Sunday, September 21, 2008

SERANGAN SYEIKH DR YUSUF QARADHAWI TERHADAP MAZHAB AHLUL BAIT

Pada 13 Ramadhan 1429H yang lalu, Agensi Berita Iran, 'Mehr' telah melancarkan serangan terhadap ulama besar dalam dunia Islam, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di atas dialog beliau yang disiarkan oleh sebuah akhbar Mesir, 'al-Misri Al-Yaum' yang telah membangkitkan rasa tidak senang di kalangan para pengikut mazhab Ahlul Bait.
Kata al-Qaradhawi : "Saya tidak mengkafirkan mereka, sebagaimana yang dilakukan oleh mereka yang melampau. Saya berpandangan bahawa mereka adalah orang Islam, akan tetapi melakukan bid'ah.

Beliau mengatakan, "Barangsiapa yang mengucap 2 kalimah syahadah, mereka masih lagi di anggap Islam."
Beliau telah memberi amaran berhubung perkara-perkara luar biasa yang dilakukan oleh pengikut mazhab Ahlul Bait seperti menghina dan mengeji para sahabat Nabi (saw) serta tindakan Syiah mencucuk jarum doktrinnya ke dalam masyarakat Ahlus Sunnah. Lebih-lebih lagi mereka telah membelanjakan berjuta malah berbilion USD untuk melatih para pendakwah bagi menyebarkan doktrin ajaran Ahlul Bait sedangkan menurutnya perkara ini tidak dilakukan oleh mazhab Ahlus Sunnah.
Berikut adalah ringkasan pandangan dan pendirian Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi mengenai mazhab Ahlul Bait :
  1. Saya memiliki kepercayaan pada prinsip perpaduan ummat Islam, samada ianya melibatkan kumpulan-kumpulan tertentu atau mazhab, mereka beriman kepada Kitab yang satu, Rasul yang satu, arah Kiblat yang satu dan meskipun terdapat khilaf namun tidaklah sehingga membawa kepada perpecahan.
  2. Saya meyakini bahawa hanya satu golongan sahaja yang selamat di antara 73 golongan sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadis. Selain dari golongan itu, mereka adalah keterlaluan atau sesat. Setiap golongan meyakini bahawa mereka adalah golongan yang selamat dan sementara yang lain adalah golongan yang sesat. Saya percaya bahawa mazhab Ahli Sunnah sahaja yang terselamat sementara semua golongan yang lain melakukan bid'ah dan sesat. Saya berpandangan bahawa mazhab Ahlul Bait telah terlibat dengan pelbagai amalan-amalan 'BID'AH' tetapi mereka 'TIDAK KAFIR'. Sesungguhnya kebenaran itu tidak pelbagai dan beragam. Syukur kepada Allah kerana 9/10 ummat Islam pada hari ini adalah bermazhab Ahlus Sunnah. Justeru mereka berhak untuk memperkatakan tentang apa yang mereka yakini.
  3. Saya mengambil sikap sederhana terhadap mazhab Ahlul Bait dan tidak membenarkan 'takfir' (pengkafiran) dilakukan ke atas mereka meskipun mereka memiliki beberapa pandangan yang mengelirukan. Antaranya, sikap mereka terhadap al-Quran dan as-Sunnah, pendirian mereka terhadap para sahabat Rasulullah (saw), mereka memuliakan Imam 12 dan mempertahankannya sehingga Imam itu dikatakan mengetahui perkara-perkara ghaib sedangkan Nabi-Nabi sendiri tidak mengetahuinya. Persoalan ini telah berulangkali dibangkitkan di dalam buku 'Dialog dan Pendekatan Antara Mazhab'. Saya tidak bersetuju dengan pegangan mereka dan berpendapat bahawa pegangan ini adalah salah, iaitu Nabi (saw) telah memilih Ali (ra) sebagai penggantinya untuk menjadi 'Khalifah'. Para sahabat menyembunyikan berita ini sehingga mengkhianati Nabi (saw) dan menafikan kebenaran yang berpihak kepada Ali (ra) serta melakukan konspirasi jahat terhadapnya. Yang peliknya, Ali (ra) sendiri tidak pernah mengumumkan perkara tersebut kepada khalayak awam atau cuba untuk menegakkan kebenaran itu. Malahan, beliau berbai'ah kepada Abu Bakar, Umar dan Uthman. Maka persoalannya, kenapa Ali (ra) tidak berjuang demi menuntut haknya? Kenapa beliau tidak bercakap benar? Kenapa pula anaknya, al-Hasan (ra) bersetuju memberikan jawatan 'Khalifah' kepada Mu'awiyah? Bagaimana dengan pujian Nabi (saw) terhadap apa yang al-Hasan (ra) lakukan? Kata Nabi (saw), "Sesungguhnya Allah (swt) mendamaikan dua orang Islam yang hebat!." Mazhab Ahlul Bait melakukan pelbagai bid'ah dalam amalannya. Misalnya, memperbaharui tragedi kematian a-Husain (ra) pada setiap tahun dengan menampar wajah, dada dan memukulnya sehingga berdarah. Sudah lebih dari 13 abad mereka meneruskan bencana ini! Mengapa mereka tidak melakukan perkara tersebut apabila ayah mereka sendiri dibunuh? Bukankah itu lebih baik? Terdapat juga amalan syirik yang mereka lakukan di kubur. Kubur tempat dikebumikan para Imam Ahlul Bait dijadikan sebagai tempat untuk memohon pertolongan dari mereka dan berdo'a tanpa melalui Allah (swt). Terdapat juga di kalangan pengikut Ahlus Sunnah yang melakukan perkara seperti itu akan tetapi para ulama mereka telah membantah dan menafikan kebenaran perbuatan tersebut. Penjelasan saya ini adalah untuk mengaitkan mazhab Ahlul Bait dengan 'bid'ah' namun tidak menghukum mereka sebagai 'kafir' atau 'kufur akbar' atau terkeluar dari agama.
  4. Sesungguhnya perbezaan di sisi mazhab-mazhab hanyalah dalam perkara 'cabang'. Contohnya, permasalahan amalan, hukum hakam ibadah dan mu'amalat Ini semua bukanlah merupakan satu masalah. Di antara kami Ahlus Sunnah dan Ahlul Bait tidaklah memiliki perselisihan yang besar sebagaimana yang dialami oleh mazhab-mazhab dalam Ahlus Sunnah sendiri. Syeikh kami, Syeikh Mahmud Shaltut (rh), bekas Syeikhul Azhar di Mesir, pernah mengeluarkan fatwa membenarkan dan mengesahkan 'Mazhab Ja'fari' di atas perkara yang berkaitan dengan cabang hukum hakam amalan dan ibadah. Mereka berbeza dari segi solat, puasa dan lain-lain lagi namun semua ini masih boleh ditoleransikan.
  5. Apa yang saya nyatakan di dalam akhbar Mesir 'al-Yaum' adalah merupakan sesuatu yang telus dan penegasan yang kuat sebagaimana persidangan yang pernah saya hadiri, samada di Maghribi, Bahrain, Syria dan Qatar dan berdasarkan apa yang saya telah dengar dari ulama-ulama mazhab Ahlul Bait dan juga apa yang telah saya lontarkan semasa melawat Republik Islam Iran 10 tahun yang lalu. Di sana terdapat 'garisan merah' yang perlu kita ikuti dan tidak boleh melepasinya. Antaranya ialah mengeji para sahabat Rasulullah (saw), penyebaran doktrin mazhab Ahlul Bait ke atas negara-negara Ahlus Sunnah yang tulen dan semua para ulama mazhab Ahlul Bait telah bersetuju dengan saya mengenai perkara tersebut.
  6. Walaupun saya mempunyai beberapa tanggapan mengenai sikap mazhab Ahlul Bait berhubung usahanya untuk menembusi masyarakat Ahlus Sunnah, saya tetap berdiri teguh di belakang Republik Islam Iran dalam menuntut haknya untuk memiliki tenaga nuklear dan menafikan sekuat-kuatnya ancaman Amerika Syarikat terhadap mereka. Kami berdiri teguh menentang Amerika jika Iran diserang. Iran adalah sebahagian dari Darul Islam. Perkara ini tidak boleh dikompromikan. Undang-undang Islam kami mewajibkan kami untuk mempertahankan mereka apabila dimasuki atau diancam oleh orang luar. Semua agensi media Iran telah memaklumi mengenai pendirian saya ini dan beberapa orang pegawai rasmi kerajaan Iran telah menghubungi saya untuk mengucapkan terima kasih dan menghargai pendirian saya. Dan saya bukan berdiri kerana ingin mendapatkan simpati tetapi saya mengatakan bahawa seseorang Muslim hendaklah menyokong dan membantu seorang Muslim yang lain.

No comments: