Saturday, May 2, 2009

AMERIKA SYARIKAT BOIKOT SIDANG MENGENAI PERKAUMAN PBB

WASHINGTON - Amerika Syarikat telah memboikot persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai fahaman perkauman baru-baru ini kerana membantah kandungan dokumen akhir yang boleh menjadikan Israel sebagai sasaran kritikan.
Keputusan itu diambil berikutan perbahasan hangat dalam pentadbiran Presiden Barack Obama sejak berminggu-minggu lalu dan telah menggembirakan Israel dan kumpulan-kumpulan Yahudi yang melobi menentang penyertaan Amerika.
Namun langkah itu juga dikesali oleh pejuang hak asasi manusia dan beberapa anggota masyarakat kulit hitam Amerika yang berharap Obama selaku Presiden kulit hitam pertama Amerika akan menghantar delegasi rasmi ke persidangan tersebut.
Washington telah merancang untuk menghadiri persidangan di Geneva pada 20-25 April baru-baru ini tetapi memberi amaran pada akhir Februari lalu, akan memboikotnya kecuali pindaan penting dilakukan pada draf dokumen.
Jurucakap Jabatan Negara, Robert Wood melahirkan penghargaan Washington kerana beberapa pindaan dilakukan, termasuk menggugurkan beberapa kenyataan yang membidas Israel dan perenggan mengenai perbuatan memfitnah agama.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, teks berkenaan masih mengandungi beberapa elemen yang menyokong sekatan ke atas kebebasan bersuara, selain mengesahkan beberapa keputusan Persidangan Dunia Menentang Fahaman Perkauman yang diadakan di Durban, Afrika Selatan pada 2001.
Amerika dan Israel bertindak meninggalkan persidangan di Durban itu apabila negara-negara Arab cuba mendefinisikan fahaman Zionis sebagai satu bentuk fahaman perkauman.
Menurut Wood, Amerika tidak boleh menyokong keputusan yang dicapai pada persidangan 2001. Amerika dan beberapa kuasa Barat bimbang persidangan tersebut mungkin mencetuskan perbahasan hangat mengenai Israel, seperti yang berlaku lapan tahun lalu, lebih-lebih lagi Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad yang pernah menggesa agar negara Yahudi itu dihapuskan turut hadir.
Bagaimanapun, keputusan pentadbiran Obama itu dibantah oleh banyak pihak termasuk ketua kumpulan anggota Kongres kulit hitam Amerika, Barbara Lee.
"Keputusan itu tidak konsisten dengan dasar pentadbiran yang mahu berdialog dengan semua orang, sama ada yang menyokong atau yang menentang pendirian kita," kata beliau.

No comments: