Sunday, May 3, 2009

PRESIDEN IRAN MAHU ROXANA DIBERI LAYANAN ADIL

TEHERAN - Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad mahu wartawan Amerika Syarikat yang dihukum penjara lapan tahun kerana menjadi pengintip Amerika Syarikat, Roxana Saberi diberi layanan yang adil.
Beliau yang jarang campur tangan dalam urusan mahkamah berkata, pihak pendakwa raya sepatutnya berlaku adil dengan meneliti kes terhadap Roxana dan Hossein Derakhshan iaitu seorang penulis blog warga Kanada yang dipenjarakan di Iran sejak November tahun lalu.
Hossein, seorang penulis blog popular, ditahan sejak ketibaannya di Iran pada November tahun lalu dan sedang disiasat kerana dakwaan menghina para Imam dalam mazhab Ahlul Bait
.
"Atas arahan Presiden, anda harus melakukan apa yang perlu bagi memastikan keadilan terlaksana sewaktu meneliti dakwaan-dakwaan terhadap mereka," kata seorang ketua pegawai Mahmoud, Abdolreza Sheikhul Islami dalam sepucuk surat kepada pendakwa raya di sini, Sa'eed Mortazavi.
"Pastikan bahawa kedua-dua defendan diberi peluang dan hak di sisi undang-undang untuk membela diri daripada dakwaan-dakwaan terhadap mereka," katanya.
Roxana, 31, dan merupakan bekas ratu cantik Amerika Syarikat, didapati bersalah kerana mengintip untuk negara kuasa besar itu dalam satu perbicaraan tertutup dan dihukum penjara lapan tahun dalam keputusan yang diumumkan baru-baru ini.
Keputusan tersebut disifatkan oleh Presiden Barack Obama sebagai amat mengecewakan selepas beliau berusaha untuk berdialog dengan Iran setelah mengambil alih tampuk pemerintahan Amerika pada Januari lalu, menurut jurucakapnya.
Jabatan Negara Amerika melabelkan dakwaan pengintip itu sebagai tidak berasas manakala bapa Roxana menyatakan bahawa anaknya ditipu supaya mengaku bersalah dengan diberitahu bahawa dia akan dibebaskan.
Peguam Roxana menyatakan bahawa dia akan merayu terhadap hukuman tersebut yang disifatkannya sebagai paling berat pernah dijatuhkan terhadap seorang individu yang menjadi pemegang dua kerakyatan berhubung dakwaan keselamatan di Iran. Wanita itu ditahan sejak hujung Januari lalu apabila dia dilaporkan ditangkap kerana membeli arak yang merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang Iran.

No comments: