Friday, May 22, 2009

PENGINTIP ISRAEL DIBONGKAR

*Gambar : Antara peralatan yang digunakan oleh ejen-ejen yang direkrut oleh Zionis Israel untuk mengintip pergerakan Hizbullah, Palestin dan tentera Lebanon, seperti kotak penyejuk air, bekas minyak hitam, cakera padat, kamera, radio, pasport, pengecas bateri kereta dan sejenis alat khas untuk menghantar mesej kepada pegawai di Israel atau menafsir kod rahsia yang diberikan.

BEIRUT - Wanita jelita, pelancongan ke luar negara dan melarikan diri melalui sempadan yang penuh dengan periuk api. Semua ini adalah aspek yang didakwa ada dalam rangkaian pengintipan Israel di Lebanon dan sesuai untuk dijadikan novel perisikan.
Hampir 20 suspek pengintipan termasuk pemotong daging, jurujual telefon bimbit dan jeneral bersara, telah ditahan sejak beberapa bulan lalu dalam usaha berterusan perisikan Lebanon untuk menjejaki kumpulan pengintipan rahsia negara Yahudi itu. Pegawai keselamatan berkata, lebih banyak tangkapan akan dibuat.
Kepantasan siasatan meningkat terutama bulan lalu selepas penyiasat membongkar satu kumpulan yang merancang untuk menyusup masuk ke dalam kumpulan pejuang Hizbullah yang pernah berperang dengan Israel pada 2006.
Pegawai perisikan yang khuatir dengan operasi Israel terhadap Hizbullah berkata, mereka telah memaklumkan mengenai penemuan mereka kepada kumpulan pejuang bermazhab Ahlul Bait tersebut dan sejak itu rangkaian perisikan Israel mulai runtuh satu demi satu.
"Kesemua suspek yang ditahan adalah dari kumpulan berbeza dengan tiga anggota paling ramai dan mereka tidak ada hubungan dengan kumpulan yang lain. Apa yang membantu kami ialah kami berjaya membongkar rahsia teknologi yang membolehkan kami menyelesaikan teka-teki," kata Ketua Pasukan Keselamatan Dalam Negeri, Jeneral Ashraf Rifi.
Ejen-ejen perisik Israel itu yang menjalankan misi mengumpul maklumat berhubung kedudukan Hizbullah, kumpulan pejuang Palestin dan tentera Lebanon, akan berkomunikasi dengan bos mereka di Israel melalui peralatan satelit atau mesej komputer berkod.
Ashraf berkata, kumpulan rahsia itu menggunakan peralatan teknologi tinggi yang disembunyikan dalam kotak penyejuk air, bekas minyak hitam dan pengecas bateri kereta.
Tambahnya, ejen-ejen itu kemudian akan terbang ke Paris, Turki, Hungary atau negara-negara lain untuk menghantar maklumat dan mereka akan ke Israel sekurang-kurangnya sekali dengan menggunakan pasport palsu bagi menjalani latihan dan mendapatkan maklum balas.
Katanya, Israel merekrut kebanyakan ejen (Kristian, Sunni atau Syiah) pada 1980-an dan 1990-an semasa tempoh 22 tahun penaklukan Zionis di wilayah selatan Lebanon yang berakhir pada tahun 2000.
Israel menggunakan wanita jelita, wang dan umpan-umpan lain untuk mempengaruhi mereka bekerja untuk Zionis. Israel akan membayar mahal iaitu antara USD5,000 (RM17,000) hingga RM7,000 (RM24,500) bagi misi pertama mereka. Selepas itu, Israel akan menurunkan nilainya pada kadar yang besar kerana mereka telah berjaya memerangkap ejen dan mengugut akan mendedahkan tindakan mereka.
Lebanon kekal dalam status berperang dengan Israel dan mana-mana warganya yang didapati bersalah melakukan pengkhianatan berdepan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

No comments: