*Gambar : Beribu-ribu penyokong Mir Hossein Mousavi mengadakan tunjuk perasaan di Teheran baru-baru ini bagi membantah kemenangan Ahmadinejad yang didakwa berlaku penyelewengan pada pilihan raya Presiden.
TEHERAN - Tujuh orang terbunuh apabila keganasan tercetus semasa rapat umum besar-besaran anjuran pembangkang di tengah ibu negara Iran baru-baru ini bagi membantah kemenangan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihan raya Presiden.
Tayar, tong sampah dan motosikal dibakar oleh penunjuk perasaan apabila ratusan ribu rakyat Iran membanjiri jalan raya bagi meluahkan kemarahan dengan kekalahan calon yang mereka sokong, Mir Hossein Mousavi.
Radio kerajaan melaporkan, sekurang-kurangnya tujuh orang maut apabila 'samseng' menyerang dan merosakkan bangunan-bangunan kerajaan pada akhir rapat umum itu yang telah diharamkan oleh pihak berkuasa.
"Sebuah pos tentera diserang dengan tujuan untuk merampas senjata yang ada di situ," menurut laporan tersebut.
Berdepan dengan protes yang semakin hebat itu, pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei mengarahkan siasatan dijalankan mengenai dakwaan penipuan undi yang dibangkitkan oleh Mousavi.
"Insya-Allah, kita akan mengambil balik hak kita," teriak Mousavi dari bumbung sebuah kereta di tengah-tengah lautan ratusan ribu penduduk Iran yang mengadakan tunjuk perasaan tidak menghiraukan pengharaman itu. Kira-kira 1.5 juta hingga dua juta penunjuk perasaan dianggarkan membanjiri bahagian tengah Teheran.
No comments:
Post a Comment