Wednesday, September 3, 2008

RAHBAR PUJI PRESIDEN BOLIVIA



Presiden Bolivia, Evo Morales, yang dalam lawatan dua harinya ke Iran sempat mengadakan pertemuan dengan Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran atau Rahbar, Ayatullah Al-'Uzma Sayyid 'Ali Khamenei. Rahbar menganggap kebangkitan bangsa Amerika Latin dan pendirian mereka untuk merealisasikan hak mereka sebagai suatu fenomena yang penuh dengan keberkatan sehingga menimbulkan ketidaksenangan di sisi negara-negara kuasa besar dunia.
Ketika menyentuh berkaitan sokongan semula majoriti rakyat Bolivia ke atas Morales dalam referendum rakyat baru-baru ini, Rahbar memuji Morales, "Semangat kerakyatan, perhatian terhadap golongan tertindas dan miskin serta usaha anda untuk berkhidmat kepada rakyat merupakan semangat mulia yang dapat menghasilkan kekuatan bangsa."
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Amerika Latin dikejutkan dengan gerakan pembebasan rakyat. Melalui gerakan tersebut, terbentuk pemerintahan rakyat di negara-negara Amerika Latin seperti Venezuela, Nicaragua, Ecuador, Chile dan Bolivia. Keberadaan Amerika Syarikat di Amerika Latin dalam tempoh yang agak lama mengakibatkan negara-negara di rantau itu mundur dan miskin. Bahkan sumber alam negara-negara tersebut dijarah sepuasnya oleh Amerika.
Tegas Rahbar, "Untuk membebaskan diri dari hegemoni Amerika yang berterusan di Amerika Latin, tidak ada jalan lain kecuali kebangkitan rakyat yang terjadi beberapa tahun kebelakangan ini."
Dalam situasi seperti ini, hubungan Iran dengan negara-negara Amerika Latin memasuki babak baru yang sejak akhir-ahir ini terus berkembang pesat. Peluasan hubungan dengan negara-negara membangun adalah di antara keutamaan dasar luar negara Iran. Republik Islam Iran berminat untuk menyumbangkan pengalamannya di bidang sains dan teknologi kepada negara-negara membangun seperti negara-negara Amerika Latin.
Presiden Republik Islam Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad dan Presiden Eva Morales secara khusus berbincang mengenai hubungan kedua negara dalam semua aspek. Ahmadinejad dalam sidang akhbar bersama Morales menyatakan bahawa bangsa Iran dan Bolivia sedang menuju ke arah jalan yang sama dan masa depan yang cerah. Kedua bangsa ini dalam suasana apapun, akan sentiasa saling mendukung antara satu sama lain.
Dalam tempoh 5 tahun yang akan datang, Iran bercadang untuk membuat pelaburan bernilai USD1.1 billion di Bolivia. Pelaburan tersebut mencakupi pengukuhan hubungan ekonomi, pertanian serta pembangunan kilang pengeluar susu dan stesen radio dan televisyen. Selain daripada itu, Iran juga akan menanamkan modal di bidang hydrokarbon dan penghasilan tenaga elektrik yang bersumber daripada air. Kerjasama di bidang minyak dan gas, pembangunan kilang minyak, kajian berkaitan minyak, kilang bahan-bahan pertanian serta pembangunan industri dan galian adalah di antara topik-topik yang dibincangkan dalam rundingan antara Ahmadinejad dan Morales.
Menyedari hubungan Iran dan Bolivia yang masih dalam proses perancangan yang lebih meluas, maka usaha membentuk jawatankuasa bersama di bidang ekonomi, menganjurkan
pameran perdagangan dan industri serta memberikan kemudahan percukaian, kemudahan visa dan insentif pelaburan merupakan jalan penting untuk mengukuhkan hubungan 2 hala antara Iran dan Bolivia yang semuanya memerlukan usaha yang intensif antara para pegawai kedua buah negara.

No comments: