Monday, May 25, 2009

DI SEBALIK 'CHADOR' WANITA IRAN

Dengan langkah yang panjang dan pantas, seorang wanita berjalan di celah-celah orang ramai yang berkumpul di Dataran Azadi untuk meraikan ulang tahun ke-30 Revolusi Islam Iran. Mereka berjalan untuk mencari jalan keluar.
Samaneh Rooh, 25, yang berpakaian jubah hitam 'chador' dan begitu menawan, memegang erat lengan serta membimbing saya berjalan keluar dari dataran tersebut. Ketika itu, beratus ribu warga Iran berkumpul di Teheran bagi meraikan ulang tahun itu.
Beliau menapak di sepanjang laluan pejalan kaki dengan mudah. Jelas sekali 'chador' (kain luar atau jubah terbuka yang dipakai oleh wanita Iran di luar rumah) yang dipakainya tidak menghalang kepantasan Samaneh mengatur langkah walaupun dikibas angin.
Wanita muda yang bertenaga itu ditugaskan sebagai penterjemah bagi sekumpulan wartawan wanita yang dijemput oleh Pertubuhan Budaya dan Hubungan Islam (ICRO) bersempena dengan ulang tahun itu. Katanya, beliau berasa bebas walaupun memakai 'chador'.
"Saya boleh berbuat apa sahaja memandangkan saya tidak banyak menarik perhatian, terutama kaum lelaki apabila memakai 'chador'," kata Samaneh yang bagaikan penterjemah peribadi dan jurupandu penulis semasa sambutan ulang tahun ini.
"Saya suka bahasa Inggeris. Sebagai penterjemah, saya berpeluang bertemu dengan ramai orang dari pelbagai negara dan belajar budaya mereka," katanya yang hobinya bermain gitar dan melukis.
Dilahirkan di Teheran, hab rangkaian komunikasi dan pengangkutan, gadis yang petah berkata-kata ini suka tinggal di bandaraya itu walaupun kehidupan di situ bukanlah mudah.
"Saya terpaksa mengharungi pencemaran udara tetapi saya masih suka tinggal di sini kerana ini tempat kelahiran saya. Kehidupan yang saya lalui sekarang adalah hasil daripada apa yang saya usahakan selama ini. Saya ke universiti, bermain muzik dan melakukan apa sahaja yang saya mahu. Saya benar-benar menikmati kebebasan. Tetapi mungkin matlamat saya berlainan daripada wanita lain di negara ini. Mereka mungkin mempunyai matlamat lain dan oleh itu, mereka berasa tiada kebebasan," katanya apabila ditanya bagaimana rasanya tinggal di Iran dan bagaimana kedudukan wanita di negara itu.
Bagi ahli psikologi, Maryam Namayeshi, 40, tiada perbezaan jika bekerja dengan lelaki ataupun wanita di Iran.
Maryam yang ditemui di dalam pesawat semasa dalam penerbangan ke Assaluyeh, berkata, perjalanan satu setengah jam dari Teheran itu menjelaskan tentang pekerjaannya. Tugasnya adalah memberi kaunseling kepada lelaki, wanita dan keluarga mereka.
Assaluyeh merupakan 'dunia lelaki', apabila anda melangkah keluar dari lapangan terbang. Apa yang anda lihat ialah lelaki. Tetapi itu jelas tidak memberi kesan kepada Maryam.

*Gambar : Kompleks Sukan Enqelab turut menyediakan kemudahan untuk bermain boling bagi wanita Iran.

Beliau yang bertugas dengan Pars Oil and Gas Company (POGC) terbang ke Assaluyeh, sebuah bandar di selatan Iran, untuk menyampaikan kaunseling dan menjalankan bengkel bagi kakitangan POGC dan keluarga mereka di situ.
Menurutnya, kebanyakan lelaki yang bekerja dalam sektor gas sudah berkeluarga tetapi meninggalkan keluarga masing-masing apabila bekerja di situ.
"Mereka boleh mengalami kemurungan apabila berjauhan dari keluarga untuk tempoh yang lama dan ini boleh menimbulkan masalah besar, lebih-lebih lagi tempat itu adalah sebuah kawasan industri dan tidak mempunyai banyak kemudahan seperti di bandaraya. Pada waktu-waktu seperti ini, mereka memerlukan kaunseling. Kebanyakan aduan yang diterima berkaitan dengan kemurungan," kata beliau.
"Saya tidak menghadapi sebarang masalah berhubung kerja saya di sini," tambah Maryam sambil menuding ke arah hijab yang dipakainya.
"Ini sesuatu yang saya pakai sebagai wanita Islam dan ia tidak menjejaskan kerja saya," ujarnya.


Wanita Dan Lelaki Bekerjasama :

Anggota Parlimen, Dr Zahreh Elahiar berkata, hanya terdapat lapan anggota Parlimen wanita di Iran tetapi itu tidak menjadi masalah kerana mereka menerima sokongan daripada anggota Parlimen lelaki.
Menurutnya, rakyat Iran percaya wanita harus dilantik sebagai wakil rakyat berdasarkan keupayaan mereka dan bukan mengikut sistem kuota.
Seorang hakim, Dr Fatemah Bodaghi pula berkata, banyak perubahan berkaitan institusi keluarga dan wanita berlaku selepas Revolusi Iran dan pencapaian utamanya adalah penubuhan Mahkamah Keluarga dan hakim-hakim wanita ditugaskan menjaga hal ehwal wanita.
Selepas revolusi itu, beberapa perubahan turut dilaksanakan seperti memberikan hak kepada wanita untuk memfail penceraian dalam keadaan tertentu, sebagai contoh jika suami dipenjarakan dan wanita boleh menuntut separuh daripada harta selepas bercerai
.
Dr Fatemah juga berkata, terdapat peningkatan dalam bilangan hakim wanita di Iran, selain wanita kini mempunyai pelbagai peranan dalam masyarakat. Undang-undang Islam diperkenalkan dalam sistem perundangan Iran ekoran Revolusi Islam pada 1979. Iran juga terus berusaha untuk memperkasa kedudukan wanita luar bandar, dengan memperkenalkan skim kredit mikro bagi membolehkan mereka memulakan aktiviti menjana pendapatan.
Menteri Penasihat bagi Hal Ehwal Wanita Luar Bandar, Dr T. Daniali berkata, pinjaman kecil diberi bagi membolehkan wanita menjalankan perniagaan atau meningkatkan perusahaan sedia ada.
"Pengalaman menunjukkan capaian wanita kepada sumber pendapatan bukan sahaja membawa kepada peningkatan dalam kehidupan individu dan keluarga, malah ia memberi kesan positif kepada komuniti, ekonomi tempatan dan kebangsaan," tambahnya.
Katanya, antara keputusan positif itu ialah kecenderungan yang lebih ke arah celik huruf, tahap kebersihan tempatan dan keluarga serta peluang untuk merealisasi dengan lebih baik potensi mereka.

Wanita Aktif Bersukan :

Pegawai Perhubungan Raya Enqelab Sports Complex International, Marjan Mass'oudi berkata, berbanding 15 tahun yang lalu, bilangan wanita Iran yang bersukan telah meningkat.
"Sedikit demi sedikit, wanita mula bersukan memandangkan mereka kini mempunyai lebih kesedaran terhadap kesihatan," katanya.
Kompleks Sukan Enqelab yang terletak di kawasan seluas 84 hektar dikelilingi kehijauan. Antara lain, ia mempunyai padang golf, lorong boling, kolam renang tertutup berasingan bagi lelaki dan wanita, kelab kecergasan, kelab paintball, kelab snuker, akademi luncur ais dan kafeteria serta kemudahan perbankan.
"Mereka yang tidak berminat dalam mana-mana sukan boleh bersiar-siar di pejalan kaki sepanjang 2,590 meter yang sesuai untuk mereka yang sudah berusia dan kurang sihat," kata Marjan.
Dari bidang politik, kehakiman, kerjaya sehinggalah sukan, kehadiran wanita Iran terus dirasai.
Ia mungkin bukan sesuatu yang mudah tetapi wanita Iran bertekad untuk berganding bahu dengan lelaki demi manfaat Republik Islam Iran, sebuah negara dengan penduduk seramai 70 juta yang menjiwai ajaran Islam yang sebenarnya.

2 comments:

Dr Farzy said...

salam..
artikel yg menarik.
Jelas apabila Islam itu bukan menyusahkan,tetapi memudahkan dan selamat.

qamar_muneera said...

Salam ziarah. mohon copy artikel ini. terima kasih...