Tuesday, January 13, 2009

PARA IMAM 12 DARI KALANGAN QURAISY, BANI HASYIM DAN AHLUL BAIT MENURUT RIWAYAT AHLUS SUNNAH WAL JAMA'AH

Berikut adalah terjemahan Kitab al-Imarah (Pemerintahan) daripada Sahih Muslim, cetakan Cairo, 1955, Jilid II, him. 1542-1543. Bab pada menyatakan urusan kekhalifahan / lmamah hanya berada di tangan dua belas (12) Imam daripada kalangan Quraisy :

Hadith No. 4 ;

Ahmad bin 'Abdullah bin Yunus telah memberitahu, 'Asim bin Muhammad bin Zaid telah memberitahukan kami daripada bapanya,...dia berkata : 'Abdullah berkata: Rasulullah (saw) bersabda ; "Sentiasalah urusan ini (Khalifah/Imamah) berada di tangan Quraisy, sekalipun tinggal dua orang".

Hadith No. 5 ;

Daripada Jabir bin Samurah, dia berkata : "Aku telah datang kepada Rasulullah (saw) bersama bapaku, maka aku mendengarnya bersabda : "Urusan ini (Khalifah/Imamah) tidak akan selesai sehingga berlalunya kepada mereka dua belas (12) khalifah". Dia berkata : "Kemudian dia bercakap kepadaku dengan perlahan." Dia berkata : "Maka aku pun berkata kepada bapaku : Apakah yang diucapkannya?" Dia menjawab: "Mereka semua adalah daripada Quraisy."

Hadith No. 6;

Daripada Jabir bin Samurah, dia berkata : "Aku talah mendengar Nabi (saw) bersabda : "Sentiasalah urusan manusia berlalu begitu sahaja selagi mereka tidak dipimpin oleh dua belas (12) lelaki". Kemudian Nabi (saw) bercakap kepadaku dengan perkataan yang perlahan. Maka aku pun bertanya bapaku : Apakah yang diucapkan oleh Rasulullah (saw)? Maka dia berkata : "Semua mereka adalah daripada Quraisy."

Hadith No.7 ;

Daripada Simak bin Harb, dia berkata : "Aku telah mendengar Jabir bin Samurah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah (saw) bersabda : "Islam sentiasa kuat/mulia sehingga berlalu dua belas (12) khalifah." Kemudian dia mengucapkan kalimah yang aku tidak memahaminya. Maka aku pun bertanya kepada bapaku : Apakah yang diucapkannya? Dia berkata: "Semua mereka adalah daripada Quraisy."

Hadith No. 8 ;

Daripada Jabir bin Samurah, ia berkata, Nabi (saw) bersabda : "Sentiasalah urusan ini (Khalifah/Imamah) menjadi teguh/mulia sehingga berlalu dua belas (12) khalifah". Dia berkata : Kemudian dia bercakap sesuatu yang aku tidak memahaminya. Maka aku bertanyakan bapaku : Apakah yang diucapkan­nya? Maka dia menjawab : "Semua mereka adalah daripada Quraisy."

Hadith No. 9 ;

Daripada Jabir bin Samurah, ia berkata : "Aku datang kepada Rasulullah (saw) bersama bapaku maka aku mendengarnya bersabda : "Agama ini sentiasa kuat / mulia sehingga berlalu dua belas (12) khalifah." Baginda (saw) telah mengucapkan perkataan yang tidak dapat didengari oleh orang ramai. Aku bertanya kepada bapaku : "Apakah yang diucapkan olehnya? Dia menjawab : "Semua mereka adalah daripada Quraisy."

Hadith No. 10 ;

Daripada Jabir bin Samurah, ia berkata : "Aku telah mendengar Rasulullah (saw) bersabda : "Agama ini sentiasa teguh sehingga datangnya Qiamat atau (berlalu) di atas kamu dua belas (12) khalifah."

Catatan : Sementara Bukhari di dalam Sahihnya, cetakan Cairo, 1952, IX, him. 205, mengatakan dengan menyertakan perkataan '12 Amir'. Walau bagaimanapun Muslim dan Bukhari bersetuju bahawa urusan dunia tidak akan selesai melainkan setelah berlalunya 12 Khalifah, 12 Lelaki atau 12 Amir.

Kelebihan Keturunan Rasulullah (saw) :

Terjemahan Kitab al-Fadhail daripada Sahih Muslim, cetakan Cairo, 1955, Jilid IV, him. 1782 mengenai 'kelebihan keturunan Rasulullah (saw)' :

1. (Hadis No. 2276) : Daripada Wathilah bin al-Asaq, ia berkata : "Aku mendengar Rasulullah (saw) bersabda : "Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah daripada anak Ismail. Dia telah memilih Quraisy daripada Kinanah, memilih Bani Hashim daripada Quraisyh dan Dia telah memilih aku daripada Bani Hashim". Hadis ini dikenali dengan Hadis al-Istifa'.

Kelebihan Ahlul Bait Nabi (saw) :

2. (Hadis No. 2424) : Daripada 'Aisyah, ia berkata : "Nabi (saw) telah keluar di waktu siang dan bersamanya Kisa’ (selimut berwarna hitam). Hasan bin 'Ali datang kepadanya lalu dia memasukkannya ke dalam selimut itu. Husain turut datang dan diselimutkan oleh baginda. Kemudian datang Fatimah maka baginda memasukkannya pula ke dalam selimut tersebut. Kemudian 'Ali pula datang, maka baginda memasukkannya juga ke dalam selimut itu. Kemudian baginda membaca ayat al-Quran, "Sesungguhnya Allah menghendaki untuk menghilangkan daripada kamu wahai Ahlul Bait segala najis dan kekotoran dan mensucikan kamu dengan sesuci-sucinya". (Surah al-Ahzab : ayat 33). Hadis ini dikenali sebagai Hadis al-Kisa'.

3. (Hadis No. 2404) : Daripada Sa'ad bin Abi Waqqas, ia berkata : "Rasulullah (saw) telah meninggalkan 'Ali bin Abi Talib (di Madinah) semasa Peperangan Tabuk. Maka 'Ali (as) berkata : Wahai Rasulullah! Kamu tinggalkan aku untuk menjaga perempuan dan kanak-kanak? Rasulullah (saw) bersabda : "Tidakkah kamu redha kedudukan kamu di sisiku sama seperti kedudukan Nabi Harun di sisi Nabi Musa?...Melainkan tidak ada lagi Nabi selepasku." Hadis ini dikenali dengan Hadis al-Manzilah (Ibid, him. 1871).
4. (Hadis No. 2408) : Rasulullah (saw) berdiri dan bersabda : "Wahai manusia! Sesungguhnya aku adalah seorang manusia, di mana aku akan didatangi oleh utusan Tuhanku (Malaikat Maut), maka aku akan menyahutinya. Dan aku meninggalkan kepadamu dua perkara yang berharga : Pertamanya, kitab Allah, di dalamnya terkandung petunjuk dan cahaya. Kedua, Ahlul Baitku. Oleh itu, beramal dan berpegang teguhlah oleh kamu semua dengan kitab Allah dan Ahli Baitku". Hadis ini dikenali sebagai Hadis Thaqalain. (Sahih Muslim, IV, him. 1873).

Catatan : Jika diperhatikan hadis "Imam dua belas", Hadis al-Istifa', Hadis al-Manzilah dan Hadis Thaqalain, jelas bahawa Imamah/Khalifah mestilah berada di tangan 'Ali dan anak-anaknya daripada Fatimah seperti Imam Hasan dan Imam Husain kerana merekalah Ahlul Bait Rasulullah (saw) sementara isteri-isteri baginda tidaklah termasuk di dalam pengertian Ahlul Bait dari segi istilah. 'Aisyah umpamanya dari Bani Taim, Hafsah dari Bani 'Adi dan mereka berdua bukan dari Bani Hashim. Dan mereka tidak termasuk di dalam surah al-Ahzab (ayat 33) yang berdiri dengan sendiri tanpa kaitan dengan ayat sebelum atau selepasnya. Lantaran itu perkataan 'innama' telah digunakan di dalam ayat tersebut (Surah al-Ahzab : ayat 33).
Lantaran itu tidak hairanlah jika Syeikh Sulaiman al-Balkhi (Ulama Ahlus Sunnah) menyatakan : "Hadis Imam dua belas tidak sesuai jika dimaksudkan dengan Khulafa' ar-Rasyidin kerana mereka kurang daripada 12. Dan ianya juga tidak sesuai dengan khalifah-khalifah dari Bani Umayyah kerana jumlah mereka lebih dari 12 orang. Tambahan pula, semua mereka adalah zalim selain dari 'Umar bin 'Abdul 'Aziz dan mereka pula bukan daripada Bani Hashim kerana Nabi (saw) bersabda : "Semua mereka adalah dari Bani Hashim."
Dan ianya juga tidak sesuai dengan khalifah-khalifah dari Bani 'Abbas kerana jumlah mereka juga lebih daripada 12 orang. Mereka juga menindas anak cucu Rasulullah (saw) dan melanggar perintah al-Quran. Oleh itu satu cara untuk menafsirkan hadis itu ialah menerima 12 Imam itu dari kalangan Ahlul Bait Rasulullah (saw) kerana merekalah yang paling alim, paling bertakwa, mempunyai sifat-sifat yang paling baik, paling agung keturunannya, lebih mulia di sisi Allah dan ilmu-ilmu mereka diambil dari bapa-bapa mereka yang berhubung rapat dengan moyang mereka iaitu Nabi Muhammad (saw)." (Yanabi' al-Mawaddah, him. 447).

No comments: