Friday, May 22, 2009

4 TOKOH IRAN LAYAK BERTANDING JAWATAN PRESIDEN

TEHERAN - Badan pengawas Perlembagaan Iran meluluskan pencalonan empat tokoh utama, termasuk Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad untuk bertanding pada pilihan raya Presiden pada bulan depan.
Selain Ahmadinejad, dua calon berfahaman sederhana iaitu bekas Perdana Menteri, Mir Hossein Mousavi dan bekas Speaker Parlimen, Hujjatul Islam Syeikh Mehdi Karoubi turut layak untuk bertanding pada pilihan raya itu yang dijadual pada 12 Jun ini.
"Nama calon-calon yang diluluskan oleh 'Syuro Negahbon' (Majlis Penjaga) ialah Ahmadinejad, Karoubi, Mousavi dan bekas Ketua Pengawal Revolusi, Mohsen Rezai," menurut satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Majlis Penjaga yang terdiri daripada 12 anggota itu mempunyai kuasa untuk menapis calon yang ingin bertanding pada pilihan raya umum di Iran. Keempat calon tersebut mendapat kelulusan untuk bertanding selepas disahkan kesetiaan mereka terhadap sistem kerajaan Islam Iran dan 'kepatuhan mutlak' mereka kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei.
Majlis Penjaga telah menolak 471 calon yang ingin bertanding, termasuk beberapa petani buta huruf, seorang budak lelaki berusia 12 tahun dan 42 wanita. Kem pembaharuan percaya calon mereka berpeluang lebih cerah untuk memenangi pilihan raya, jika ramai yang keluar mengundi. Namun, mereka mendakwa media rasmi tidak memberi liputan secukupnya mengenai pilihan raya bagi menggerakkan pengundi di seluruh Iran.
Kira-kira 46 juta rakyat Iran berusia 18 tahun ke atas layak mengundi pada pilihan raya Presiden yang ke-10 di Iran, sejak Revolusi Islam 1979.

No comments: