Friday, May 22, 2009

PELURU BERPANDU IRAN LEBIH CANGGIH

WASHINGTON - Peluru berpandu yang dilancarkan dalam ujian terbaru oleh Iran adalah peluru berpandu pendorong pepejal dengan jarak yang paling jauh pernah dicatatkan, demikian menurut seorang pegawai kerajaan Amerika Syarikat.
Ia sekaligus menimbulkan kebimbangan mengenai teknologi peluru berpandu Iran yang dilihat semakin meningkat. Pegawai Amerika Syarikat yang enggan dikenali ketika membincangkan perincian teknikal program peluru berpandu Iran, menyatakan bahawa Teheran sebelum ini hanya mempunyai peluru berpandu jenis itu untuk jarak yang dekat.
Roket yang menggunakan pendorong pepejal menjadi kebimbangan kerana ia boleh dihasilkan sebelum disimpan atau disorok berbanding roket menggunakan pendorong cecair yang perlu dilancarkan segera selepas bahan api diisi, seterusnya menjadikan ia lebih mudah dipantau dan dipatahkan.
Namun menurut Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, yang memberikan pengesahan pertama berhubung ujian peluru berpandu oleh Iran, menyatakan yang peluru berpandu milik negara itu mampu terbang sejauh 2,000 hingga 2,500 kilometer. Ini bermakna ia mampu mengenai Israel, pangkalan-pangkalan Amerika Syarikat di Asia Barat dan sebahagian daripada Eropah Timur.
"Maklumat yang saya terima menunjukkan ujian tersebut adalah berjaya," kata Gates kepada House Appropriations Committee, lapan jam selepas ujian itu diumumkan oleh Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad.

No comments: