Syarikat yang mempunyai kepakaran dalam pencarian data sosial, Nitin Borwankar.
Laman web Twitter dipenuhi dengan mesej dan sambungan oleh mereka yang mendakwa telah mendedahkan penipuan dalam gambar perarakan kemenangan Ahmadinejad yang diubah suai agar kelihatan seperti ramai.
Sementara itu di Seoul, Korea Selatan, beberapa pemain bolasepak skuad kebangsaan Iran memakai lilitan hijau pada lengan mereka sebagai tanda sokongan kepada calon presiden yang tewas, Mir Hossein Mousavi semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia 2010 baru-baru ini.
Sekurang-kurangnya enam daripada 11 pemain Iran memakai lilitan hijau tersebut semasa perlawanan menentang Korea Selatan yang berlangsung di Stadium Piala Dunia Seoul itu.
Mereka termasuk pemain tengah Ali Karimi, Masoud Shojaei yang kini bermain untuk kelab Osasuna di Sepanyol dan Mehdi Mahdavikia dari kelab Eintracht Frankfurt, Jerman.
Walaupun kebanyakan daripada mereka kemudiannya menanggalkan lilitan berkenaan, namun ketua pasukan, Mahdavikia terus memakainya sehingga tamat perlawanan.

No comments: