Monday, May 18, 2009

MEHDI KAROUBI KRITIK AHMADINEJAD

TEHERAN - Calon bagi merebut jawatan Presiden Iran, Hujjatul Islam Syeikh Mehdi Karoubi mengkritik tindakan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad yang menafikan berlakunya pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi di Eropah atau 'Holocaust', kerana disifatkan hanya menguntungkan Israel.
''Ahmadinejad telah memberi pertolongan besar kepada Israel apabila menafikan 'Holocaust' kerana sekarang dunia telah bangkit menyokong Israel,'' kata Karroubi.
''Kenapa kita perlu bercakap mengenai 'Holocaust', apakah kita hendak mempertahankan Hitler?,'' kata Karoubi sambil menambah kenyataan Ahmadinejad itu telah mengukuhkan penyisihan Iran di peringkat antarabangsa.
Beliau yang merupakan bekas Speaker Parlimen yang menyokong pembaharuan, adalah antara sebilangan kecil ahli politik Iran yang sebelum ini berani mengkritik Ahmadinejad kerana mendakwa 'Holocaust' hanyalah sebuah 'mitos'.
Karoubi, 72, adalah antara tokoh sederhana bersama bekas Perdana Menteri, Mir Hossein Mousavi, yang merancang untuk mencabar Ahmadinejad dalam pilihan raya umum 12 Jun ini.
Beliau tewas dalam pilihan raya Presiden pada 2005 kepada Ahmadinejad dan awal bulan ini, telah mendaftarkan pencalonannya dengan menyatakan beliau 'bertanding untuk perubahan' dan menyifatkan pentadbiran Ahmadinejad sebagai 'tidak berdaya dan tidak layak' menguruskan Republik Islam itu.
Dalam tempoh empat tahun sebagai Presiden, Ahmadinejad menerima kritikan daripada Barat kerana sikap anti-Israel dan kesungguhannya meneruskan program tenaga nuklear yang dicurigai oleh kuasa dunia sebagai program membuat bom nuklear.

No comments: