Pada bulan Jun 2009 yang akan datang, Republik Islam Iran akan mengadakan pesta demokrasi terbesar. Ada enam orang calon presiden setakat ini yang dijangka bertanding. Pilihanraya Presiden Iran sering menarik perhatian untuk diamati kerana beberapa alasan :
- Parti politik tidak memainkan peranan penting kecuali sebagai alat berkempen. Setiap orang, lelaki mahupun wanita boleh mencalonkan diri masing-masing tanpa terikat dengan parti. Meskipun demikian, kumpulan yang menyokongnya adalah mencerminkan visi dan arah tuju politiknya.
- Setiap bakal calon wajib melalui verifikasi serta ujian kecergasan dan kelayakan yang dilakukan oleh Badan Pengawal Revolusi Islam yang merupakan pertubuhan rasmi negara dan sekaligus bersifat keagamaan. Selain meneliti kelayakan dari segi pentadbiran, badan turut melakukan ujian dari aspek kelayakan moral dan akhlak.
- Kerajaan tidak terlibat sama sekali dalam membiayai dana kempen parti mahupun para calon.
Uniknya, dalam pilihanraya kali ini, calon yang dijangka memiliki peluang cerah untuk menang adalah 3 orang lelaki yang bukan ulama. Mereka adalah Dr Mahmoud Ahmadinejad, Dr Ali Larijani (Ketua Parlimen) dan Mohsen Kalibaf. Sementara 3 orang calon lain adalah dari kalangan ulama iaitu Hujjatul Islam Syeikh Mehdi Karrubi, Hujjatul Islam Sayyid Mohammad Khatami dan Hujjatul Islam Syeikh Abdullah Nuri.
Nama Mohammad Khatami, mantan Presiden turut tersenarai dalam pemilihan kali ini.
Mehdi Karrubi, mantan Ketua Parlimen dan Ketua Pertubuhan Ulama Reformasi hampir pasti akan mencalonkan dirinya kerana menerima sokongan para ulama reformasi yang selama ini sering mengkritik cara pengurusan ekonomi di bawah pentadbiran Ahmadinejad. Namun banyak pihak menganggap peluangnya untuk menang kali ini amat tipis.
Abdullah Nuri, mantan Menteri Dalam Negeri adalah tokoh ulama yang kontroversi kerana sering memberikan kenyataan-kenyataan yang menimbulkan pro dan kontra bahkan kadangkala menyentuh autoriti tertinggi di Iran. Namun, sehingga kini pencalonannya belum disahkan.
Ali Larijani, mantan Ketua Perunding Iran dalam rundingan berkaitan nuklear dan mantan Ketua Badan Keselamatan Kebangsaan, merupakan anak seorang ulama besar di Qom, Iran.
Mohsen Qalibaf, Datuk Bandar Tehran adalah teknokrat yang memiliki kekuatan yang tersendiri. Meskipun pernah kalah dalam pilihanraya yang lalu, ia dianggap sebagai 'kuda hitam' yang mampu menjadi 'presiden kejutan' seperti Ahamdinejad empat tahun yang lepas.
Walau bagaimanapun, Ahmadinejad tetap dianggap sebagai seorang calon utama yang memiliki peluang cerah untuk terus menerajui jawatan presiden, meskipun sering dinilai agak kurang berjaya dalam mengatasi masalah inflasi dan pengangguran.
No comments:
Post a Comment