Tuesday, May 5, 2009

BEKAS PRESIDEN ISRAEL TIDAK MENGAKU BERSALAH

*Gambar : Katsav (kiri) dan isterinya, Gila berjalan sebelum sidang akhbar diadakan di Kiryat Malachi, Israel pada 12 Mac lalu.

BAITULMAQDIS - Bekas Presiden Israel, Moshe Katsav baru-baru ini didakwa merogol dan melakukan beberapa kesalahan seksual lain selepas beliau membatalkan satu perjanjian pengakuan bersalah bagi mengelak dihukum penjara.
Katsav didakwa merogol seorang wanita yang pernah bekerja dengannya selain terlibat dalam jenayah seks dengan dua lagi bekas kakitangannya. Pendakwaan itu difailkan di sebuah mahkamah daerah Tel Aviv. Peguam Negara, Meni Mazuz memberitahu Katsav dua minggu lalu bahawa beliau akan didakwa.
Beberapa hari kemudian, Katsav menyampaikan ucapan selama dua setengah jam menerusi televisyen di mana beliau menafikan semua tuduhan itu. Wanita-wanita yang terlibat dalam kes rogol itu bekerja dengan Katsav ketika beliau menjadi Menteri Pelancongan.
Katsav dituduh memaksa seorang daripada wanita itu baring di lantai pejabatnya di Kementerian Pelancongan. Menurut kertas pendakwaan, beliau menarik seluar dalam perempuan itu dan merogolnya. Katsav kemudian memanggil wanita itu ke sebuah hotel di Baitulmaqdis dengan alasan untuk meneliti kertas kerja tetapi beliau merogolnya di katil, kata dokumen pendakwaan tersebut.
Bekas presiden itu yang berumur 63 tahun meletakkan jawatan dua minggu sebelum penggal pemerintahannya selama tujuh tahun berakhir pada 2007. Setakat ini, tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan.
Dakwaan yang dikenakan terhadap Katsav adalah yang paling serius pernah dikemukakan terhadap seorang pemimpin Israel. Katsav kemudian digantikan Simon Peres yang masih menjadi Presiden Israel sehingga kini.

No comments: