Sunday, May 3, 2009

2 WARGA IRAN ANTARA 4 DITAHAN BERSAMA SYABU BERNILAI RM200,000

SHAH ALAM - Polis menahan empat lelaki termasuk dua warga Iran selepas menemui 0.87 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM200,000 dalam kereta Honda Jazz yang dinaiki mereka semasa pemeriksaan di tempat letak kereta pasar raya besar Giant di Batu Caves baru-baru ini.
Pemeriksaan kira-kira pukul 3.45 petang itu dibuat oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang telah menjejaki sindiket antarabangsa tersebut hasil risikan dan maklumat orang awam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, siasatan awal percaya kesemua suspek dipercayai dalam perjalanan menghantar dadah syabu yang dibungkus dalam dua beg plastik itu ke sebuah tempat.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengesan rangkaian sindiket tersebut yang dipercayai menjual dadah berkenaan kepada warga tempatan dan Iran di sekitar Lembah Klang.
''Kita juga sedang menyiasat dari mana dadah yang disembunyikan di tempat letak kaki kereta Honda Jazz itu datang dan bagaimana ia dipasarkan,'' kata beliau.
Nordin memberitahu, siasatan mendapati salah seorang warga Iran yang ditahan tidak mempunyai pasport sementara seorang lagi baru tiba di negara ini. Menurut beliau, dua warga tempatan yang masing-masing bekerja sebagai ejen pekerja asing dan pengusaha pusat snuker pula mempunyai rekod jenayah lampau.
''Suspek yang bekerja sebagai ejen pekerja asing mempunyai sembilan rekod jenayah lampau dan waran tangkap berhubung kes dadah dan rakannya pula mempunyai satu rekod jenayah lampau,'' ujarnya.
Kata beliau lagi, siasatan juga mendapati kereta Honda Jazz yang digunakan semasa kejadian adalah milik isteri salah seorang suspek warga tempatan.
Tambah beliau, kesemua suspek yang berusia lingkungan 24 tahun hingga 41 tahun yang ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 telah ditahan reman sehingga 1 Mei yang lepas untuk siasatan lanjut.

No comments: