*Gambar : Roxana Saberi dan bapanya melambaikan tangan ke arah jurugambar di luar rumah mereka di Teheran.
TEHERAN - Wartawan Amerika Syarikat, Roxana Saberi menyatakan dia berasa gembira setelah dibebaskan dan disatukan dengan keluarganya. Bercakap kepada sekumpulan wartawan di Teheran buat kali pertama sejak pembebasannya, Roxana masih belum mempunyai rancangan, apa yang hendak dilakukannya buat masa ini. Katanya, dia hanya mahu meluangkan masa bersama keluarganya.
"Saya sangat gembira kerana disatukan kembali bersama ibu dan bapa. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang mengenali atau tidak mengenali saya serta membantu pembebasan saya," katanya.
Bapa Roxana, Reza Saberi berkata, mereka berhasrat untuk pulang ke Amerika Syarikat secepat mungkin.
Washington sebelum ini menyelar pertuduhan mengintip yang dikenakan terhadap Roxana dan berulang kali meminta wanita berketurunan Iran itu dibebaskan. Kes berkenaan menjadi ujian terbaru terhadap hubungan Amerika-Iran ketika Presiden Barack Obama membuat tawaran dialog setelah berdekad-dekad hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terputus.
Roxana dibebaskan selepas sebuah mahkamah rayuan mengurangkan hukuman penjara lapan tahun yang dijatuhi terhadapnya dikurangkan kepada hukuman penjara tertangguh dua tahun.
Bekas ratu cantik North Dakota 1997 itu berpindah ke Iran enam tahun lalu dan bekerja sebagai wartawan bebas untuk beberapa organisasi termasuk NPR dan Perbadanan Penyiaran British (BBC).
No comments:
Post a Comment