Monday, July 13, 2009

BAN KI-MOON DITUDUH CAMPUR TANGAN DI IRAN

*Gambar : Para penyokong pembangkang mengangkat sepanduk dan gambar Neda Agha Soltani semasa mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan Persekutuan di Los Angeles baru-baru ini. Neda (gambar kecil) terbunuh akibat terkena peluru sesat ketika mengadakan tunjuk perasaan di Teheran dan wanita itu telah dijadikan oleh penyokong pembangkang sebagai simbol bagi menentang kerajaan Iran.

TEHERAN - Iran menuduh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon campur tangan dalam hal ehwal di negara tersebut apabila mengeluarkan kenyataan mengulas mengenai pilihan raya Presiden yang diadakan pada 12 Jun lalu.
Ki-Moon menggesa supaya pihak berkuasa Iran menghentikan tindakan kekerasan terhadap orang awam di Iran dan menggesa pihak berkuasa menghormati hak asasi ketika mengendalikan penunjuk perasaan yang membantah keputusan pilihan raya Presiden di negara itu.
"Encik Ki-Moon dipengaruhi oleh kuasa besar, menafikan realiti yang berlaku semasa pilihan raya Presiden Iran dan kenyataannya itu jelas bercanggah dengan tugasnya dan secara jelas telah campur tangan dalam hal ehwal Iran," tegas jurucakap Kementerian Luar Iran, Hasan Qashqavi.
Iran telah meningkatkan kecamannya terhadap campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara tersebut.
Para penyokong pembangkang dilaporkan telah berkumpul hampir setiap hari di Teheran bagi mengadakan tunjuk perasaan sejak pihak berkuasa mengumumkan Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad mencatat kemenangan besar pada pilihan raya tersebut dengan menewaskan tiga calon lain, terutama pencabar kuat Ahmadinejad iaitu Mir Hossein Mousavi.
Mousavi mendakwa wujud penyelewengan undi yang dinafikan oleh pihak berkuasa.

No comments: