Tuesday, September 23, 2008

AYATULLAH SYEIKH ALI TASKHIRI : AHLUL BAIT JADIKAN AL-QURAN SEBAGAI PENENTU KESAHIHAN HADIS

Ayatullah Syeikh Ali Taskhiri, Ketua Pertubuhan Pendekatan Antara Mazhab Sedunia telah memberi jawaban tegas terhadap tuduhan liar Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi tentang keyakinan mazhab Ahlul Bait kepada al-Quran. Dalam sebuah wawancaranya dengan website 'al-Yaum' di Mesir, Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi menuduh bahawa mazhab Ahlul Bait meyakini akan adanya 'tahrif' (pengubahan) dalam al-Quran.
Ayatullah Syeikh Ali Taskhiri menegaskan, "Tuduhan itu bukan sahaja tidak terbukti kebenarannya malah terbukti ketidakbenarannya. Para Imam suci Ahlul Bait (as) sentiasa mengajarkan kepada kita supaya menjadikan al-Quran sebagai ukuran dan penentu kesahihan sesebuah hadis."
Menurutnya lagi, "Amat menyedihkan kerana tuduhan yang tidak berasas itu keluar daripada mulut Qaradhawi sedangkan beliau adalah Ketua Persatuan Ulama Sedunia."
Taskhiri yang juga merupakan Timbalan Ketua Persatuan Ulama Sedunia turut menambah, "Apa yang disampaikan oleh Qaradhawi tidak akan menambah apa-apa kecuali perselisihan dan perpecahan di kalangan ummat Islam. Kenyataan beliau juga amat tidak sesuai dengan visi dan misi Persatuan Ulama Sedunia padahal kita telah berusaha dengan penuh kegigihan untuk menjalin persaudaraan dan perpaduan di kalangan ummat Islam dengan mengesampingkan berbagai perbezaan pendapat. Qaradhawi juga menggunakan istilah "Tabsyir" untuk merujuk kepada gerakan menarik pengikut mazhab Ahlus Sunnah supaya berpindah kepada mazhab Ahlul Bait sedangkan istilah tersebut hanya digunapakai oleh 'Missionary' (para pendakwah) agama Kristian."
Menurut Taskhiri, "Dr Yusuf Qaradhawi telah memperolehi maklumat yang tidak benar daripada pihak yang fanatik dan bersifat anti kepada mazhab Ahlul Bait serta tidak menginginkan wujudnya perpaduan dan persaudaraan di kalangan ummat Islam."
Taskhiri menegaskan, "Ketika ini, kita sepatutnya berusaha untuk merumuskan hukum hakam Feqah yang memiliki persamaan pandangan di sisi para ulama Islam, samada Ahlus Sunnah mahupun Ahlul Bait di samping menghindari tuduhan 'Takfir' (pengkafiran) terhadap mazhab lain yang tidak sefahaman dengan kita. Tuduhan kafir itu tidak lain hanya akan menggembirakan pihak musuh Islam dan golongan imperialis antarabangsa yang sememangnya tidak menginginkan ummat Islam bersatu dengan melakukan berbagai serangan budaya songsang."
Di akhir bantahannya, Ayatullah Taskhiri mengharapkan dari Dr Yusuf Qaradhawi supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang seperti itu pada masa akan datang dan berharap beliau kembali kepada sikap sederhana serta meninggalkan sikap melampau dan fanatik.

No comments: