*Gambar : Dr Mahmoud Ahmadinejad (kiri) menghadiri perhimpunan ahli-ahli parlimen di Teheran, Iran baru-baru ini.
TEHERAN - Kerajaan Iran memperhebatkan tindakan terhadap Mir Hossein Mousavi dengan penangkapan 25 kakitangan syarikat akhbar milik ketua pembangkang itu.
Selain itu, serangan kata-kata pedas dari media pro-kerajaan juga dilemparkan selepas Mir Hossein bersumpah untuk meneruskan kempen menentang keputusan pilihan raya presiden.
Tindakan terbaru itu dibuat ketika hubungan Iran dengan Barat semakin tegang selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mempersoalkan kesahihan pilihan raya dan menyatakan rasa kecewa berhubung kekerasan ke atas penunjuk perasaan.
Iran enggan mengubah keputusan pilihan raya yang membolehkan Dr Mahmoud Ahmadinejad kekal sebagai Presiden namun pemimpin tertingginya, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei melanjutkan lagi lima hari tempoh untuk memeriksa aduan pengundian.
Seorang daripada calon yang kalah, bekas ketua Pengawal Revolusi, Mohsen Rezai telah menarik balik bantahan dalam pilihan raya, sekali gus menjadi tamparan kepada pembangkang yang mengadakan demonstrasi hampir setiap hari sejak pengundian dimulakan 12 Jun lalu.
"Situasi politik, sosial dan keselamatan telah memasuki fasa sensitif dan penting, perkara yang lebih penting berbanding pilihan raya" kata Mohsen dalam sepucuk surat kepada Majlis Pengawal yang merupakan badan tertinggi pilihan raya.
Mir Hossein yang pernah menjadi Perdana Menteri semasa era selepas revolusi, meminta penyokongnya agar terus berdemonstrasi tetapi mengawal keadaan agar tidak berlaku lagi pertumpahan darah sementara seorang lain calon yang tewas, Mehdi Karroubi meminta penduduk berkabung di atas kematian penunjuk perasaan.
Polis telah menahan 25 wartawan dan beberapa kakitangan akhbar 'Kalemeh Sabz' milik Mir Hossein yang telah ditutup sebelumnya, kata seorang pengarangnya baru-baru ini.
Polis perisik menyatakan yang mereka telah menemui 'bukti plot yang membahayakan keselamatan negara' di pejabat kempen seorang calon yang digunakan dalam 'perang psikologi' namun calon tersebut tidak dinamakan.
Media asing terus diharam dari membuat liputan sejak kekecohan tercetus, namun imej-imej keganasan polis telah tersebar di seluruh dunia melalui video amatur dalam internet.
No comments:
Post a Comment