Sunday, January 18, 2009

HAMAS TUNTUT ASKAR ZIONIS UNDUR SEGERA

GAZA - Pejuang Hamas berkata, pihaknya tidak akan menerima kehadiran walau seorang pun tentera Israel di Genting Gaza, tatkala Perdana Menteri rejim, Ehud Olmert mengumumkan itu adalah gencatan senjata sebelah pihak.
"Penjenayah Zionis mesti menghentikan semua bentuk keganasan, keluar dari Genting Gaza sepenuhnya, hentikan segala kepungan dan buka kawasan sempadan," kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhum.
"Hamas masih wujud, penentangan masih berlaku dan kepimpinannya tidak terjejas" kata Olmert semasa mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak, tetapi berkata tenteranya akan kekal di kawasan yang diserang dan akan membalas jika diserang oleh pejuang Palestin.
Menurut Barhum, pengisytiharan oleh pihak musuh itu mengesahkan bahawa ia adalah perang unilateral yang dilancarkan ke satu arah sahaja.
Kumpulan Jihad Islam, yang bersama pejuang Hamas telah melancarkan beratus-ratus roket ke selatan Israel sejak permulaan perang, berkata ia akan 'memberi tindak balas' terhadap jenayah yang dilakukan oleh Israel.
"Apa pun keputusan dan tindakan rejim Zionis langsung tidak memberi makna, sebaliknya akan ada tindak balas terhadap jenayah yang dilakukan di kawasan taklukan mereka,'' kata anggota kanan Jihad Islam, Khadr Habib. "Jihad Islam akan terus bersama kumpulan penentang sehingga keganasan dihentikan dan kami mencapai matlamat membuka kepungan dan sempadan,'' katanya.
Sebelum ini, Hamas berkata ia hanya akan mematuhi gencatan senjata seandainya Israel menarik keluar tenteranya dan membuka sempadan, yang telah ditutup kepada semua kecuali bantuan kemanusiaan sejak Hamas berkuasa di Gaza pada Jun 2007.
Serangan pencerobohan ketenteraan dari udara, darat dan laut rejim Zionis selama tiga munggu berturut-turut telah membunuh lebih 1,200 orang rakyat Palestin dengan satu pertiga daripadanya kanak-kanak serta melumpuhkan seluruh wilayah berkenaan, kata para pegawai perubatan Gaza.

No comments: