Saturday, May 2, 2009

ISRAEL MAHU PERLUASKAN 'MAALE ADUMIN'

*Gambar : Seorang wanita Palestin berjalan di sebelah poster yang memaparkan bantahan terhadap serangan Israel pada awal tahun ini di Gaza City.

BAITULMAQDIS - Sebuah jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri Israel mencadangkan untuk memperluaskan satu kawasan penempatan haram Yahudi terbesar di Tebing Barat.
Penempatan-penempatan haram Israel itu dipandang sebagai satu penghalang besar kepada proses damai di Asia Barat dan sekiranya cadangan itu diluluskan, ia pasti mencetuskan kritikan dari Amerika Syarikat dan rakyat Palestin.
Laporan jawatankuasa itu menyebut bahawa penempatan haram kecil di Qedar sepatutnya dicantumkan ke dalam koloni besar, 'Maale Adumin', bersama-sama tanah yang terletak di antara kedua-duanya.
Langkah untuk membangunkan 'Maale Adumin', yang sememangnya sebuah penempatan haram Yahudi terbesar di Tebing Barat dan meningkatkan lagi keluasannya sebanyak 1,200 hektar lagi dan tambahan 800 orang daripada 34,500 penduduk sedia ada hari ini.
Untuk dilaksanakan, cadangan jawatankuasa itu perlu diluluskan oleh Menteri Dalam Negeri, Eli Yishai dari Parti Shas berfahaman Ortodoks, yang pada umumnya menyokong penempatan-penempatan haram itu dan berhaluan kanan dalam kabinet Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Menteri Luar Avigdor Lieberman, yang menyokong pembinaan penempatan haram ini, memberitahu bahawa keputusan berhubung perkara ini tidak boleh dibuat tanpa difikir secara mendalam.
Sekutu utama Israel, Washington telah beberapa kali menyuarakan tentangan terhadap perluasan 'Maale Adumin' kerana ia akan 'memotong' Tebing Barat kepada dua bahagian.

No comments: