Sunday, May 3, 2009

NAZA TEROKAI PASARAN IRAN

*Gambar : Duta Iran di Malaysia, Mahdi Khandaghabadi (dua dari kanan), Mukhriz Mahathir (kiri), SM Faisal SM Nasimuddin (dua dari kiri) dan Naib Presiden Eksekutif (Operasi) Datuk SM Zulkifli SM Amin melihat sebahagian motosikal keluaran NAZA di Shah Alam baru-baru ini.

SHAH ALAM - Kumpulan Naza kini menggunakan kegiatan pengeksportan motosikal ke beberapa negara dunia sebagai usaha untuk mendapatkan rakan kongsi. Ini kerana kegiatan itu bukan menjadi penyumbang utama kepada perolehan Kumpulan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza dan Naza Bikes Sdn. Bhd., SM Faisal SM Nasimuddin.
SM Faisal berkata, perniagaan motosikal menyumbang hanya lima peratus kepada perolehan keseluruhan. Bagaimanapun, SM Faisal menambah, kemasukan model-model Naza Bikes ke Timur Tengah, Indonesia, Kemboja, Laos, Brunei dan negara-negara lain adalah usaha mempromosikan keupayaan Naza dalam perniagaan itu kepada dunia.
"Sebagai contoh, kemasukan 5,000 buah motosikal pelbagai model di Iran bertujuan menerokai prospek negara itu. Manakala, kemasukan ke Brunei pula bertujuan melihat potensi pasaran kenderaan mewah melalui kerjasama dengan rakan kongsi di sana," katanya.
SM Faisal berkata demikian selepas melancarkan eksport motosikal pertama Naza Bikes Sdn. Bhd., ke Iran dan Brunei yang dilakukan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Mahathir di Shah Alam baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, sebanyak 500 buah motosikal akan dihantar ke Iran dan 100 buah ke Brunei sebagai penghantaran pertama. Menurut Faisal, jika permintaan eksport konsisten di pasaran antarabangsa, Kumpulan Naza percaya perolehan bahagian motosikal mampu menyumbang sebanyak 10 peratus pendapatannya.
Selain itu katanya, jumlah kandungan komponen motosikal Naza akan ditingkatkan kepada 45 peratus dari 30 peratus sebelum ini dalam tempoh dua tahun.
"Sasaran kita adalah untuk mereka bentuk dan membangunkan motosikal Malaysia menerusi kepakaran anak tempatan selain membangunkan enjin motosikal sendiri pada tahun 2014," katanya. Melalui perancangan itu, Naza Bikes akan menggunakan 60 peratus komponen tempatan yang akan dipasang di semua model motosikalnya nanti.

No comments: