Monday, September 22, 2008

AHMADINEJAD : "PERANG PERTAHANAN SUCI" ADALAH SIMBOL JATI DIRI BANGSA IRAN

Presiden Republik Islam Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad yang berucap sempena memperingati 'Minggu Pertahanan Suci" menegaskan bahawa pertahanan adalah suatu bentuk reaksi dan tindakbalas yang menjadi simbol untuk mengembalikan semula keyakinan dan jati diri serta menguatkan tekad bangsa Iran untuk mencapai impiannya.
Ketika menyentuh tentang usaha kuasa-kuasa besar dunia untuk menguasai seluruh manusia, beliau dengan sinis berkata di hadapan Unit Angkatan Bersenjata Iran, "Amat wajar jika musuh merasa marah terhadap Revolusi Islam Iran kerana mereka menyangka bahawa dengan kemampuan ekonomi, ketenteraan dan propaganda yang mereka miliki, mereka mampu menenggelamkan matahari yang terbit dari Iran."
Tambah beliau, 'Perang Pertahanan Suci' bangsa Iran telah membuka babak baru dan mengakhiri era kekuasaan negara-negara imperialis serta bermulanya era keimanan yang mampu mengalahkan seluruh persenjataan dan teknologi canggih.
Sewaktu mengulas berkaitan propaganda dan perang saraf pihak musuh untuk menutup kekalahan mereka, beliau menjelaskan, "Jika pihak musuh memiliki rencana untuk melakukan pencerobohan dan serangan terhadap bumi Iran, maka pasukan tentera Iran sentiasa bersiap sedia untuk menghancurkan usaha tersebut."
Sementara itu, Presiden Iran bersama delegasinya telah tiba di New York untuk menghadiri Sidang Majlis Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kali yang ke-63 . Ahmadinejad dijadualkan menyampaikan pidato di Sidang Majlis Umum PBB di hadapan para pemimpin dan pegawai tinggi dari seluruh dunia.
Selain itu, beliau juga dijangka akan bertemu dengan beberapa orang pemimpin utama dunia. Pertemuan dengan para mahasiswa, cendekiawan, budayawan dan tokoh-tokoh agama di Amerika Syarikat juga turut menjadi agenda lawatan Ahmadinejad kali ini di New York.

No comments: