Wednesday, May 27, 2009

ISRAEL BENTANG UNDANG-UNDANG TAAT SETIA

*Gambar : Avigdor Lieberman, Menteri Luar Israel.

BAITULMAQDIS - Parti ultra nasionalis pimpinan Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman merancang untuk membentangkan rang undang-undang di Parlimen bagi mewajibkan rakyat mengangkat sumpah taat setia kepada negara Yahudi itu.
Langkah itu dikecam oleh pengkritik sebagai menjejaskan hak rakyat Israel berketurunan Arab. Parti Yisrael Beitenu merancang mendapatkan kelulusan Kabinet sebelum membentangkan rang undang-undang berkenaan di Parlimen.
Jurucakap parti, Tal Nahum berkata, langkah itu akan mewajibkan semua rakyat Israel mengikrarkan kesetiaan 'kepada negara Israel sebagai sebuah negara Yahudi, Zionis dan demokratik' sebelum mereka boleh diberi kad pengenalan. Undang-undang menghendaki semua rakyat Israel berusia 16 tahun ke atas membawa kad pengenalan sepanjang masa.
Usul tersebut perlu melepasi tiga pengundian di Parlimen dan dikaji oleh sebuah jawatankuasa sebelum boleh berkuatkuasa, kata seorang jurucakap parti hari ini.
Peluang Parlimen meluluskan rang undang-undang tersebut belum dapat dipastikan tetapi tentunya lebih cerah berbanding pada 2007 apabila usul serupa yang dibentangkan oleh ahli Parlimen parti Lieberman tidak diluluskan.
Yisrael Beitenu menjadi parti politik ketiga terbesar di Israel selepas pilihan raya Februari lalu, mencerminkan peralihan sokongan rakyat Israel kepada kem pelampau berhaluan kanan.
Parti Lieberman menjadi parti komponen dalam kerajaan berhaluan kanan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang dijangka menyokong rang undang-undang tersebut.

No comments: