Wednesday, July 8, 2009

UM TAMBAH PELAJAR ASING 40%

KUALA LUMPUR - Universiti Malaya (UM) akan meningkatkan kuota pengambilan pelajar asing sehingga 40 peratus dalam usaha menaikkan kembali kedudukan universiti itu di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UM, Datuk Dr. Ghauth Jasmon berkata, ini bermakna UM akan mengambil 6,000 pelajar asing dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi berbanding 3,367 orang ketika ini.
"Kita bercadang meningkatkan jumlah pengambilan pelajar daripada 28,000 kepada 30,000 orang. Daripada peningkatan 2,000 pelajar itu, kita harap 40 peratus merupakan pelajar antarabangsa,'' katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi 34 delegasi terdiri daripada Naib-naib Canselor Universiti-universiti Komanwel melawat universiti itu di sini baru-baru ini.
UM sekarang berada di kedudukan ke-280 universiti terbaik dunia dan ke-39 di Asia.
Bagi mempromosikan UM kepada pelajar antarabangsa, Ghauth berkata, universiti itu sudah membuka pejabat di Iran, Beijing dan Nanyuo di China selain merancang membuka pejabat antaranya di Dubai dan Arab Saudi.
Ghauth berkata, terdapat 3,367 pelajar asing dari 82 negara mengikuti pengajian di UM ketika ini dan pelajar asing paling ramai ialah Iran, diikuti China dan Indonesia.
"Mereka kebanyakannya mengambil jurusan sains dan ekonomi,'' katanya.

No comments: