Monday, September 15, 2008

GILIRAN HONDURAS TOLAK DUTA BESAR AMERIKA SYARIKAT

Gambar : Presiden Honduras, Manuel Zelaya
Kerajaan Honduras telah menangguhkan pelantikan rasmi ke atas Duta Besar Amerika Syarikat. Langkah ini dibuat sebagai tanda sokongan dan perpaduan kepada protes kerajaan Bolivia terhadap Duta Besar Amerika Syarikat di negara tersebut yang diyakini menjadi dalang di sebalik aksi keganasan di Bolivia.
Presiden Honduras, Manuel Zelaya mengatakan bahawa Honduras tidak memutuskan hubungan dengan Amerika tetapi memberikan sokongan untuk Venezuela dan Bolivia. Pemimpin Bolivia yang beraliran kiri, Evo Morares mengusir Duta Besar Amerika yang mencetuskan krisis diplomatik di rantau tersebut baru-baru ini. Presiden Venezuela, Hugo Chavez turut mengusir Duta Besar Amerika di negaranya dan memanggil pulang Duta Besarnya di Washington.
Jurucakap Jabatan Luar Negara Amerika, Sean McCormack mengecam tindakan mengusir Duta Besar Amerika di negara-negara Amerika Selatan akhir-akhir ini.
Tegas Zelaya, "Negara-negara kecil amat perlu bersama dan bersatu. Dunia harus bersikap adil dan sentiasa menghormati kami."
Zelaya sebelum itu dijadualkan menerima surat watikah pelantikan daripada Duta Besar Amerika, Hugo Llorens. Namun demikian, beliau memberi isyarat bahawa pihaknya mungkin akan menerima penyerahan surat watikah pelantikan tersebut.
Presiden Nicaragua, Daniel Ortega, yang juga merupakan sekutu kuat Morales mengatakan bahawa negaranya turut mendukung Bolivia namun belum mengumumkan apakah ia juga akan mengambil langkah yang serupa terhadap Duta Besar Amerika di Nicaragua.

No comments: