Tuesday, May 26, 2009

IRAN SEKAT AKSES KEPADA FACEBOOK

TEHERAN - Keputusan Iran menyekat akses untuk melayari laman web Facebook tidak sampai tiga minggu sebelum pilihan raya kebangsaan, telah mengundang kritikan hebat daripada pembangkang yang ingin menyingkirkan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad.
Para pengkritik berkata, keputusan tersebut akan mendorong rakyat Iran beralih kepada media tempatan dan sumber-sumber kerajaan menjelang pilihan raya pada 12 Jun ini. Ia secara langsung akan memberi kesan kepada undi golongan muda yang boleh memberi kesan kepada cubaan Ahmadinejad untuk mengekalkan jawatan pada pilihan raya kali ini.
Lebih separuh daripada penduduk Iran lahir selepas Revolusi Islam 1979 dan pengundi muda membentuk jumlah yang terbesar, yang berperanan membantu bekas pemimpin pembaharuan, Presiden Mohammad Khatami bersaing rapat pada tahun 1997 dan 2001 tetapi tewas kepada Akhbar Hashemi Rafsanjani, pesaing Ahmadinejad pada pilihan raya empat tahun lalu.
Pengundi muda kini memberi sokongan kepada calon pembaharuan, Mir Hossein Mousavi yang menjadi penyebab kepada sekatan tersebut dilaksanakan.
"Mana-mana media yang dilihat memberi tentangan kepada Ahmadinejad, kini menghadapi risiko akan ditutup," kata Shahab Thabathabai, penyokong kuat Mousavi, calon pembaharuan paling popular.
Menurutnya lagi, "Tindakan bagi mengurangkan saingan merupakan keutamaan kerajaan pada masa ini."
Shahab berkata, blok Facebook telah 'mengubah reaksi' golongan muda kepada pro-Mousavi apabila ramai golongan muda berhimpun di sebuah stadium sukan di Teheran termasuk kehadiran Khatami dengan memakai skaf dan mengibarkan sepanduk hijau yang menjadi warna rasmi kempen Mousavi bagi menghadiri rapat umum yang dianjurkan oleh Mousavi.
Pihak berkuasa Iran didakwa sering menyekat laman web tertentu dan blok yang dianggap kritikal terhadap Republik Islam itu dan keputusan terbaru menyekat akses kepada Facebook dan beberapa laman web popular yang lain, bermakna penduduk Iran terpaksa bergantung kepada maklumat daripada kerajaan.
"Facebook adalah satu-satunya sumber bebas yang digunakan oleh golongan muda untuk berkomunikasi ," kata Mohammed Ali Abtahi, bekas Naib Presiden dan sekarang penasihat kepada salah seorang calon pro pembaharuan, Syeikh Mahdi Karoubi, yang juga bekas Speaker Parlimen.
Para pegawai Iran bagaimanapun enggan mengulas mengenai sekatan tersebut.

No comments: