Saturday, May 30, 2009

ROXANA BUAT PENGAKUAN PALSU DISEBABKAN KETAKUTAN

WASHINGTON - Wartawan Amerika Syarikat kelahiran Iran, Roxana Saberi berkata, ketakutan menyebabkan dia terpaksa mengaku menjadi pengintip Amerika Syarikat. Beliau berkata demikian, selepas 100 hari dibebaskan dari penjara Evin selepas sebuah mahkamah Iran mengurangkan hukuman penjara ke atasnya atas kesalahan mengintip.
Roxana berada di Iran selama enam tahun dan berkerja sebagai wartawan untuk agensi media barat di negara itu.
Menurut National Public Radio (NPR), agensi itu tidak melihat mana-mana individu ditahan bersama Roxana di rumahnya pada 31 Januari lalu oleh empat lelaki daripada Kementerian Perisikan Iran.
Kata agensi berita itu, Roxana tidak dibenarkan menghubungi rakan-rakan serta ahli keluarganya ketika beliau dibawa ke penjara Evin pada hari yang sama.
"Selepas saya menyedari tidak ada sesiapa yang mengetahui di mana saya berada, saya menjadi takut, disoal siasat serta menerima pelbagai ancaman dan dipaksa supaya mengaku menjadi pengintip Amerika Syarikat. Anda mungkin berada di sini selama 10 hari atau 20 tahun dan berhadapan dengan hukuman mati. Saya berfikir, jika sesuatu yang buruk berlaku ke atas saya, ahli keluarga tidak mengetahui di mana saya berada, mungkin mereka tidak pernah mengetahui mengenai perkara itu, saya telah membuat pengakuan palsu berhubung perkara itu, jadi saya mengaku : 'Ya saya seorang pengintip Amerika Syarikat'. Saya masih tidak pasti kenapa mereka menahan saya, ia bukan disebabkan membeli arak dan juga laporan akhbar," kata Roxana kepada NPR.
Roxana ditahan sejak akhir Januari lalu, kerana membeli minuman keras, iaitu satu perbuatan yang salah di sisi undang-undang di negara Islam tersebut dan dibicarakan secara tertutup atas tuduhan mengintip bagi pihak Amerika Syarikat.
Pada 11 Mei lalu, mahkamah membebaskan Roxana dengan mengurangkan hukuman penjara ke atasnya atas kesalahan mengintip. Roxana, dijatuhkan hukuman lapan tahun penjara pada bulan lalu oleh mahkamah revolusi atas dakwaan mengintip bagi pihak Amerika Syarikat.

No comments: