Friday, May 22, 2009

40 TEBUNUH DI BAGHDAD

BAGHDAD - Lebih 40 orang maut dan 83 lagi cedera dalam satu letupan bom kereta di sebatang jalan di Baghdad yang penuh sesak dengan penduduk yang keluar untuk makan malam.
Letupan itu yang disifatkan paling dahsyat di ibu negara Iraq dalam tempoh beberapa minggu ini berlaku ketika penduduk mengunjungi persimpangan as-Sadrain, barat laut Baghdad, yang menjadi tumpuan kerana terdapat gerai-gerai makan dan kedai-kedai runcit.
Serangan di kawasan Syiah itu menyebabkan bilangan korban terbesar di kawasan itu sejak 29 April lalu, apabila lebih 50 orang, juga di kawasan kediaman Syiah, terbunuh dalam beberapa letupan bom yang berlaku hampir serentak.
Sekalipun keganasan melonjak sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kerajaan Iraq tetap menegaskan jadual waktu untuk askar Amerika Syarikat berundur dari negara ini tidak akan terjejas. Jadual pengunduran tersebut termaktub dalam perjanjian keselamatan yang dimeterai dengan Washington pada November lalu. Tentera Amerika Syarikat dijadual meninggalkan bandar dan pekan di negara ini pada 20 Jun ini sebelum berundur sepenuhnya dari negara ini selewat-lewatnya pada akhir 2011.
Kebanyakan serangan di Baghdad kebelakangan ini ditujukan ke atas masyarakat Syiah yang merupakan penduduk majoriti di Iraq. Keganasan sedemikian mencetuskan kebimbangan berulangnya serangan ganas ala al-Qa'eda yang bertujuan untuk memarakkan semula sengketa Sunnah-Syiah yang melanda negara ini dua tahun lalu.
Keadaan keselamatan di Iraq secara keseluruhan bertambah baik sejak kabilah tempatan dan bekas gerila berganding bahu dengan tentera Amerika Syarikat untuk memerangi al-Qa'eda pada akhir 2006, tetapi serangan masih kerap berlaku.

No comments: